Pada saat penduduk di seluruh dunia sibuk merisaukan masalah perubahan cuaca dunia, di Malaysia, masalah ini ibarat ‘melukut di tepi gantang’. Tidak peduli, tidak faham dan tiada kena mengena, mungkin inilah yang dirasakan oleh kebanyakan dari kita sekarang.
Untuk pengetahuan pembaca semua, ketika ini, lebih 10,000 wakil-wakil daripada pelbagai negara seluruh dunia berada di Bali, Indonesia bagi menghadiri Climate Change Conference 2007 (3-14 Disember). Persidangan ini diadakan dengan beberapa tujuan. Tujuan paling utama adalah untuk membincangkan langkah seterusnya selepas Protokol Kyoto tamat pada tahun 2012 nanti. Dalam masa yang sama, turut dibincangkan usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) secara sukarela mahupun secara wajib. Tidak ketinggalan juga perbincangan berkisar tentang bagaimana masalah penebangan hutan boleh dikawal dan juga bantuan yang boleh disalurkan kepada negara-negara miskin dalam menangani kesan perubahan cuaca.
Dalam memahami masalah perubahan cuaca bumi ini, wajar untuk kita memahami hubungannya dengan Protokol Kyoto. Protokol ini telah dipersetujui pada 11 Disember 2007. Matlamat protokol ini adalah untuk mengurangkan pelepasan gas CO2 yang didakwa menjadi punca pemanasan bumi. Sehingga Jun 2007, 172 negara telah memperakui protokol ini. Daripada jumlah tersebut, kata sepakat telah dicapai agar 36 negara-negara industri mengurangkan pelepasan gas CO2 atau gas-gas lain yang bersifat memerangkap haba. Pengurangan ini perlu dilakukan pada kadar purata 5 peratus dari tahap pelepasan tahun 1999. Perlulah diingatkan di sini bahawa walaupun pelbagai negara telah memperakui protokol tersebut namun ini tidak bermakna mereka bertanggungjawab untuk melaporkan perkembangan usaha pengurangan gas tersebut.
Bagaimanakah pencapaian usaha pengurangan gas CO2 selepas Protokol Kyoto? Apa yang boleh dikatakan di sini adalah usaha mengurangkan gas CO2 oleh 36 negara industri yang telah disebutkan tadi tidaklah begitu berjaya. Masalah lebih ketara apabila wujudnya pertentangan diantara beberapa negara dalam kumpulan 36 negara tersebut. Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang begitu kuat menyokong Protokol Kyoto mahukan agar usaha pengurangan gas CO2 dilakukan dengan tegas. Namun, usaha ini ditentang pula oleh beberapa buah negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Bagi negara-negara EU sendiri, walaupun mahukan ketegasan, namun kebanyakan negara tersebut juga gagal mencapai matlamat pengurangan gas CO2. Sehingga akhir tahun 2006, hanya United Kingdom dan Sweden yang hampir dapat mencapai matlamat pengurangan masing-masing.
Selain itu, rasa tidak puas hati juga disuarakan negara-negara membangun dan negara miskin. Negara membangun menuntut haknya untuk membangunkan negara masing-masing. Dengan alasan negara maju telah terlebih dahulu membangun dan mencemar udara, maka mereka sewajarnya diberikan peluang untuk maju. Dalam pada itu, negara-negara maju juga dituntut untuk memindahkan teknologi ke negara-negara membangun agar mereka dapat pula membangun tanpa menjejaskan alam sekitar. Bagi negara miskin pula, mereka bukan sahaja menghadapi masalah yang hampir sama dengan negara membangun tetapi mereka turut menuntut diberikan bantuan untuk menghadapi kesan tidak baik daripada pemanasan bumi ini.
Kejayaan yang tidak memberangsangkan dan segala pertentangan yang berlaku dalam usaha menghadapi dan menyelesaikan masalah pemanasan bumi benar-benar menunjukkan betapa masalah ini sangat sukar diatasi. Selagi setiap negara di dunia ini hanya ingin mementingkan diri sendiri, maka sesungguhnya masalah pemanasan bumi tidak akan selesai sampai bila-bila. Lebih menyedihkan apabila sikap seperti ini hanya memakan diri sendiri. Maka, dalam masa terdekat ini kita akan merasa kesan daripada apa yang tangan kita lakukan. Ini bukan janji kosong, tetapi satu janji yang telah juga disebut di dalam kitab suci al-Quran (Surah ar-Ruum: 41)
Bagi negara Malaysia khususnya, terdapat dua perkara yang perlu diberikan perhatian. Pertamanya, negara kita tidak terkecuali daripada merasa kesan pemanasan bumi ini. Contohnya, kejadian banjir yang tidak terkawal sejak akhir-akhir ini merupakan satu tanda kesan pemanasan bumi. Ini membuktikan Malaysia tidak kebal dari kesan pemanasan bumi.
Perkara kedua, berkait dengan pembangunan negara. Sebagai sebuah negara yang membangun, kita berhak memegang beban amanah dan tanggungjawab untuk membangunkan negara kita sendiri. Namun pembangunan ini mestilah dalam kerangka yang mesra alam. Walaupun kita tidak mempunyai tanggungjawab sebesar negara maju dalam usaha mengurangkan pelepasan gas CO2, ini tidak bermakna Malaysia boleh lepas tangan. Kita juga mesti berusaha mengurangkan pelepasan gas CO2 demi menyokong usaha mengatasi pemanasan bumi. Malahan sebagai sebuah negara yang berpegang kepada pembangunan bersandarkan aliran siasah Islam hadhari, tanggungjawab untuk menyelamatkan bumi tidak boleh diketepikan.
Berkaitan dengan pemindahan teknologi pula, kita tidak boleh selamanya meletakkan harapan kepada negara maju. Kini adalah masanya untuk kita mencipta dan membangunkan teknologi ala Malaysia. Kekuatan dalam bidang ini perlu kita kuasai bukan sahaja untuk menghadapi pemanasan bumi tetapi juga untuk memindahkan teknologi ala Malaysia kepada negara-negara yang lain. Perlulah diingat bahawa kebanyakan negara miskin yang menerima kesan teruk daripada pemanasan bumi ini adalah terdiri daripada negara-negara Islam. Mereka juga sebahagian besarnya terdiri daripada negara-negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Oleh itu, dengan kedudukan istimewa negara Malaysia di dalam OIC buat masa ini, pemindahan teknologi ini boleh dilakukan dengan semangat persaudaraan dan juga dengan semangat membangunkan semula kegemilangan tamadun.