Islam diutus Allah (s.w.t) untuk menyusun kehidupan manusia di peringkat individu dan masyarakat semoga mencapai kemakmuran dan kecemerlangan hidup di dunia dan seterusnya di akhirat. Penumpuan kepada usaha mendidik individu dan menyusun masyarakat di peringkat awal adalah bertujuan untuk melahir individu yang berguna dan mengatur sistem hidup masyarakat semoga dapat berfungsi dengan baik dan sekaligus mengurangkan segala bentuk permasalahan. Pendekatan Islam bukanlah hanya dengan mencari penyelesaian kepada akibat dari suatu permasalahan yang dihadapi oleh manusia, tetapi Allah dari awal lagi mengarahkan manusia supaya dididik dan disusun untuk kecemerlangan dengan berasaskan prinsip yang menepati fitrah kemanusiaan. Proses penyusunan yang baik mengikut Islam memerlukan kepada suatu sistem pengurusan diri, keluarga, organisasi dan negara yang mantap demi membawa kepada wujudnya sebuah tamadun yang mulia serta progresif.
Di peringkat pengurusan organisasi, Islam menganjurkan kepada satu kaedah pendekatan yang sesuai dan amali. Islam tidak mengesyorkan semoga bentuk, mekanisme dan kegiatan pengurusan organisasi yang sedang beroperasi secara cemerlang yang diamal oleh masyarakat bukan Islam dihapuskan, melainkan kegiatan tersebut jelas bertentangan dengan falsafah Islam. Islam hanya mengutarakan garis panduan dan mengambil kira suasana dan budaya persekitaran. Justeru itu, proses perubahan ke arah mencapai kejayaan hendaklah melalui penerapan semangat tauhid kepada falsafah dan roh sistem yang sedia ada yang bukti berfungsi.
Dalam proses pengurusan, individu yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan. Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan makhluk sosial. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam ke semua usaha organisasi, memahami hakikat ini sangatlah perlu.
Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap manusia berkeinginan untuk menjaga kepentingan dan pencapaian diri. Di samping itu sebagai makhluk sosial pada lumrahnya manusia perlu memerlui di antara satu sama lain dalam mengatur tugas dalam organisasi. Pendekatan Islam mengemukakan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu dan bermuafakat melaksana tugas dalam organisasi demi untuk mencapai matlamat organisasi.
Untuk menjayakan keharmonian ini di peringkat individu, Islam mengutamakan kepada perbentukan pandangan hidup dan menghayati pendidikan akhlaq semoga sahsiah (personality) individu dapat dibentuk dengan memiliki sikap yang positif serta progresif dan mengamal perilaku yang mulia. Usaha ini perlu kepada pendidikan yang dapat meningkat kefahaman dan berusaha menjalani latihan kerohanian (spiritual) semoga tindak tanduk yang negatif dapat dikurangkan. Akhlaq dan perilaku individu sepatut mengarah kepada tanggungjawab dan prestasi kerja.
Memahami keadaan suasana semasa turut juga merupakan keperluan yang penting. Justeru itu menguasai ilmu berkaitan masyarakat, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya adalah usaha yang penting.
Di samping itu, Islam turut memberi penumpuan kepada usaha meningkat daya kemahiran dan kepakaran individu pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi dengan itu mesti menganggap pekerja sebagai sumber yang terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka. Individu yang hendak dibangun mesti memiliki ciri-ciri berikut, iaitu sikap yang positif dan progresif, akhlak yang murni, memahami suasana dan budaya masyarakat, dan daya kepakaran yang tinggi di peringkat tahap pekerjaan masing-masing. Tanpa ciri-ciri ini, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap yang rendah. Bahkan hanya memiliki salah satu dari ciri-ciri ini tidak mungkin membawa kepada kejayaan yang membanggakan.
Sifat mementing diri adalah daya penggerak yang akan dapat memberi sumbangan positif kepada kemajuan sesebuah organisasi jika sifat tersebut dapat dididik dan diletak pada tempatnya. Tanpa sifat ini tidak mungkin pekerja akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri. Bahkan sifat tersebut pada fitrah terdapat dalam diri manusia. Justeru itu bagi Islam daya usaha dan cipta seseorang individu akan dapat dijayakan jika sistem organisasi memberi ruang yang secukupnya kepada kebebasan usaha individu. Islam hanya memberi panduan melalui tanggungjawab keagamaan yang perlu dilaksanakan demi pencapaian matlamat organisasi. Di samping itu Islam memberi penekanan kepada pendidikan dan latihan kerohanian moga-moga sifat mementing diri dapat diletak pada tempat yang sebenar. Dengan pendekatan ini Islam berkeyakinan bahawa, sikap serta perilaku individu akan berbentuk positif dan maju.
Hasil dari keyakinan kepada peranan individu dalam sistem penyusunan organisasi Islam dengan itu memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia secara menyeluruh semoga dapat mempertingkatkan daya kemahiran dan kepakaran dengan disertai nilai akhlak yang mulia. Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berusaha serta membuat keputusan perlulah diperluaskan. Struktur membuat keputusan organisasi dengan itu akan diagihkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas yang sesuai.
Begitu sepatutnya dengan semangat tolong menolong dan budaya bekerja secara berpasukan perlu diwujudkan dalam sesebuah organisasi. Semangat kerja berpasukan dengan sekaligus dapat melaksanakan semangat syura atau perbincangan dalam melaksana sesuatu tugas dan di samping itu dapat mengurang kerenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi. Kecemerlangan dalam menghasilkan produktiviti dan mutu tugas adalah natijah dari memiliki pandangan hidup (worldview) tersebut yang dapat diterjemahkan dalam prinsip pengurusan dan penyusunan organisasi.
Hasil dari menerajui pengurusan organisasi mengikut fafsalah di atas semangat keadilan akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi. Pelaksanaan roh keadilan dalam pengurusan akan memperkukuhkan lagi suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas dan tanggungjawab. Bahkan kemuncak kepada wujudnya prinsip keadilan bagi sesebuah organisasi akan menghasil kejayaan yang cemerlang dalam bentuk produktiviti dan mutu usaha pekerja.