Generasi millennial atau Generasi Y merupakan mereka yang dilahirkan antara 1981 hingga 1996. Mereka sekarang berusia antara 23 hingga 38 tahun. Perkara ini berdasarkan pengkategorian genarasi yang dibuat oleh Pew Research Center yang berpangkalan di Washington D.C. Di Malaysia, generasi millennial ini mewakili lebih 30% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Peratusan ini berdasarkan statistik 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan 36.7% penduduk Malaysia berusia antara 20 hingga 39 tahun.
Berbanding dengan kohort-kohort generasi lain seperti Gen X, Baby Boomer mahupun Gen Z, generasi millennial merupakan satu kelompok golongan yang sedang berada dalam tempoh aktif terutama yang berkaitan dengan kehidupan dan kerjaya.
Menyentuh tentang kehidupan dan kerjaya terdapat dua isu yang boleh dikaitkan dengan generasi millennial ini yang agak menggusarkan kita semua. Pertamanya, isu literasi kewangan dan keduanya isu integriti.
Menurut laporan kumpulan Bank Dunia menerusi edisi ke-21 Malaysia Economic Monitor yang bertemakan Making Ends Meet, generasi millennial merupakan golongan majoriti di Malaysia yang berbelanja di luar kemampuan mereka. Terdapat lima faktor yang disebut dalam laporan Bank Dunia ini yang menyumbang kepada masalah tersebut iaitu belian gerak hati (impulse-buying behavior), capaian yang mudah kepada pinjaman peribadi dan kad kredit; keinginan untuk mendapatkan kepuasan segera dan proses pembelian atas talian yang lancar.
Di sini kita boleh mengandaikan bahawa belian gerak-hati dan keinginan untuk mendapatkan kepuasan segera merupakan faktor-faktor yang menyebabkan individu gagal menggunakan kemudahan kredit yang dimiliki secara bijaksana. Hal ini diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai platform beli-belah atas talian yang sentiasa mengadakan pelbagai promosi bagi menggamit pelayar internet untuk berbelanja.
Kesan utama perbelanjaan di luar kemampuan ialah beban hutang. Seterusnya jika hutang-hutang ini tidak diurus dengan baik ia boleh menyebabkan masalah kebankrapan. Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), 49% daripada kes-kes bankrap yang direkodkan pada 2018 adalah berpunca daripada kegagalan membayar balik pinjam kenderaan dan pinjaman peribadi. Paling membimbangkan 60% peminjam yang diisytiharkan bankrap berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Memang kita perlu mengakui bahawa kita berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi. Hal ini lebih dirasai oleh mereka yang tinggal di bandar-bandar besar. Akan tetapi sekiranya kita memiliki ilmu tentang pengurusan kewangan, kita dapat memitigasi risiko kebankrapan yang ada kaitan dengan pembelian secara gerak-hati atau keinginan untuk berbelanja di luar kemampuan.
Malang tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih lagi rendah. Kajian yang dilakukan oleh Global Finance Literacy Excellence Center pada 2017 mendapati hanya 36% penduduk Malaysia yang berusia antara 15-34 tahun yang celik kewangan. Peratusan ini jauh lebih rendah berbanding dengan Singapura mahupun Myanmar yang masing-masing berada pada tahap 66% dan 51%.
Justeru, usaha-usaha perlu digerakkan bagi meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda. Lebih awal seseorang itu didedahkan kepada kepentingan pengurusan kewangan adalah lebih baik. Hal ini kerana literasi kewangan membantu seseorang untuk memperoleh kestabilan kewangan dalam kehidupannya. Perkara ini terhasil menerusi kemampuannya untuk menyimpan dan mengembangkan harta; membezakan antara kehendak dan keperluan dalam membuat keputusan kewangan, mengurus bajet, merancang untuk persaraan dan sebagainya. Selain itu, celik kewangan juga membantu mengurangkan risiko seseorang itu daripada menjadi mangsa-mangsa penipuan atas talian mahupun bukan atas talian.
Berbalik kepada masalah berbelanja di luar kemampuan ini, ramai yang menggunakan kemudahan kredit yang disediakan oleh pihak bank bagi membiayai perbelanjaan mereka. Satu kekhuatiran yang boleh diandaikan di sini ialah selain daripada menggunakan kad kredit mahupun pinjaman peribadi, mungkin ada segelintir daripada golongan ini yang terjebak dengan amalan rasuah bagi membiayai gaya hidup mereka.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 53% atau 2594 orang daripada 4860 mereka yang ditangkap kerana kes rasuah daripada 2014 sehingga Jun 2019 adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun.
Menyentuh tentang rasuah ini, ia bukanlah satu penyakit sosial yang melanda generasi millennial semata-mata. Jika diperhatikan kepada kes-kes perbicaraan yang sedang berlangsung di mahkamah-mahkamah di negara kita dewasa ini, mereka yang diheret ke mahkamah bukanlah terdiri daripada golongan millennial. Bahkan kebanyakan mereka berada dalam kategori baby boomer (yakni mereka yang lahir di antara 1946 – 1964) yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan swasta.
Bagaimanapun, angka ini secara jelas menunjukkan amalan rasuah bukan sahaja melibatkan mereka yang sudah berusia atau mempunyai jawatan dan pekerjaan yang sudah stabil, malah ia turut melibatkan golongan muda yang suatu hari nanti akan mengisi tampuk pemerintahan negara. Perkara ini sudah tentu menjadi satu yang merisaukan kerana kita tidak mahu mereka menjadi sepertimana baby boomer lakukan sebelum ini ke atas negara kita kerana korupsi, rasuah dan masalah-masalah integriti yang lain itu bukanlah sesuatu yang boleh mendatangkan kesan positif kepada negara sebaliknya, ia lebih memudaratkan.
Ringkasnya, ilmu berkaitan pengurusan kewangan adalah sesuatu yang amat penting bagi setiap individu. Kegagalan individu untuk mengurus kewanngan dengan baik boleh menimbulkan pelbagai implikasi yang tidak baik dalam kehidupannya. Selain daripada risiko bankrap, paling ditakuti ia akan mendorong seseorang untuk terjebak dengan amalan rasuah. Amalan ini jika berleluasa dan tidak dibendung daripada awal bukan sahaja boleh memusnahkan kehidupan individu, malah ia boleh mengakibatkan keruntuhan bangsa dan negara.