Sikap segelintir pihak menidakkan hak hidupan liar untuk terus bermandiri serta berbakti kepada alam dan umat manusia demi kepentingan kebendaan semata-mata sangat dikesali. Sungguhpun telah banyak kempen kesedaran mengenai hakikat peri pentingnya hidupan liar terhadap keseimbangan alam sekitar dan ekosistem, namun ia seolah-olah tidak berbekas dan memberi kesan dalam sanubari segelintir kita semata-mata dek sikap tamak dan haloba yang beraja di hati. Buktinya, laporan media berhubung kes-kes pemburuan haram dan penyeludupan spesies hidupan liar terutamanya spesies yang terancam tidak pernah surut, malah ia semakin berleluasa hari demi hari. Melihat kepada keadaan ini, seolah-olah tiada petanda bahawa kegiatan-kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini akan berakhir.
Pelbagai persoalan timbul di benak kita. Sampai bilakah nasib hidupan liar kita akan terus dicabul haknya tanpa pembelaan? Di manakah silapnya sehinggakan begitu mudah hidupan liar kita ‘bolos’ ke luar negara untuk di pasarkan ke pasaran gelap? Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Apakah peranan kita dalam membantu membendung masalah ini? Sejauh manakah pula keprihatinan pemimpin dan masyarakat berhubung isu ini dan bagaimana pula tindakbalas institusi agama dalam memainkan peranan mereka berhubung masalah ini terutamanya dari rangka faham Islam? Jika pendekatan agama diambil, sejauh manakah keberkesanannya dalam membantu menanganinya?
Dikhuatiri jika masalah ini terus berlanjutan, ia akan memberi tekanan yang lebih parah kepada hidupan liar kita yang selama ini telah banyak menderita ekoran pencerobohan habitat mereka untuk kepentingan ekonomi semata-mata. Lebih malang dan menyedihkan lagi apabila ada sebahagian hidupan liar yang diburu mengalami kecederaan dan kecacatan kekal, serta terpaksa meneruskan sisa-sisa hidup dengan keupayaan yang terbatas akibat penggunaan jerat yang dilihat tidak adil dan mempunyai unsur penganiyaan terhadap haiwan yang diburu. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dengan segera, tidak mustahil suatu masa spesies hidupan liar yang terbabit akan pupus.
Jika pada hari ini, spesies harimau Malaya di Malaysia begitu terancam dan daripada perangkaan yang dilaporkan, dianggarkan sebanyak 80% daripada jumlah yang masih tinggal akan mengalami kepupusan dalam tempoh 50 tahun lagi. Tidak mustahil, suatu masa spesies-spesies yang lain juga turut menerima nasib yang sama dengan harimau Malaya yang kini terpaksa bertarung demi meneruskan sisa hidup yang masih berbaki dalam suasana yang perit lantaran habitat yang semakin terganggu. Timbulnya konflik dengan manusia secara berterusan telah memburukkan lagi keadaan. Justeru sanggupkah kita untuk melihat spesies hidupan liar yang lain juga mengikut jejak harimau Malaya yang semakin menyusut bilangannya pada hari ini? Tegarkah kita untuk melihat spesies demi spesies terus terancam lantaran sikap tidak prihatin kita terhadap hak hidupan liar untuk terus hidup di atas muka bumi ini mengikut ketetapan yang telah diatur oleh Allah S.W.T.
Pemburuan dan penyeludupan terhadap sesuatu spesies hidupan liar di lihat bermusim mengikut permintaan semasa. Laporan media di Temerloh pada bulan lepas menunjukkan tiga spesies hidupan liar yang kini semakin terancam dan giat diburu, iaitu burung hantu, tenggiling dan biawak untuk diseludup dan dipasarkan ke Indochina sebagai hidangan ‘eksotik’. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Datuk Abdul Rasid Samsudin, ketiga-tiga spesies tersebut mendapat permintaan yang tinggi di pasaran gelap ekoran begitu digemari oleh penggemar makanan eksotik di sana sehingga harga mencecah RM200 seekor.
