Pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 terhadap kes Nik Elin telah memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai batal dan tidak sah. Peruntukan-peruntukan tersebut adalah seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b), 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48. Antaranya berkaitan kesalahan liwat, persetubuhan dengan mayat, gangguan seksual, perbuatan sumbang mahram dan muncikari.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat telah menegaskan bahawa isu dalam kes ini bukanlah tentang kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia, tetapi berkenaan sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan diberi kuasa membuat peruntukan-peruntukan tersebut mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya. Beliau turut menyatakan bahawa hukuman Sivil dan Syariah di Malaysia adalah berbentuk takzir yang mana hukuman bagi kesalahan diadakan oleh pemerintah. Justeru, tidak wujud cabaran terhadap undang-undang Islam di Mahkamah Syariah. Begitu juga keputusan Nik Elin ini tidak merendahkan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Isu pokok dalam kes ini adalah berkaitan kompetensi Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan-peruntukan tersebut mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Butiran 1 Senarai II SenaraiNegeri, Jadual Kesembilan.
Mengimbas kembali sejarah yang sama, pada tahun 2021, Mahkamah Persekutuan melalui kes Iki Putra Mubarrak memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan seks luar tabii (liwat) sebagai tidak sah dan tidak perlembagaan.
Alasannya, Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang terhadap kesalahan jenayah termasuk jenayah Syariah yang telah diberikan kuasa kepada Parlimen. Jadual Kesembilan Senarai II Senarai Negeri hanya memberi kuasa kepada DUN untuk membuat undang-undang berkaitan dengan pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama Islam (creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of Islam).
Dalam kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan mentafsirkan frasa “except in regard to matters included in the Federal List” sebagai “preclusion clause” atau peruntukan yang menghalang DUN menggubal undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen. Secara jelas, DUN hanya boleh membuat undang-undang jenayah jika memenuhi ketiga-tiga elemen iaitu i. Kesalahan itu dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam; ii. Kesalahan terhadap perintah agama Islam; dan iii. Kesalahan berkenaan tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Tun Abdul Hamid Mohamad, Mantan Ketua Hakim Negara mempertahankan tindakan Mahkamah Persekutuan tersebut kerana mahkamah hanya mentafsirkan Perlembagaan seperti yang ada sekarang dan memutuskan isu di hadapannya. Tugas untuk meminda undang-undang jenayah Islam supaya ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah adalah dengan remedi politik melalui Parlimen.
Implikasi kedua-dua kes Iki Putra dan Nik Elin ini adalah peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah Syariah negeri-negeri yang mempunyai persamaan di bawah undang-undang persekutuan yang tersenarai di bawah Senarai I Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan boleh dicabar dan diisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah. Memandangkan Parlimen telah membuat undang-undang jenayah seperti liwat, persetubuhan dengan mayat, muncikari dan lain-lain kesalahan yang termaktub dalam Kanun Kesiksaan, DUN tidak diberi kuasa untuk membuat undang-undang yang sama walaupun ia adalah bercanggah dengan perintah agama Islam.
Dari 68 seksyen yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan, hanya 16 seksyen yang dianggap terbatal dan tidak berperlembagaan rentetan dari keputusan Nik Elin oleh Mahkamah Persekutuan. Baki peruntukan dalam enakmen tersebut masih sah terpakai. Dengan lain perkataan, Enakmen tersebut masih dianggap terpakai dan berkuatkuasa.
Meskipun kedua-dua institusi Parlimen (Senarai I) dan DUN (Senarai II) diberi kuasa masing-masing dalam membuat undang-undang mengikut senarai masing-masing, Perlembagaan juga memperuntukkan Senarai Bersama iaitu Senarai III yang membolehkan kedua-dua badan perundangan membuat undang-undang bersama-sama dalam hal- hal tertentu. Perkara 74(1) misalnya membenarkan Parlimen membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama.
Antara langkah yang boleh dilakukan juga buat masa ini ialah semakan terhadap kesemua akta dan enakmen negeri supaya tidak berlaku pertindihan dengan Senarai Persekutuan serta semakan ruang untuk usul Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Perlembagaan bagi mengharmonisasikan undang-undang.
Pendekatan harmonisasi undang-undang merupakan cara terbaik dalam mengurangkan konflik antara perundangan Syariah dan sivil. Begitu juga dalam pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Selagi mana peruntukan dalam undang-undang sivil tidak bercanggah dengan ajaran Islam, ia adalah dianggap sebagai sebahagian dari undang-undang Islam.
Sebagai contoh, peruntukan kesalahan dalam Kanun Kesiksaan banyak mempunyai persamaan dengan kesalahan jenayah Syariah.
Kesalahan mencuri, membunuh, meliwat, mengadakan persetubuhan dengan mayat dan binatang adalah antara kesalahan-kesalahan jenayah Syariah yang terdapat dalam Kanun Kesiksaan.
Perlu diingatkan bahawa agama Islam diturunkan untuk semua manusia. Pemakaian undang-undang Islam dalam perundangan sivil dan diadili di Mahkamah Sivil bagi orang Islam dan bukan Islam adalah natijah pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia. Undang-undang Islam di negeri-negeri hanya terpakai ke atas orang Islam dan diadili di Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tidak boleh diadili di Mahkamah Syariah. Alangkah baiknya hukuman terhadap “kesalahan jenayah Syariah” yang terkandung dalam perundangan sivil yang dibuat oleh Parlimen dapat diadili di Mahkamah Sivil dan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.
Sebagai sebuah institusi yang memberi kefahaman Islam yang sebenar, IKIM menyeru supaya semua pihak mendapatkan fakta yang benar dan tepat mengenai kes Nik Elin. Oleh yang demikian, IKIM sedang menggerakkan beberapa inisiatif dan gerak kerja susulan kes Nik Elin, antaranya mengadakan Persidangan Meja Bulat atau Muzakarah Pakar, menyampaikan maklumat perundangan yang betul melalui program dalam stesen radio IKIMfm dan penulisan serta hebahan media melalui berita dan media sosial.
Atas titah Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI dalam mesyuarat MKI ke 70 pada 28 Ogos 2023, sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam telah ditubuhkan pada 5 Disember 2023 yang berperanan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil. Jawatankuasa ini akan memberi syor-syor yang dapat mengurangkan pertindihan ini serta melihat bidang kuasa DUN dan Parlimen dalam membuat undang-undang dalam kompetensi masing-masing.
IKIM juga berbesar hati untuk terlibat sebagai anggota dalam sebarang jawatankuasa yang berkaitan dan memberi input kepada Jawatankuasa Khas sedia ada.
Melalui titah Sultan Selangor dalam mesyuarat MKI ke 71 pada 15 Februari 2024, semua pihak diminta untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin pada 9 Februari lalu dan tidak membuat sebarang kupasan yang tidak tepat serta mengeruhkan keadaan yang membawa kepada percakaran sesama orang Islam. Memetik titah Sultan Selangor, “cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam senua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan Islam akan menghormati umat Islam”.