Kelicikan penipuan kewangan ataupun scammer dalam talian semakin menjadi-jadi di Malaysia. Walaupun banyak tangkapan yang telah dibuat, namun kes penipuan begini masih lagi berlaku dengan kerugian yang ditanggung mangsa adakalanya mencecah jumlah simpanan sepanjang hayat mereka untuk persaraan.
Secara umumnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengelaskan jenayah penipuan kewangan dalam talian ini kepada lima jenis iaitu; (i) penipuan atau pinjaman yang tidak wujud; (ii) e-dagang; (iii) Macau Scam; (iv) Love Scam; dan (v) tipu SMS. Penipuan ini juga tidak mengenal mangsa mereka sama ada individu profesional, kelas menengah mahupun warga tua.
Ketika negara dilanda musibah Covid-19 juga, operasi penipuan sebegini tetap berlaku. Menurut laporan pihak berkuasa, sepanjang tempoh PKP yang bermula pada 18 Mac 2020 hingga 4 Ogos 2020, jenayah e-dagang telah mencatatkan jumlah kes yang tertinggi iaitu sebanyak 2,500 kes dengan kerugian yang dicatatkan sebanyak RM17 juta. Ini diikuti dengan “pinjaman tidak wujud” 1582 kes dengan kerugian RM18 juta; “Macau Scam” 1001 kes dengan kerugian RM50 juta; “Love Scam” 481 kes dengan kerugian RM18 juta; dan, “tipu SMS” sebanyak 91 kes dengan kerugian RM800,000.
Walaupun jenayah e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi, namun dari segi kerugian, didapati jenayah “Macau Scam” yang mencatatkan jumlah yang paling tinggi iaitu RM50 juta. Teknik-teknik penipuan yang digunakan dalam kegiatan jenayah dalam talian ini termasuklah membuat panggilan dengan menyamar sebagai anggota penguatkuasa atau penjawat awam agensi tertentu, memperdaya untuk mendapatkan data peribadi dan mengguna atau mewujudkan laman sesawang palsu dan lain-lain.
Ketika menghadapi situasi penularan Covid-19 misalnya, ramai dari kalangan masyarakat terjejas akibat tidak dapat bekerja dan hilang sumber pendapatan. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukan bantuan khas untuk membantu mereka yang terjejas. Malangnya ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan dengan menghantar SMS berhubung kait dengan bantuan ini dengan meminta maklumat peribadi penerima bantuan. Sekiranya terpedaya, penerima tadi mungkin menjadi mangsa kepada jenayah kewangan dalam talian ini.
Taktik-taktik keji penipuan kewangan telah menyebabkan mangsa berasa cemas, panik dan mungkin takut, khususnya warga tua. Akhirnya mangsa mengambil tindakan yang terburu-buru dan menanggung kerugian yang besar. Kejinya penipuan kewangan begini kerana ada kes yang menyebabkan mangsa hilang simpanan sepanjang hayat, telah membuat hutang secara maksimum yang tidak perlu atau ada juga yang hilang maruah dirinya.
Pelaku yang melakukan kegiatan jenayah kewangan ini disifatkan sebagai zalim kerana memanipulasi orang lain dan tidak mempeduli soal haram dan halal. Sedangkan pada hakikatnya, wang yang dibelanja hasil daripada penipuan itu bukanlah hasil titik peluh mereka. Sebaliknya ia adaah hasil kerja keras sepanjang hayat mangsa-mangsa yang ditipu.
Dalam Islam, seseorang yang menipu yakni berdusta melalui kata-katanya disebut sebagai munafik. Berdasarkan satu daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Orang-orang munafik ini juga dijanjikan azab yang tidak terperi di akhirat kelak. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, “Sampaikanlah khabar berita kepada orang munafik bahawa: sesungguhnya disediakan untuk mereka azab yang pedih” (An-Nisa’, 5: 138).
Perbuatan jenayah kewangan ini juga sebenarnya memperlihatkan si pelaku itu memakan harta orang lain secara batil. Sedangkan Allah melarang perbuatan tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya)…” (An-Nisa’, 5: 29).
Umat Islam sepatutnya mengelakkan diri daripada menjadi sebahagian daripada rangkaian penipuan jenayah kewangan dalam talian ini kerana mengetahui akan larangannya. Bukan sahaja sebagai ahli kumpulan sindiket, tetapi termasuklah juga sebagai pekerja yang membuat panggilan penipuan dan pelindung kepada kegiatan penipuan tersebut.
Desakan hidup untuk mencari sumber pendapatan tidak boleh dijadikan alasan untuk terlibat dalam perkara ini kerana terdapat pelbagai cara lain untuk mencari rezeki yang halal lagi berkat. Apatah lagi sebenarnya pelaku yang mendalangani kegiatan jenayah kewangan dalam talian ini didasari dengan sifat tamak dan megah dengan kekayaan batil yang dimiliki.
Bagi mengelakkan diri menjadi mangsa jenayah kewangan dalam talian seperti ini, beberapa tindakan dikenal pasti boleh diambil oleh masyarakat awam. Sebagai contoh, anak-anak dewasa perlu kerap berbicara tentang taktik-taktik penipuan kewangan ini dengan ibu bapa yang telah berusia khususnya yang tidak tinggal bersama. Para pesara perlu lebih berhati-hati dengan sebarang kegiatan kewangan dalam talian. Sentiasa waspada terhadap panggilan yang mendakwa dari agensi tertentu dan nasihat untuk tidak berbincang dengan orang lain sebelum melakukan transaksi kewangan yang besar.
Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku yang terlibat dalam jenayah ini. Begitu juga terhadap mana-mana individu yang bersekongkol dalam melindungi pelaku jenayah ini termasuklah anggota penguatkuasa sendiri atau pihak yang menjual data peribadi mangsa.
Hukuman yang dikenakan juga seharusnya lebih tegas dan mendatangkan gentar kepada orang lain untuk melakukan jenayah yang sama. Sesuai dengan perkembangan kegiatan jenayah kewangan semasa yang sentiasa berevolusi. Kita tidak mahu pendigitalan menjadikan kegiatan jenayah kewangan dalam talian semakin mudah.
Pada akhirnya, masyarakat perlu lebih peka dengan perkembangan semasa berkaitan jenayah kewangan ini, tidak mudah panik dengan ugutan, sentiasa mendapat nasihat pihak berwajib berhubungkait dengan transaksi kewangan yang besar sebelum melakukan tindakan dan saling ingat mengingati antara satu sama lain akan kewujudan jenayah kewangan dalam talian sebegini.