Daripada laporan yang dibuat, kerja-kerja pemburuan dan penyeludupan hidupan liar menjadi lebih mudah kerana mendapat kerjasama daripada masyarakat orang asli dan penduduk setempat sebelum diseludup ke luar negara melalui jalan laut dan juga darat. Faktor ini telah menjadikan usaha untuk membanteras kegiatan pemburuan haram hidupan liar bertambah rumit. Justeru kesedaran masyarakat setempat adalah perlu bagi menangani masalah penyeludupan spesies haiwan yang dilindungi itu agar spesies-spesies tersebut tidak berhadapan dengan ancaman kepupusan. Keadaan menjadi bertambah meruncing apabila kegiatan pembalakan dilakukan tanpa kawalan menyebabkan semakin banyak habitat hutan yang menjadi tempat perlindungan hidupan liar musnah.
Daripada perangkaan yang dilaporkankan, dunia kini sedang kehilangan lebih daripada 170,000 km2 hutan dari permukaan bumi. Mengimbas kembali pada kurun ke-19, hutan hujan tropika yang kita miliki masih lagi meliputi hampir 90% di seluruh Semenanjung Malaysia. Namun demikian, menjelang tahun 1957, kawasan yang dilitupi hutan telah berkurang kepada 74%, dan kebanyakan kawasan tanah rendah telah ditukar statusnya bagi menggiatkan lagi sektor pertanian. Keadaan bertambah buruk apabila jumlah hutan yang kita miliki semakin berkurang kepada 61% pada tahun 1970-an, manakala hanya tinggal 47% sahaja kawasan yang dilitupi hutan pada tahun 1980-an. Dalam setahun, dianggarkan negara kita kehilangan kira-kira 7,000 km2 kawasan hutan asli. Selari dengan penyusutan kawasan hutan, jumlah hidupan liar termasuk harimau juga turut berkurang ekoran kitaran makanan di dalam ruang lingkup habitat yang semakin mengecil telah terganggu dan terjejas. Keadaan ini sekaligus turut menyebabkan kadar populasi hidupan liar menyusut secara membimbangkan.
Dengan keadaan ini, masih mampukah kita menyelamatkan habitat hutan dan hidupan liar yang menghuni hutan-hutan negara kita supaya tidak pupus daripada muka bumi ini. Dalam mengatasi masalah ini, kita perlulah mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyeimbangkan di antara membolos sumber alam, dengan keperluan manusia, misalnya menanam semula hutan, mengawal populasi hidupan liar, menggantikan petrol dengan hidrogen dan kuasa elektrik, mengitar semula bahan buangan dan mengadakan perdamaian dengan alam dan juga hidupan liar. Bagaimanakah perdamaian dengan alam dan hidupan liar dapat dilakukan? Secara mudahnya, perdamaian dapat dibentuk apabila kita bermuhasabah diri dan mendidik jiwa kita agar tidak melakukan kemusnahan terhadap alam, berlaku adil ke atas hidupan liar yang sama-sama berkongsi persekitaran dengan kita dan menghormati hak hidupan liar yang juga merupakan ‘umat seperti kita’ yang berhak hidup secara majmuk mengikut ketetapan Allah S.W.T.
Setiap lapisan masyarakat perlu sedar bahawa jika sesuatu spesies pupus, ia akan memberi kesan yang besar ke atas kitaran dan kestabilan ekosistem kita. Pada hari ini, kita dapati telah banyak kepincangan yang berlaku ke atas ekosistem kita lantaran sikap kita yang memandang enteng akan kepentingan setiap ciptaan Ilahi kepada kita tanpa mensyukurinya. Sedangkan, telah banyak amaran dan peringatan yang telah diberi oleh Allah S.W.T., namun manusia tetap juga tamak sehingga mengabaikan kepentingan ekosistem demi keuntungan duniawi semata-mata yang seterusnya merugikan kita sendiri.
Justeru, mulai saat ini marilah sama-sama kita mengubah sikap kita agar tahu mensyukuri nikmat yang telah Allah S.W.T. kurniakan kepada kita, disamping muhasabah diri dengan penuh kesedaran terhadap kepentingan makhluk lain supaya alam menjadi tempat yang lebih majmuk dan selamat untuk semua pihak.