Muhammad ‘Abduh, seorang reformis terkenal dari Mesir pernah menyatakan bahawa, “Aku pergi ke Barat dan aku melihat Islam, tetapi tiada Muslim; aku pulang ke Timur dan aku melihat Muslim tetapi bukan Islam.” Sementelah satu peribahasa Melayu pula berbunyi, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga negeri sendiri.”
Menariknya kedua-dua frasa yang terbit dari arah Timur ini boleh menjadi rumusan sepanjang tempoh penulis menyertai Kursus Khas Pegawai Hal Ehwal Islam di United Kingdom bagi tahun 2024 selama sebulan (Oktober – November) ketika musim luruh baru-baru ini, tanpa menafikan bahawa pada hari ini orang Islam boleh ditemui di mana-mana sahaja di pelusuk dunia.
Berdasarkan pengalaman dan pengamatan penulis, sepanjang empat minggu berada di London dan sekitarnya, masyarakat di sana amat mementingkan ketepatan masa. Contohnya, temu janji untuk bergerak dengan menaiki kereta (yang ditempah) pada jam 10.00 pagi itu memberi makna, sebelum jam 10.00 pagi semua penumpang sudah berada di dalam kenderaan dan pada jam 10.00 pagi itu kenderaan telah pun bergerak. Bukanlah jam 10.00 pagi enjin baru hendak dihidupkan! Amalan ini tentu sahaja boleh dihubungkan dengan firman Allah SWT dalam surah al-‘Asr yang memperlihatkan betapa agama Islam amat mementingkan masa, dan manusia yang tidak menghargai masa adalah manusia yang rugi.
Selari dengan amalan menepati masa untuk sebarang janji atau pertemuan, masyarakat ini memiliki budaya memberi atau menyediakan laluan bagi mereka yang mahu bergerak lebih pantas. Pemandangan ini boleh dilihat di laluan-laluan pejalan kaki terutamanya di eskalator stesen-stesen kereta api atau lebih dikenali sebagai “tube”.
Jujurnya mengamali budaya ini semasa di sana adalah suatu nikmat bagi diri penulis dan rakan-rakan lain yang menyertai kursus ini. Amalan ini sebenarnya bertepatan dengan salah satu “hak jalan” sebagaimana yang ditekankan oleh Rasulullah SAW dalam hadis sahih Baginda (HR Bukhari).
Malangnya, sejurus menjejakkan kaki di eskalator lapangan terbang di tanah air, amalan ini tidak dapat diteruskan dan tenggelam bahkan terpaksa bersaing dengan penumpang-penumpang lain yang datang dari pelbagai tempat dan negara.
Sejarah serta latar belakang pembangunan kereta api bawah tanah di London merupakan perkara yang amat mengkagumkan diri penulis. Pembangunan kereta api ini bermula pada awal abad ke-19. Antara rakaman sejarah pembinaan stesen kereta api di negara ini ialah, tahun 1836 menjadi saksi bagi pembukaan London and Greenwich Railway (L&GR). Seterusnya pada tahun 1863, London memperkenalkan kereta api bawah tanah pertama di dunia yang dikenali sebagai Metropolitan Railway yang menghubungkan di antara Paddington dengan Farringdon Street. Kebetulan peserta kursus kalangan wanita ditempatkan di Munkenbeck Building di Jalan Hermitage, yang hanya terletak beberapa minit dari stesen Paddington, maka kami dapat melihat/membaca maklumat bergambar sejarah tube ini yang dipaparkan di dinding bersaiz mega setiap kali pulang dari menghadiri kuliah.
Pembangunan sistem pengangkutan awam di United Kingdom ini menjelaskan bahawa mereka adalah bangsa yang membina perancangan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan masyarakat bagi jangka masa pendek, bahkan untuk jangka masa yang panjang. Bukan sekadar untuk satu atau hingga lima dekad, bahkan ia menjangkau hingga ke ratusan tahun.
Selain amat futuristik, pada masa yang sama mereka juga memberi perlindungan dan memulihara bangunan-bangunan yang telah dibina oleh generasi yang lebih awal. Contohnya bangunan Stadium Arsenal lama yang telah digantikan dengan Stadium Emirates, tidak dirobohkan sepenuhnya. Melalui projek Highbury Square, stadium lama ini dibangunkan semula dan diubah suai menjadi rumah pangsa yang boleh dimanfaatkan kepada masyarakat setempat.
Perkongsian ini hanyalah sebahagian kecil “emas” yang dapat dilihat secara mata kasar oleh penulis, yang boleh diadaptasi dan dibudayakan di negara kelahiran kita. Budaya dan sikap yang ditunjukkan adalah selaras dengan kehendak agama Islam dalam membina peradaban sesuatu bangsa.
Walaupun demikian, emas yang berkilauan di negeri orang tetap tidak mampu menyaingi nikmat paling besar yang kita miliki iaitu Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan, “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
Penulis berkesempatan untuk berbual-bual dengan Two White Muslims (Mohammad Yusuf dan Junaid Rahim) pencipta kandungan YouTube yang memperkenalkan agama Islam secara santai, menarik dan mudah, dan beberapa personaliti Muslim di sana. Mereka merumuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat istimewa. Pihak pemerintah telah menyediakan prasarana yang hebat untuk umat Islam di Malaysia mengamali agama Islam termasuklah dalam sistem pendidikan Islam.
Di mana-mana sahaja orang Islam boleh melakukan ibadah solat dengan amat selesa. Manakala kaedah pelaksanaan zakat juga amat sistematik, yang memudahkan pembayar zakat melaksanakan kewajipan berzakat, dan manfaat yang akan diterima adalah kepada penduduk setempat. Dalam konteks di Malaysia, adalah kepada pemastautin negeri masing-masing.
Berbanding dengan masyarakat Islam di sana, pembayar zakat lebih cenderung untuk membayarnya ke negara asal masing-masing yang menyebabkan zakat di United Kingdom tidak dapat dimanfaatkan secara maksimum kepada masyarakat Islam setempat.
Ketika sesi pencerahan agama Islam bagi memperkenalkan agama ini kepada penduduk setempat bukan Islam, penceramah sempat menyebut bahawa negara Malaysia mempunyai sistem yang amat cekap dalam menguruskan ibadah haji kepada rakyatnya. Bahkan berpuasa dalam bulan Ramadan di Malaysia akan memberikan pengalaman menakjubkan kepada sesiapa sahaja yang berpeluang untuk melaksanakannya di negara ini.
“Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan?” (Surah al-Rahman)