Justeru firman Allah “dan ingatkanlah mereka tentang Hari Penyesalan yang dipenuhi Tangisan dan Sedu-sedan, ketika semua urusan telah putus (iaitu Hari Akhirat)” (Maryam, 19: 39).
Dari saat seseorang itu lahir, mencapai umur matang (bÄligh), hinggalah habis umurnya di dunia, usia seseorang itu adalah ibarat bekas kosong-jarak waktu yang pasti kita isi, sama ada secara “baik” mahupun “buruk”. Waktu tersebut akan diisi melalui pelbagai kegiatan, sama ada yang terpaksa dikerjakan ataupun dengan kerelaan. Waktu hidup juga mungkin “diisi” melalui kegiatan yang membazirkan masa dengan membiarkannya berlalu begitu sahaja, dengan bermalas-malasan tanpa berbuat apa-apa.
Oleh kerana hidup manusia terdiri daripada pelbagai tahap, cara kita menggunakan masa pada tahap yang awal akan mempengaruhi kita pada tahap masa yang terkemudian. Lain kata, keputusan yang kita buat di peringkat awal akan mempengaruhi pilihan yang masih terbuka kepada kita untuk tahap kehidupan yang seterusnya. Maka itu, sebarang pilihan yang kita putuskan pada masa remaja, muda atau belia adalah sangat penting, kerana ia mempunyai kesan yang luas dalam menentukan corak dan bidang yang tersisa untuk bebas dipilih dalam tahap yang seterusnya. Hakikat ini berlaku di semua tahap kehidupan. Setiap pilihan yang diputuskan perlu mempertimbangkan kesannya dalam jangkamasa segera dan jangkamasa panjang. Cara kita menggunakan masa pada hari ini atau pada tahun ini bukan sekadar mempengaruhi ciri kehidupan kita sekarang, tetapi juga jenis dan mutu kehidupan kita di masa-masa yang akan datang. Apakah kegiatan pengisian masa kita sekarang (yang kita rasakan bagus) nanti sebaliknya akan mencegah kita dari mengisi masa kita secara yang baik di hari muka? Ataupun, apakah kegiatan pengisian masa kita sekarang (yang kita rasakan bagus) nantinya akan memberi kesempatan atau memudahkan cara kehidupan yang kita anggap bagus kemudian-bertahun-tahun kemudian? Allah mengingatkan bahawa “hendaklah setiap jiwa (nafs) memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (ke akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Hashr, 59: 18).
Kalaulah hidup ini tidak ada bertahap atau berperingkat-peringkat, kalaulah hidup ini hanya urusan harian yang habis dari satu hari ke satu hari yang lain sahaja, maka tidak adalah soal moral yang besar yang perlu diselesai atau difikirkan dengan mendalam. Kalaulah buku akaun yang mengira untung-rugi kita dalam hidup boleh ditutup di akhir setiap hari, tidak dibawa ke hari yang berikutnya; kalaulah apa yang kita lakukan sewaktu zaman muda tidak mempunyai sebarang kesan terhadap masa hadapan-maka pilihan yang perlu kita putuskan hanya penting untuk sedetik dan sepintas lalu sahaja. Untuk hidup dari hari ke hari, sebekas minuman dan sehidang makanan sudah memadai. Tetapi kalau begitu apalah bezanya dengan kehidupan seekor haiwan yang secara naluri tidak perlu memikirkan hari muka?
Persis cabaran daripada Allah, “maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main saja, dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (al-Mu’minun, 23: 115); “Apakah manusia mengira, bahwa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggung-jawaban)?” (al-Qiyamah, 75: 36)
Tiap-tiap hari, manusia berhadapan dengan soal moral yang sangat mendasar, iaitu untuk memilih antara yang “baik” dengan yang “buruk” dalam tiap-tiap peringkat kehidupannya, supaya hidupnya secara keseluruhan terhitung baik. Kadang-kadang, apa yang tampak baik, patut, sedap untuk jangkamasa segera tidak akan menyokong atau membantu ke arah keseluruhan hidup yang baik dalam jangka-panjang.
Di sinilah nasihat dan pemupukan adab yang betul sangat penting untuk membantu khasnya golongan muda agar memahami dan menyedari hakikat kehidupan mereka seawal yang mungkin. Jika tidak, maka mereka akan terlambat menyedarinya di hari tua; menyesal, kerana hidup sudah larut dan agak lewat untuk memanfaatkan hikmah tersebut.
Pertimbangan jangka-panjang menuntut kita supaya mempunyai perancangan hidup yang menyeluruh, iaitu perencanaan bagaimana untuk mengisi masa sekarang, di tahun-tahun yang segera mendatang, dan jangka-panjang? Kita wajib menilik kesan jangka-panjang keputusan yang dibuat di peringkat awal.
