“Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur” (Surah an-Nahl, 16:14).
Sepotong ayat di atas sudah cukup memberi cerminan jelas kepada kita tentang nikmat lautan yang tidak ternilai dalam memenuhi tuntutan hidup manusia di atas muka bumi. Namun demikian, sejauh manakah kita memahami dan menghayati bait-bait ayat yang disampaikan kepada kita baik dari segi kepentingan kitaran semulajadi yang berlaku dalam persekitaran mahupun peranan kita sebagai satu-satunya makhluk yang berakal di atas muka bumi? Sesungguhnya begitu hebat aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam memberi pedoman kepada manusia untuk mengemudi kehidupan ke jalan yang diredhai-Nya.
Segala yang tersurat dan tersirat dalam setiap ciptaan Allah perlu dikaji dan dirungkai agar kita lebih menghargai nikmat alam dan mensyukuri setiap apa yang telah dibekalkan kepada kita. Umpamanya, simbiosis unik yang berlaku dalam ekosistem marin yang terbentang luas itu sendiri seharusnya menyedarkan kita tentang kebesaran dan kekuasaan Yang Maha Esa, selain mampu mendorong hati kita untuk menjadi insan yang patuh dan mensyukuri setiap nikmat kurniaan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur” (Surah Luqman, 31: 31).
Keunikan ekosistem marin bukan sahaja digambarkan dari sudut keindahan fizikalnya semata-mata, malahan juga dapat dilihat daripada jutaan biodiversiti yang ada di dalamnya yang membentuk suatu rantaian lengkap makanan. Dalam konteks ini, kitaran makanan dimulai oleh plankton tumbuhan yang menggunakan cahaya matahari semasa proses fotosintesis bagi menghasilkan makanan sendiri. Manakala, plankton haiwan pula akan memakan tumbuhan atau plankton haiwan yang lain. Seterusnya ikan, kerang-kerangan dan burung laut akan memakan plankton yang kemudiannya makhluk-makhluk ini dimakan pula oleh haiwan yang lebih besar seperti anjing laut dan paus. Begitulah unik dan takjubnya kesinambungan hidupan di dalam ekosistem marin yang setiap satu saling berhubung kait antara satu sama lain.
Rantaian makanan ini penting untuk difahami dan dipelihara kerana kita (manusia) berada di aras terakhir rantai makanan. Misalnya, kita memperolehi sumber bahan mentah seperti ikan yang menjadi sumber protein utama serta menghasilkan pelbagai produk daripada sumber-sumber laut untuk melengkapkan keperluan asas kita. Justeru, jika berlaku kepincangan ke atas rantaian makanan ini maka kehidupan manusia juga akan turut terjejas. Oleh yang demikian, maka amat penting bagi kita untuk memahami setiap proses yang berlaku bukan sahaja dalam ekosistem marin bahkan juga dalam persekitaran fizikal yang lain agar kelangsungan hayat bumi dapat diteruskan.
Dalam menjaga khazanah lautan, peranan setiap individu adalah penting terutamanya bagi memastikan laut tidak dicemari dengan sewenang-wenangnya. Mungkin segelintir daripada kita berpendapat bahawa keluasan lautan amat besar dan tidak mungkin ia akan tercemar teruk. Sebenarnya telahan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana, air sungai yang mengalir akhirnya akan menghanyutkan segala bahan cemar ke dalam laut. Pencemaran ini seterusnya akan membunuh atau menyingkirkan hidupan laut baik yang tinggal berhampiran muara sungai mahupun pantai. Situasi ini pastinya akan merencatkan kitaran makanan bagi hidupan laut, dan manusia tidak terkecuali menerima impak daripada kepincangan yang berlaku.
Oleh yang demikian, dalam memacu kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan melindungi ekosistem marin, maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama mengembleng usaha bagi memastikan khazanah lautan ini dijaga dan dilindungi. Usaha kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan mewartakan taman laut perlu disokong agar kepelbagaian biodiversiti marin dan ekosistemnya dapat dipertahankan.
Kelangsungan ekosistem marin penting memandangkan ia bukan sahaja menjadi penyumbang kepada sumber bekalan makanan, sebaliknya sumber-sumber biodiversiti marin juga banyak menyumbang dalam pelbagai jenis industri seperti sektor perubatan dan bioteknologi. Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, spesies batu karang dikatakan amat sesuai digunakan bagi menggantikan tulang berbanding dengan besi sejak tahun 1982.
Selain itu, hasil kajian yang dijalankan oleh ahli biologi marin telah mendapati bahawa spesies sepan mempunyai komponen anti bakteria dan sangat sesuai digunakan dalam ubatan anti bakteria. Manakala dalam bidang bioteknologi pula, saintis mendapati bahawa batu karang mempunyai kompaun yang boleh melindungi kulit daripada pancaran ultra violet (ultra lembayung) yang sangat sesuai digunakan dalam industri kosmetik iaitu untuk penghasilan krim penahan sinaran matahari. Bagi spesies marin seperti gamat atau timun laut pula, ia telah dibuktikan berkesan dalam penggunaannya sebagai sejenis antiseptik.
Melihat kepada sumbangan penting yang dimainkan oleh ekosistem marin, maka usaha pemuliharaannya perlu menjadi keutamaan dan tiada kompromi lagi kepada sebarang bentuk pencabulan ke atasnya. Pelbagai usaha yang dilakukan di peringkat global seperti pengisytiharan hari laut sedunia yang disambut tanggal 8 Jun pada setiap tahun merupakan salah satu langkah positif dalam usaha memacu dan memantapkan lagi pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti marin serta keseluruhan ekosistemnya.
Sambutannya yang saban tahun diisi dengan pelbagai program menarik berbentuk pendekatan ke arah konservasi ekosistem marin dilihat sebagai suatu platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan dan sumbangan laut kepada kehidupan seharian. Selain itu, sambutan Hari Laut Sedunia yang bakal disambut esok juga diharap dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam melindungi alam sekitar. Mudah-mudahan dengan penglibatan seluruh anggota masyarakat, ia dapat memberi manfaat yang berguna kepada mereka untuk turut serta menyumbang dalam usaha pemuliharaan dan pelestarian ekosistem marin.