KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan mengadakan persidangan antarabangsa bertajuk “The Role of Islamic States in a Globalised World” (Peranan Negara-negara Islam Dalam Dunia Globalisasi) selama dua hari mulai 17 Julai bagi membincangkan isu-isu berhubung dunia Islam.
Ketua Pengarah IKIM Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas memberitahu Bernama bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan persidangan itu manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Prof Dr Ekmeleddin Ihsanoglu akan menyampaikan ucap utama.
Persidangan itu bertujuan membincangkan secara khusus modus operandi strategik bagi mengukuhkan umat Islam dalam konteks global khususnya dalam sistem pendidikan untuk melahirkan modal insan, katanya.
Persidangan itu akan membincangkan beberapa bidang utama termasuk ekonomi dan sistem kewangan yang sesuai bagi negara-negara Islam, pengurusan keamanan dan konflik global serta orientasi sains dalam negara-negara Islam, katanya.
— BERNAMA