Hidup pernah diibarat seperti menghasilkan karya seni yang bagus. Dalam senibina, umpamanya, proses membina dimulakan hanya selepas pelan terperinci (blueprint) yang merangka tindakan siap tersedia. Dalam seni lukis, rangkanya mungkin tidak terlalu terperinci, tetapi tetap ada garis-garis besar (sketch) yang akan dijadikan asas untuk menzahirkan dayacipta yang dicitakan dalam tujuan akhir sang seniman. Begitu pula dalam seni karangan dan seni muzik, si pengarang dan pemuzik akan bermula dengan garis-garis kasar (outline) sebelum meyudahkan pemikirannya dengan sentuhan titik penghabisan. Pendek kata, karya seseorang seniman sentiasa berpandukan tujuan dan citra daya-ciptanya yang sedikit-sebanyak agak terperinci mengenai apakah natijah terakhir yang bakal terhasil dalam karya yang sudah selesai dan lengkap.
Kegiatan semasa hidup boleh dihalusi daripada pelbagai jurusan: Pertama, kegiatan ibadah khusus, seperti solat, membaca al-Qur’an, berwirid, berdoa, dan yang sebagainya lagi. Ia tidak seharusnya dilalaikan akibat kegiatan-kegiatan lain. Bahkan, ibadah khusus merupakan tunjang bagi kegiatan hidup yang lain. Ibn ‘Abbas meriwayatkan sabda Rasulullah, “Solat wajib dilakukan bagi setiap sendi anggota tubuh seseorang.” Seorang yang hadir berkata, “Tuntutan ini sangat sukar untuk kami laksanakan.” Rasulullah bersabda, “Kamu menyuruh yang ma’ruf dan melarang yang munkar adalah solat, kamu membantu golongan yang da’if adalah solat, kamu membuang halangan yang terdapat di jalan orang-ramai adalah solat, dan tiap-tiap langkah kamu untuk menunaikan solat adalah solat” (diriwayatkan dalam Sahih Ibn Khuzaimah).
Kedua, kegiatan yang diperlukan secara ekonomi, seperti bekerja makan gaji, bekerja ambil upah, atau bekerja menguruskan harta yang sedia dimiliki. Turut perlu diambil kira adalah waktu yang dihabiskan untuk berulang-alik ke tempat kerja. Matlamat kegiatan ekonomi ini adalah untuk mencari nafkah demi keadaan hidup yang patut dan wajar.
Ketiga, kegiatan yang diperlukan seperti tidur, makan-minum, membersihkan diri, dan yang sebagainya lagi. Tujuannya untuk menjamin kesihatan badan dan kekuatan jasmani. Harus dikawal sekadar yang perlu dan berfaedah.
Keempat, kegiatan riadah, sukan dan permainan untuk berseronok-seronok. Ia harus dikawal sekadar untuk tujuan berehat, menghilangkan kepenatan, meredakan tekanan perasaan dan menyegarkan badan. Piawainya tergantung kepada keperluan individu dan keadaan. Jika berlebihan atau melampau, ia termasuk dalam amaran Allah: “Bahkan kamu sentiasa mencintai apa yang cepat habisnya (keseronokan dunia). Dan kamu tidak menghiraukan hari akhirat (yang abadi kehidupannya).” (al-Qiyamah, 75:20-21)
Kelima, kegiatan membiarkan masa berlalu tanpa berbuat apa-apa, atau mengisinya dengan termenung atau berangan-angan sahaja. Harus dibataskan pada kadar seberapa sedikit yang mungkin.
Keenam, kegiatan memajukan peradaban peribadi (private virtues) atau meyumbang ke arah kemajuan masyarakat (civic virtues), sama ada melalui institusi-institusi, ataupun melalui unsur-unsur kebudayaan, kesenian dan sainsnya. Kegiatan tersebut boleh dilakukan menerusi, umpamanya, kegiatan persahabatan dan kegiatan mengenai ilmu, sama ada ilmu yang berbentuk kemahiran, kesenian, pengetahuan, kefahaman mahupun kebijaksanaan. Termasuk dalam bidang ini adalah mereka yang suka menggunakan kecerdasan mengajar, kepandaian seni, keahlian sains, kecekapan profesional, ketajaman perniagaan, kepintaran perdagangan, kemahiran perindustrian, dan perjawatan kerajaan, dengan tujuan untuk memajukan peradaban peribadi dan menyumbang ke arah pengislahan masyarakat. Kegiatan ini melibatkan pemikiran yang kritis atau pemikiran yang kreatif atau kedua-duanya sekali.
Sumber Majalah Dewan Masyarakat Februari 2008.