Fenomena perubahan iklim global yang ekstrim telah mengundang berlakunya kejadian bencana alam secara berleluasa di segenap pelosok dunia. Malaysia juga tidak terkecuali berhadapan dengan bencana alam impak daripada pemanasan global yang berlaku pada hari ini. Misalnya, beberapa siri bencana alam seperti banjir besar yang berlaku baru-baru ini melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu yang merupakan antara bencana banjir terburuk yang pernah dicatatkan dalam sejarah.
Selain bencana banjir besar, Malaysia juga sering terdedah dengan kejadian banjir kilat. Misalnya, kejadian terbaharu yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur pada 7 Mac, lalu susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh lebih dua jam. Di samping itu, Malaysia juga acap kali berhadapan dengan bencana alam seperti tanah runtuh. Umpamanya, kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor sehingga memaksa lebih 200 penghuni di 48 buah rumah mengosongkan kediaman masing-masing.
Jika dilihat daripada beberapa siri bencana alam yang berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya banjir, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada situasi yang lebih buruk. Antaranya ialah aktiviti pembalakan dan penggondolan hutan secara berleluasa sehingga menyebabkan impak banjir yang berlaku menjadi lebih teruk seperti pengumpulan kelodak yang tinggi sehingga menyumbang kepada kuasa pemusnah yang besar terhadap harta benda dan juga alam sekitar.
Didapati, aktiviti pembalakan dan penggondolan hutan tanpa kawalan menyebabkan hakisan tanah bersifat ekstrim dan kawasan bukit serta tebing sungai mudah terdedah kepada kejadian tanah runtuh. Justeru, apabila berlakunya hujan lebat, maka impak banjir menjadi sangat buruk sehingga membawa kepada kemusnahan harta benda pada skala yang besar.
Selain itu, aktiviti pembangunan secara tidak terancang juga turut menjadi penyumbang kepada impak banjir yang teruk, yakni apabila sistem saliran tidak direka bentuk dengan baik dan sempurna sehingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Hal ini ditambah pula dengan pembangunan yang begitu pantas menyebabkan kawasan yang terlibat menjadi lebih padat, sekali gus mengurangkan tahap keberkesanan sistem saliran sedia ada. Dalam konteks ini, sekiranya pembangunan dilaksanakan secara terancang, pastinya pelbagai aspek seperti kepadatan penduduk setempat, data taburan hujan, paras banjir, dan pelbagai maklumat hidrologi akan diambilkira bagi memastikan sistem perparitan yang bersesuaian direkabentuk agar dapat menampung curahan hujan yang lebat dan mengelakkan risiko banjir.
Bukan itu sahaja, malahan kegagalan dalam perancangan guna tanah di sesuatu kawasan pembangunan, serta penerokaan ke atas kawasan-kawasan sensitif juga boleh menyumbang kepada situasi banjir yang buruk. Begitu juga dengan pengabaian pertimbangan terhadap aspek-aspek teknikal, keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar turut menjadi penyumbang kepada kejadian banjir yang luar biasa. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Ayat ini sewajarnya menjadi pedoman kepada kita dalam melaksanakan aktiviti pembangunan agar kelak tidak mengundang bencana yang akhirnya membawa padah kepada diri sendiri. Justeru, dalam melaksanakan aktiviti pembangunan, perlulah dilakukan secara lebih terancang dengan mengambil kira peningkatan kadar curahan hujan dan juga cuaca ekstrim pada masa akan datang. Perkara ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana perancangan yang kurang teliti dalam sesuatu projek pembangunan dilihat menjadi antara penyumbang utama kepada impak banjir yang lebih buruk sejak kebelakangan ini. Dalam menangani isu ini, kajian secara terperinci perlu dilakukan dengan mengambil kira maklumat daripada semua pihak yang terlibat bagi memastikan impak bencana banjir dapat diminimumkan dan pengurusan risiko bencana dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan pada masa hadapan.
Dalam meminimumkan impak bencana alam, pengurusan risiko bencana merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian yang serius. Dalam konteks ini, sejauh mana tahap kesiapsiagaan dan persediaan kita dalam menguruskan risiko bencana perlu diteliti, dinilai dan dikaji secara lebih menyeluruh agar langkah-langkah yang sewajarnya dapat diambil terutamanya dalam merangka dan melaksanakan pelan pengurusan risiko bencana yang berkesan pada semua peringkat akar umbi dengan penglibatan sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat dan komuniti setempat.
Dalam aspek ini, Malaysia perlu belajar dan mencontohi Jepun terutamanya dari sudut pengalaman dan kepakaran mereka bagi memperkasakan tahap kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat untuk berhadapan dan menguruskan risiko bencana alam dengan baik. Negara matahari terbit ini sangat tepat untuk dijadikan sebagai rujukan dan panduan kerana mereka telah diiktiraf sebagai sebuah negara terbaik yang mempunyai sistem yang sistematik dan tersusun dalam aspek kesiapsiagaan dan pengurusan risiko bencana.
Misalnya, di Jepun aspek pendidikan dalam berhadapan dan menguruskan risiko bencana sangat diberi penekanan, dan dimulakan sejak peringkat sekolah rendah lagi bagi memastikan kesan dan risiko dapat dikurangkan apabila berlakunya sesuatu bencana alam. Perkara ini perlu dicontohi oleh Malaysia, yakni dengan memulakan langkah awal untuk menerapkan pendidikan menerusi silibus pembelajaran berkaitan dengan aspek pengurusan risiko bencana pada semua peringkat pendidikan. Hal ini penting agar para pelajar didedahkan secukupnya dengan langkah-langkah yang sewajarnya diambil bagi membuat persiapan awal dalam aspek pengurusan risiko bencana, serta berpeluang mendapat latihan secara praktikal cara untuk berhadapan dengan situasi yang mencemaskan semasa berlakunya bencana alam.
Pendidikan berkaitan dengan pengurusan risiko bencana alam dilihat bukan lagi merupakan suatu pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan pada ketika ini memandangkan kejadian bencana alam seperti banjir dan sebagainya semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Tindakan dan kesiapsiagaan awal yang diambil dilihat mampu meminimumkan kesan terhadap kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sekiranya berlaku lagi kejadian bencana alam pada masa hadapan.