KUALA LUMPUR 15 Feb. – Ahli sains dan teknologi Islam terutama yang terlibat dalam bidang bioinformatik disaran supaya bergabung tenaga dengan golongan pendakwah bagi memantapkan lagi gerakan dakwah Islamiah.
Fellow Kanan, Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh berkata, kerjasama itu penting kerana maklumat serta pendedahan yang diperoleh dalam bidang bioinformatik jika disebarluaskan mampu menyumbang kepada kejayaan proses dakwah.
Bahkan katanya, segala maklumat dan pendedahan mengenai kehidupan yang dihasilkan oleh ahli sains dan teknologi dalam bidang itu juga mampu menjadi dalil dan bukti kepada kekuasaan Allah yang menjadi asas kepada proses dakwah.
“Kerjasama pintar ini mampu menjayakan lagi proses dakwah Islamiah dengan menghasilkan satu pendekatan yang berkesan dan sesuai dengan generasi yang amat selesa dengan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Menggunakan Bioinformatik Untuk Menjayakan Dakwah’ pada seminar Islam Hadhari di sini, hari ini.
Seminar dua hari bertajuk `Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah’ itu dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan dihadiri oleh kira-kira 200 peserta.
Dalam pada itu, Shaikh Mohd. Saifuddeen berkata, keupayaan umat Islam terdahulu menterjemahkan kajian serta pemerhatian mereka terhadap kejadian alam ini ke dalam bentuk alat dan teknologi menjadi antara faktor kejayaan mereka pada zaman itu.
Katanya, proses memerhati dan meniru alam yang kini dikenali sebagai sains biomimetik itu membolehkan umat Islam pada masa itu membangunkan pelbagai bidang ilmu dan teknologi baru.
Tambahnya, di samping dapat meningkatkan kualiti hidup umat Islam menerusi ciptaan dan teknologi baru, proses itu juga dapat meningkatkan keimanan mereka kepada Allah.
“Sayang sekali ini gagal dilakukan oleh umat Islam terutamanya pada zaman moden ini sedangkan hakikatnya, apa yang difikirkan mustahil dahulu mungkin menjadi realiti sekarang dengan perkembangan pesat bidang teknologi,” katanya.
Shaikh Mohd. Saifuddeen berkata, umat Islam menerusi kepelbagaian ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis mampu mewujudkan Bioinformatik Islam sebagai rujukan dan panduan kepada orang Islam dan bukan Islam.
Katanya, agama Islam menerusi sumber utamanya iaitu al-Quran dan Hadis kaya dengan maklumat mengenai kehidupan termasuk dalam bidang biologi, embriologi, kesihatan dan fisiologi.
Tambahnya, ini tidak termasuk maklumat yang diperoleh hasil daripada kajian sarjana-sarjana Islam semasa zaman kegemilangan tamadun Islam dahulu.
“Untuk menjayakan Bioinformatik Islam ini, sekali lagi kita perlu ada sinergi antara semua pihak termasuk ahli biologi, bioteknologi, pendakwah dan pakar ICT dari kalangan umat Islam,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia