Bukan pertama kali kita membaca dan mendengar insiden tragis yang mengguris nurani. Wanita yang melahirkannya dipenggal dan dibunuh tanpa wujud sekelumit perasaan sayang disebabkan kedurjanaan bahan terlarang. Peristiwa hitam yang tidak mampu di hadam dan diterima akal manusiawi ini terpalit dalam sejarah negara berpunca daripada penyalahgunaan dadah yang dikatakan musuh negara. Namun, sejauh mana seteru tersebut diperangi dan ditentang habis-habisan? Sampai bilakah kisah seumpama ini akan terus berlaku?
Banyak kerosakan dan jenayah yang berlaku melibatkan penagih dadah telah membawa kepada pembunuhan diri dan ahli keluarga sendiri. Masalah penagihan dadah melibatkan isu mental dan psikologi kerana kesan pengambilannya akan merangsang pengeluaran bahan kimia dalam otak yang berlebihan. Ia menyebabkan sistem otak mengalami kelumpuhan dan hilang kawalan diri seterusnya mengubah fungsi tubuh dan minda manusia. Keadaan ini dikhuatiri menjadi barah dalam diri dan keluarga seterusnya berleluasa dalam masyarakat dan negara tanpa dapat dikawal sekiranya tiada formula penyelesaian terbaik dapat diusahakan dengan tuntas.
Islam melarang pengambilan dadah kerana impak kemudaratan yang sangat besar kepada tubuh badan, pemikiran dan emosi yang turut akan melalaikan manusia terhadap tanggungjawab yang dipikul. Bukan sahaja kerana kesannya yang membinasakan diri manusia, malah situasi kekhayalan akibat ketagihan turut mendorong kepada berlakunya pelbagai masalah jenayah sosial lain. Inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.
Hakikatnya, dadah mampu untuk membunuh manusia sama ada penagih atau orang di sekelilingnya, sedangkan Allah SWT melarang segala perbuatan yang boleh membawa kebinasaan dan kemusnahan diri. Rasulullah SAW juga memberikan amaran terhadap individu yang sengaja menjerumuskan diri kepada kebinasaan dengan balasan api neraka sepertimana sabda yang bermaksud: Sesiapa yang sengaja menjatuhkan dirinya dari gunung sehingga mati, maka dia akan tinggal di dalam neraka Jahanam, sambil terus-menerus menerjunkan dirinya sendiri ke dalam neraka Jahanam itu kekal buat selama-lamanya. Sesiapa yang sengaja meminum racun hingga mati, maka racun itu akan berada di tangannya dan dimakannya secara terus menerus di dalam neraka Jahanam buat selama-lamanya. Dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan alat yang tajam, maka alat itu akan berada di tangannya serta sentiasa ditusukkan pada tubuhnya di dalam neraka Jahanam dan kekal di dalam buat selama-lamanya.” [Riwayat al-Bukhari: no, 5442].
Pada hari ini, masalah dadah bukan hanya melibatkan mereka yang tiada pekerjaan, miskin, masyarakat setinggan dan individu bermasalah tetapi juga merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional yang mengambil dadah sebagai perangsang untuk bekerja dan belajar. Tambahan pula, kalangan remaja dan pelajar sekolah yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang dilihat bukanlah sesuatu benda baharu dan mengejutkan di Malaysia. Sekiranya trend ini tidak dipantau bermula di peringkat akar umbi, isu ini akan menjadi lebih rumit kerana menjejaskan masa depan dan kesihatan generasi pewaris negara.
Permasalahan ini bermula daripada ketagihan merokok yang keterlaluan sehingga membawa kepada keinginan untuk mencuba perkara baharu seperti dadah. Hal ini dibuktikan dengan kajian oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menunjukkan sebanyak 90 peratus daripada kes ketagihan dadah berpunca daripada merokok pada usia muda. Merokok akan menyebabkan perokok berkeinginan untuk mencuba lagi sehingga mengalami kebergantungan (dependency). Mereka akan terus merokok untuk mengelakkan gejala ‘withdrawal’ yang menyebabkan keperluan nikotin meningkat bagi mendapat nikmat yang sama. Kesan ketagihan yang dicetuskan oleh nikotin adalah sama dengan ketagihan dadah lain yang mendorong untuk seseorang terus mengambilnya dan sukar untuk berhenti.
