Dunia sekali lagi menyaksikan tindakan ekstrim Islamofobia oleh Rasmus Palidin, pemimpin politik berhaluan kanan Sweden yang membakar kitab suci al-Quran di Stockholm 21 Januari lalu di ambang tahun baru Cina.
Ia telah menimbulkan kemarahan terutama dari dunia Islam tentang tindakan yang mencemarkan kitab suci orang Islam. Tindakan provokatif yang dilakukan di hadalapan Kedutaan Turkiye menunjukkan betapa masih menebal lagi kefahaman benci kepada Islam atau Islamofobia di negara Eropah.
Kejadian ini bukan pertama kali berlaku. Ia merupakan tindakan yang sering diagongkan atas nama kebebasan mutlak di Barat. Ini kerana Barat masih lagi prejudis ke atas agama Islam dan umat Islam.
Perlu dijelaskan apa yang dimaksudkan dengan Islamofobia. Ia adalah rasa ketakutan dan permusuhan yang melampau terhadap Islam dan umat Islam yang sering membawa kepada ucapan kebencian serta diskriminasi sosial dan politik. Ia boleh digunakan untuk merasionalkan dasar seperti kawalan ketat ke atas pihak tertentu secara besar-besaran, pemenjaraan dan kehilangan hak. Tanpa memperbetulkan persepsi negatif ini, ia boleh mempengaruhi dasar dalam dan luar negara Barat.
Islamofobia telah wujud dalam wacana Barat sejak Zaman Pertengahan apabila stereotaip negatif tentang umat Islam membantu membina sokongan popular semasa Perang Salib. Gambaran tentang umat Islam sebagai tidak bertamadun dan ganas juga membantu merasionalkan penguasaan penjajah Eropah ke atas kebanyakan negara Islam. Sarjana Amerika, Edward Said menggunakan istilah “orientalisme” untuk menggambarkan corak stereotaip negatif terhadap umat Islam dan orang lain yang dijajah. Istilah “Islamophobia” telah dipopularkan dalam laporan 1997 oleh Runnymede Trust, sebuah badan pemikir British yang menangani perkauman dan prejudis etnik.
Seperti anti-Semitisme, perkauman anti-orang Hitam dan prasangka ke atas “orang luar”, Islamofobia sering digunakan untuk mempromosikan dasar diskriminasi yang bermotifkan kepentingan pemain politik Barat.
Islamofobia sering wujud di minda orang Barat. Mereka mengesyaki agama Islam dan orang Islam mempromosi keganasan. Akibatnya orang Islam sentiasa disyaki dan tidak disenangi. Berlaku diskriminasi di sesetengah tempat kerja di mana pemakian hijab oleh wanita Islam dan bersolat adalah dilarang sama sekali. Dalam media arus perdana dan media sosial, umat Islam digambarkan sebagai ganas dan tidak boleh dipercayai. Ia terbukti apabila dakwaan keganasan Islam digunakan untuk mewajarkan kawalan ketat ke atas orang Islam. Dalam keadaan tertentu, ia mewajarkan tindakan perang ke atas sekumpulan orang Islam dan negara Islam.
Ini dapat dilihat dalam insiden serangan oleh seorang pengganas di Masjid Al-Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch, New Zealand mengakibat 51 orang Islam dan mencederakan sekurang-kurangnya 49 yang lain semasa mereka mendirikan solat Jumaat pada 15 Mac 2019. Ia dikaitkan dengan xenofobia, perkauman dan Islamofobia walaupun New Zealand merupakan negara paling selamat dan mempunyai tahap pembunuhan yang paling rendah di dunia.
Sebenarnya, Islamofobia disebarkan melalui rangkaian ideologi yang dibiayai oleh pihak anti Islam dengan menggunakan suara media, badan pemikir dan organisasi sosial dan politik Barat.
Dalam satu mesyuarat pada tahun 2011, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersat dan Liga Negara Arab telah mengenal pasti Islamofobia sebagai perkara yang membimbangkan dunia. Hasinya, Gallup telah membangunkan satu set analisis berdasarkan pengukuran pandangan umum di kalangan penduduk majoriti dan minoriti di pelbagai negara dalam menggubal dasar, dalam usaha menangani isu Islamofobia di peringkat global.
