KUALA LUMPUR 15 Feb. – Kegagalan umat Islam menguasai bidang-bidang ilmu dan teknologi baru yang terhasil daripada perkembangan semasa akan menyebabkan mereka terus ketinggalan.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, keadaan itu berbeza dengan zaman kegemilangan Islam dulu apabila umat Islam menjadi pelopor kepada bidang ilmu dan teknologi baru.
Justeru katanya, umat Islam perlu menyedari bahawa di samping ilmu konvensional yang diajar di sekolah dan pusat pengajian tinggi, mereka juga perlu menguasai bidang-bidang baru.
“Misalnya, Yayasan Sains Kebangsaan dan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat telah mengenal pasti empat bidang ilmu teknologi baru yang perlu diberikan keutamaan iaitu genomik, robotik, ICT (komunikasi teknologi maklumat) dan nanoteknologi.
“Jika kita gagal untuk menguasai bidang-bidang-bidang ilmu, baik yang konvensional dan apa lagi ilmu-ilmu yang baru, maka kita akan terus menerus ditinggalkan oleh orang bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar Islam Hadhari bertajuk `Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah’ anjuran IKIM di sini hari ini.
Seminar dua hari yang dihadiri kira-kira 200 peserta itu bertujuan membincangkan peranan teknologi bioinformatik dalam penyampaian dakwah serta kepentingannya kepada kemajuan umat Islam.
Bioinformatik lahir daripada gabungan dua teknologi iaitu bioteknologi dan ICT yang mula mendapat perhatian meluas masyarakat antarabangsa ketika berlangsungnya Projek Genom Manusia pada dekad terakhir abad ke-20.
Kini aplikasi bioinformatik diperluaskan ke dalam pelbagai bidang sama ada berkaitan biologi seperti kesihatan, farmasi dan fisiologi atau di luar bidang biologi seperti geologi dan kejuruteraan.
Ahmad Sarji berkata, terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang memperkatakan tentang bidang-bidang ilmu seperti biologi dan semuanya terpulang kepada umat Islam menentukan cara terbaik untuk memanfaatkan maklumat tersebut.
Apa yang jelas katanya, bioinformatik menyediakan platform yang sesuai bagi memuatkan maklumat dari al-Quran dan hadis untuk dijadikan alat berkesan dalam menjayakan usaha dakwah Islamiah.
Dalam pada itu, Ahmad Sarji berkata, umat Islam kini perlu mempunyai pendakwah yang mampu menggunakan teknologi dalam menyampaikan kefahaman sebenar mengenai Islam.
Katanya, golongan `tekno-daei’ itu penting kerana masyarakat hari ini dibesarkan dalam persekitaran yang digerakkan oleh teknologi khususnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Misalnya, menerusi perkembangan ICT, pendakwah boleh menggunakan kemudahan teknologi seperti visualisasi, animasi dan simulasi dalam usaha untuk memberikan kefahaman yang lebih berkesan dalam berdakwah,” katanya.
Mengenai seminar hari ini, Ahmad Sarji berkata, ia relevan dengan salah satu daripada 10 prinsip Islam Hadhari yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu penguasaan ilmu pengetahuan.
Katanya, sememangnya menjadi tanggungjawab IKIM memberikan penerangan mengenai Islam Hadhari dalam bentuk aplikasi kepada kehidupan seharian supaya orang Islam dan bukan Islam dapat memahami konsep itu dengan lebih baik.
Sumber : Utusan Malaysia