Bermula dengan pendedahan rokok dan produk seumpamanya pada usia yang terlalu awal, kemudiannya akan mengundang kepada ketagihan yang lebih besar, sehingga mempengaruhi mereka ke arah penyalahgunaan dadah seterusnya menyebabkan berlaku masalah sosial lain. Kerakusan manusia menjahanamkan anak bangsa semata-mata kerana wang ringgit menjadi punca ketagihan dadah anak-anak remaja sukar dibendung. Tanpa mengira usia, pengedar dadah mengambil kesempatan di atas kurangnya kematangan mangsa dalam berfikir demi habuan keuntungan dengan memperjudikan nasib dan masa depan mangsa yang telah terpengaruh dengan keseronokan pengambilan bahan terlarang. Punca kes sebegini perlu dikaji dan diperhalusi untuk ditangani secara holistik.
Kealpaan masyarakat dengan masalah sosial yang berlaku dalam komuniti, keruntuhan institusi kekeluargaan dan kebejatan sosial muda-mudi juga menjadi faktor kepada gejala penagihan yang semakin rancak pada hari ini. Ditambah lagi dengan stigma masyarakat terhadap golongan penagih sebagai sampah masyarakat akan menjadi tembok penghalang kepada usaha pengawalan penagihan dadah dan rawatan pemulihan.
Ketagihan dadah memuncak kerana akan menghasilkan kombinasi masalah yang melibatkan komponen kehidupan iaitu aspek biologi, psikologi, rohani dan kemasyarakatan. Setiap komponen tersebut mempunyai dimensi yang menjadi punca kepada penglibatan seseorang dalam kancah penyalahgunaan dadah. Maka, amat penting untuk melihat punca tersebut dalam usaha untuk menanganinya. Walaupun ramai sarjana membahaskan pelbagai rawatan pemulihan ketagihan dadah, namun masalah ini masih belum dapat diatasi secara menyeluruh. Namun, tidak dapat dinafikan aspek kerohanian memainkan peranan penting sebagai faktor pencegah dan pelindung dalam menangani pelbagai permasalahan sosial termasuk penyalahgunaan dadah dan rokok. Kembali kepada ajaran Islam menjadi ramuan penting secara psikologi dan psiko spiritual untuk pengukuhan rohani bagi membendung dan membasmi masalah ketagihan.
Di samping itu, peranan ibu bapa dan keluarga yang harmoni tidak dapat dinafikan dapat menjadi perisai utama dalam memberi tunjuk ajar dan perhatian kepada anak-anak. Anak-anak perlu dipantau dan dihadkan pergaulan daripada kawan-kawan yang berisiko terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan di samping kesedaran terhadap bahaya dadah dan rokok perlu disemai dan jati diri harus diperkukuhkan. Di samping tugas khusus yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam menangani gejala penyalahgunaan bahan terlarang, masyarakat perlu berganding bahu dan prihatin terhadap komuniti persekitaran. Sokongan sosial yang berterusan akan menyemarakkan lagi usaha kesedaran dan kefahaman masyarakat untuk mengelakkan diri dan keluarga daripada bahaya dadah dan rokok.
Pihak kerajaan harus mengambil tindakan drastik untuk menghalang masalah sosial daripada terus membarah. Justeru, langkah proaktif untuk membendungnya harus dimulakan bagi memberhentikan kitaran merokok dengan menyekat anak-anak daripada mengenali dan menghisap rokok serta produk seumpamanya pada awal usia lagi. Kerajaan perlu menyekat produk terbabit bermaharajalela di samping melaksanakan program kesedaran dan advokasi yang berkesan dengan pendekatan secara hikmah serta kasih sayang dan bukannya bersifat hukuman dan celaan agar generasi muda bebas daripada bahan terlarang tersebut. Peranan ini juga perlu digalas oleh ibu bapa dan masyarakat setempat supaya masalah ini tidak berterusan merosakkan generasi dan negara sehingga tidak boleh sembuh lagi.