Di peringkat global, penduduk minoriti Islam di Barat mendapati bahawa mereka tidak dihormati oleh penduduk majoriti bukan Islam di negara tersebut. Secara khusus, 52% rakyat Amerika dan 48% rakyat Kanada mengatakan Barat tidak menghormati masyarakat Islam. Manakala masyarakat Islam merasakan mereka dialu-alukan di Itali (57% menghormati dan 28% tidak menghormati), Perancis (56% menghormati dan 30% tidak menghormati), Jerman ( 56% menghormati dan 34% tidak mengjormati dan United Kingdom (47% menghormati dan 38% tidak menghormati).
Antara faktor yang menyebabkan persepsi di atas ialah perbezaan budaya, agama, dan kepentingan politik antara orang Islam dan Barat merupakan sebab utama ketegangan antara orang Islam dan dunia Barat. Ini menunjukkan bahawa penduduk asal (orang putih) mempunyai tanggapan negatif, prejudis dan diskriminisi ke atas orang Islam di negara Barat kerana perbezaan budaya dan agama. Ini dibuktikan dengan majoriti mereka tidak mahu tinggal di kawasan yang didiami oleh majoriti orang Islam.
Sebagai langkah bagi mengatasi Islamofobia di Barat, usaha kerajaan, institusi dan orang perseorangan perlu dibuat. Antaranya ialah menganjurkan dialog, melibatkan aktiviti antara pelbagai penganut agama dan etnik sejak dari bangku tadika lagi. Kefahaman kepada kepelbagaian agama dan budaya perlu ditekankan dan dihayati bersama demi memupuk bahawa manusia semuanya adalah sama yang berasal dari Nabi Adam AS, yang dicipta dari tanah dan semua manusia adalah sama dari kaca mata kemanusiaan.
Justeru itu, bagi membendung Islamofobia, masyarakat antarabangsa dan semua negara di dunia ini mestilah menolak fahaman sempit prejudis ke atas agama dan bangsa atas nama kebebasan mutlak memberi pendapat. Masyarakat antarabangsa tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa wajib bangkit membantah sebarang tindakan yang membawa kepada kebencian kepada penganut agama dan bangsa lain serta mengekang apa saja tindakan keganasan atas apa nama pun.
Dalam usaha bagi mempromosi keharmonian antara agama dan bangsa, Barat perlu menilai kembali kebebasan mutlak dalam memberi pandangan (freedom of expression) yang diamalkan. Ucapan dan tindak tanduk kebencian ke atas mana-mana agama terutama ke atas agama Islam dan bangsa mestilah dihentikan dengan menguatkuasakan undang-undang ucapan kebencian (hate speech).
Begitu juga, undang-undang menghina agama (blasphemy law) hendaklah terpakai ke atas semua agama dan bukan hanya ke atas agama Kristian seperti di United Kingdom. Tindakan membakar al-Quran jelas menunjukkan penghinaan ke atas agama Islam.
Tanpa tindakan adil oleh pihak kerajaan di Barat, Islamofobia akan tetap berakar dan ini akan menyebabkan tindakan keganasan oleh pelbagai pihak akan berlaku. Jangan sama sekali terdapat penganut agama Islam yang ekstrim mengambil tindakan di luar undang-undang seperti yang berlaku pada tahun 2001 (9/11) dan kejadian bom di London (London bombing) pada 7 Julai 2005. Perlu ada usaha pendidikan oleh pihak kerajaan Barat bagi mengisi program dan aktivit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai platform bagi mempromosi bahawa agama Islam adalah agama keamanan dan benci kepada keganasan. Usaha ini pernah dibuat dalam satu program khas Fulbright Award – Direct Access to the Muslim World selepas kejadian 9/11 di mana ramai pensyarah dari negara Islam ditempat di Amerika Syarikat bagi mendidik warga Amerika yang ramai masih mentah dan cetek mengenai agama Islam.