Kuala Lumpur 15 September – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan mewujudkan panduan lengkap piawaian pengurusan syarikat korporat berasaskan prinsip syariah yang sedia diguna pakai awal tahun depan.
Pengerusi IKIM, Tan Sri Dato Seri (Dr.) Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata penyediaan panduan piawaian di bawah pengiktirafan ISO 9001/2000 itu sudah melalui beberapa tahap perbincangan dan sedia untuk mendapatkan pendapat umum tidak lama lagi.
Penyediaan panduan prinsip itu sedang dijalankan Jawatankuasa Petugas Perindustrian (ISC) di IKIM dengan kerjasama Jabatan Standard di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Antara faktor yang diambil kira dalam penyediaan panduan itu ialah amalan tadbir urus, urus niaga dalaman, penyediaan keputusan kewangan dan kaedah membuat keputusan.
“IKIM akan mengkaji amalan terbaik untuk dimasukkan dalam penyediaan panduan piawaian syarikat korporat menurut prinsip Islam itu,” katanya pada perasmian Seminar Perbadanan, Perundangan Korporat, dan Tadbir Urus Menurut Perspektif Islam, di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, keperluan pertubuhan pensijilan antarabangsa dalam piawaian yang akan diperkenalkan perlu mendapat pendapat umum dari dalam dan luar negara, sebelum dilaksanakan.
Katanya, apabila siap kelak panduan itu boleh digunakan oleh agensi pengiktirafan pensijilan tempatan seperti SIRIM Bhd dan ia mampu disalurkan untuk kegunaan negara Islam lain.
Panduan pengiktirafan syarikat korporat berasaskan prinsip syariah adalah panduan kedua yang disediakan oleh ISC. Projek pertamanya adalah penyediaan panduan piawaian bagi produk makanan halal, iaitu MS15000/2004 yang sudah dilancarkan, baru-baru ini.
Selain penyediaan panduan piawaian itu, Tan Sri Dato Seri (Dr.) Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, IKIM juga akan memperkenalkan indeks pembangunan Malaysia dari perspektif Islam. Indeks itu akan digunakan untuk mengukur tahap pembangunan di negara ini berdasarkan perspektif Islam.
Beliau berkata, projek itu dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan di Jabatan Perkhidmatan Awam. Katanya, antara faktor yang akan diambil kira dalam penyediaan indeks itu adalah semua persoalan yang dihadapi oleh masyarakat dan individu yang merangkumi aspek sosial serta ekonomi.
Beliau berkata, sebagai antara negara Islam termaju di dunia, Malaysia perlu menerajui penggubalan polisi dan prinsip Islam, sekali gus boleh digunakan negara lain untuk pembangunan negara masing-masing.