Peningkatan kes Covid-19 saban hari telah membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa ke-2. Dari satu sudut, tempoh PKP ini mungkin memberi kesan negatif kepada sesetengah segmen masyarakat, yang akan menyebabkan sumber pendapatan seharian mereka terjejas sebagai contoh. Hal ini sedikit sebanyak pastinya menimbulkan kegusaran kepada sebahagian anggota masyarakat yang terkesan dengan PKP yang dilaksanakan.
Walau apa pun keluh kesah yang disuarakan oleh anggota masyarakat, namun kita tiada pilihan melainkan perlu meneruskan tempoh PKP kerana wabak Covid-19 perlu dikekang penularannya habis-habisan agar tidak memburukkan lagi keadaan. Justeru, anggota masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk terus berada di rumah dan tidak keluar ke tempat awam agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan dengan segera supaya rutin seharian kita dapat kembali normal seperti biasa.
Hal ini selari dengan ajaran Rasulullah SAW yang menekankan pelaksanaan langkah pencegahan apabila berlakunya penularan wabak penyakit. Perkara ini merupakan tanggungjawab agama bagi setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam termasuklah masjid, agar orang yang sihat tidak dijangkiti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang Sakit janganlah mendatangi yang sihat”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain itu, Rasulullah SAW juga telah memerintahkan agar mereka yang berada dalam kawasan wabak untuk tidak keluar dari kawasannya, dan mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki kawasan yang terkena wabak. Hal ini sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku ditempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya” (Hadis Riwayat Muslim).
Ajaran Rasulullah SAW berkaitan pencegahan penularan wabak penyakit ini perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat, agar kita reda dengan bencana yang melanda seluruh dunia pada ketika ini dan menerima tempoh PKP ini dengan berlapang dada. Walaupun mungkin tempoh PKP yang dilaksanakan ini perit kepada segelintir kita, namun masih terselit sedikit sudut positif yang boleh diambil iktibar. Misalnya, selain untuk pencegahan penularan wabak penyakit, tempoh PKP yang dilaksanakan oleh rata-rata negara yang terjejas dengan wabak Covid-19 juga dilihat turut memberi impak yang positif kepada alam sekitar.
Umpamanya, pengurangan kenderaan di jalan raya serta operasi pesawat dan sektor perindustran di seluruh dunia sedikit sebanyak dapat meminimumkan beban pencemaran udara. Hal ini kerana, secara umumnya majoriti daripada pelepasan bahan pencemar udara adalah terhasil daripada sektor pengangkutan dan perindustrian yang pesat. Misalnya pelepasan gas karbon monoksida, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida daripada kenderaan bermotor dan sektor perindustrian serta perkilangan telah memberi kesan buruk kepada alam sekitar sejak sekian lama. Malah, ekoran pelepasan bahan-bahan pencemar udara berkenaan telah menyebabkan berlakunya pemanasan global dan mengakibatkan paras suhu bumi meningkat, seterusnya menyumbang kepada perubahan iklim dunia.
Tempoh PKP yang dilaksanakan pada ketika ini dilihat dapat meminimum dan merehatkan alam sekitar daripada beban pencemaran udara. Perkara ini terbukti hasil daripada kajian oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) terhadap kualiti udara di China yang mendapati bahawa kandungan nitrogen dioksida telah menurun sebanyak 30 peratus ekoran daripada pemberhentian sementara operasi sektor perkilangan dan perindustrian di negara berkenaan dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.
Begitu juga di Itali yang turut menunjukkan kualiti udara yang lebih baik sejak pengisytiharan “lockdown” akibat daripada peningkatan kes Covid-19 dan jumlah kematian yang semakin tidak terkawal di negara berkenaan. Kandungan nitrogen dioksida di Itali didapati menurun dengan drastik terutamanya di sebelah Utara negara terbabit yang merupakan kawasan bermulanya penularan wabak Covid-19 dan menjadi kawasan pertama yang dikenakan “lockdown”.
Situasi sama turut berlaku di negara kita apabila beberapa kawasan yang dianalisis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) seperti Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Seremban, Melaka, Johor Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu semasa PKP fasa pertama turut menunjukkan penurunan dari segi kandungan nitrogen dioksida (11 hingga 62 peratus), sulfur dioksida (5 hingga 22 peratus), dan karbon monoksida (2 hingga 25 peratus).
Selain pencemaran udara, pencemaran bunyi daripada kenderaan bermotor dan sektor perindustrian juga dapat dikurangkan sepanjang tempoh PKP. Begitu juga dengan kadar jenayah alam sekitar yang melibatkan sektor perkilangan dan perindustrian juga pastinya turut dapat diminimumkan apabila banyak operasi kilang dan industri dihentikan buat sementara waktu. Jika dilihat kepada beberapa aspek berkenaan, ia secara jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan PKP bukan sahaja dapat memutuskan rantaian Covid-19, tetapi juga turut dapat meminimumkan kadar pencemaran dan jenayah alam sekitar.
Walau bagaimanapun, dalam pada kita memperoleh secebis kesan positif terhadap beberapa aspek melibatkan alam sekitar hasil daripada pelaksanaan PKP ini, namun masyarakat juga perlu berwaspada dari satu sudut yang lain seperti mengelakkan pembaziran bahan mentah dan juga makanan. Hal ini penting agar tempoh PKP yang dilaksanakan tidak mengakibatkan peningkatan timbunan sisa di tapak-tapak pelupusan sampah. Sebaliknya, tempoh PKP ini perlu dijalani dengan penuh berhemah agar kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan pembelian barangan mentah dan makanan melebihi keperluan bagi memastikan kita tidak menyumbang kepada peningkatan timbunan sisa, yang akhirnya mengundang impak negatif kepada alam sekitar.