KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) — Institut Kefahaman Islam Malaysia ((IKIM) mempelawa masyarakat Malaysia untuk menyertai sebuah persidangan antarabangsa mengenai “Peranan Negara Islam Dalam Dunia Globalisasi” bagi menangani isu berkaitan dunia Islam.
Persidangan selama dua hari bermula 17 Julai, bertempat di Seri Pacific Hotel, di sini, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Prof Dr Ekmeleddin Ihsanoglu dijangka menyampaikan ucaptama.
Menurut Ketua Pengarah IKIM Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, persidangan itu bertujuan membincangkan secara khusus mengenai langkah strategik untuk menyegarkan semula kehidupan umat Islam dalam konteks global, terutamanya berhubung dengan sistem pendidikan demi memanfaatkan modal insan 1.6 bilion penganut Islam.
FOKUS PERBINCANGAN
Persidangan itu akan membincangkan beberapa bidang utama, termasuk sistem ekonomi dan kewangan yang bersesuaian untuk negara Islam, pengurusan perdamaian dan konflik global, serta halatuju sains dalam kalangan negara Islam, katanya.
Syed Ali menekankan bahawa pencemaran ilmu, yang turut mencetuskan kekeliruan dan salah tanggapan antara dunia Islam dan Barat, telahpun menjadi masalah asas yang dihadapi oleh dunia Islam.
Beliau berkata pencemaran itu, yang berlaku dalam kalangan mereka yang diberikan kuasa untuk bercakap mengenai isu yang mempunyai kaitan dengan umat Islam, semakin menular.
“Dalam perkataan lain, kami tidak mempunyai keyakinan dengan mereka yang diberikan kuasa untuk bercakap bagi pihak umat Islam. Kami merasakan mereka mungkin tidak mempunyai kelayakan seperti yang digembar-gemburkan memandangkan tidak banyak pencapaian mereka yang kami nampak,” katanya kepada Bernama.
Syed Ali menegaskan masanya sudah tiba untuk negara Islam mengutarakan penyelesaian mereka sendiri, ke arah mewujudkan pemahaman yang lebih baik sejak “tekanan hebat” oleh Amerika selepas insiden 9/11.
AGAMA DAN NEGARA BERDAULAT
Dalam pada itu, Fellow Kanan IKIM, Dr Mohd Sani Badron yang juga Penyelaras Akademik pula menegaskan bahawa Islam tidak memisahkan antara agama dan negara.
Beliau berkata dalam tamadun Islam terdapat kesepakatan mengenai kemestian bagi seluruh umat Islam memiliki Negara yang berdaulat.
Yang dimaksudkan Negara yang berdaulat, menurutnya ialah negara yang mampu mempertahankan perbatasannya daripada pencerobohan, memberi keadilan kepada yang dianiaya daripada yang menganiaya (tanpa mengira agama), dan menguatkuasakan segala undang-undang (tanpa mengira pangkat dan kedudukan).
Mengenai penguatkuasaan perundangan dan hukum, beliau berkata jelas bahawa antara matlamatnya adalah untuk mencegah para penjenayah daripada mengulangi perlakuan jahat mereka.
Ia juga bertujuan untuk menghindar orang lain daripada melakukan jenayah yang sama. Ini kerana, jika dibiarkan berleluasa, jenayah seperti keganasan, kecurian dan samun boleh menggugat keamanan masyarakat dan mengganggu penghayatan agama dalam kehidupan.
ANTARA KEWAJIPAN UMAT ISLAM
Dr Mohd Sani menjelaskan ajaran Islam juga menekankan kewajipan umat Islam untuk menegakkan sistem kehakiman yang memberi keputusan yang adil mengenai sebarang pertikaian yang dibicarakan di mahkamah.
Dari segi perekonomian pula, beliau berkata Allah SWT telah menyatakan dalam al-Qur’an supaya “harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja”.
Untuk itu, beliau berkata ini menuntut kepada sistem pentadbiran yang berdaulat lagi cekap untuk menguatkuasakan cukai terhadap pihak yang berada.
“Cukai serta hasil negara yang selainnya perlu diagihkan sebagai hak golongan yang memerlukan seperti fakir-miskin, golongan yang ditimpa bencana, dan golongan lain yang seumpamanya,” ujar beliau.
Beliau berkata dalam suasana global masakini yang dicengkam kuasa Barat pascamoden, semakin jelas bahawa negara Islam dituntut untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan dalam pelbagai dimensinya, sama ada pendidikan, bahasa, ekonomi, politik, perundangan, teknologi mahupun seni.
Pertama-tamanya, jelas beliau, demi menghargai cita-cita manusia ke arah kecemerlangan rohaniah, negara-negara Islam perlu menyelengggarakan pendidikan seumur hidup yang bersepadu lagi bermutu tinggi untuk semua warganya.
“IKIM percaya bahawa konsep-konsep dalam ilmu-ilmu Islam sememangnya mempunyai kekuatan pemersatu yang tersendiri. Ini termasuklah bagi mereka yang menganut faham agama selain Islam, tetapi turut menentang proses sekularisasi dunia, pensekularan nilai-nilai akhlak dan sekularisasi politik,” tambah beliau.
PERANAN NEGARA ISLAM
Dr Mohd Sani berpendapat negara-negara Islam juga harus menggalakkan model alternatif keserasian pelbagai kaum yakni keharmonian yang berasaskan kepada semangat untuk menghayati ajaran-ajaran akhlak yang diajarkan oleh agama masing-masing.
Ajaran-ajaran akhlak tersebut adalah selari antara satu sama lain, jelas beliau.
Kedua, menurut beliau, sebagai jaminan terhadap hak manusia (tanpa mengira agama) untuk hidup aman dan selamat, negara-negara Islam perlu membantu usaha-usaha ikhlas untuk menghapuskan ancaman sebenar ekstremisme, terrorisme, jenayah keganasan dan peperangan.
Ketiga, katanya, demi memelihara keperluan manusia (tanpa mengira agama) terhadap kemaslahatan ekonomi, negara-negara Islam perlu memperkukuh usaha untuk menghapuskan eksploitasi sosio-ekonomi dan kemiskinan, pada peringkat antarabangsa amnya dan pada peringkat kebangsaan khasnya.
Keempat, Dr Mohd Sani berkata, negara-negara Islam juga perlu menghulurkan sumbangan yang bermakna terhadap perjuangan sejagat untuk melindungi alam daripada pencemaran dan memelihara keseimbangan persekitaran yang sihat lagi menyegarkan.
MODUS OPERANDI
Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, beliau berpendapat perbincangan yang strategik haruslah ditumpukan kepada modus operasi untuk menyegarkan semula umat Islam dalam rangka global, khasnya menerusi sistem pendidikan dan institusi-institusi pemikiran yang dipimpin oleh para ilmuan yang mampu menggembleng unsur modal insan.
“Sistem pendidikan dan institusi-institusi pemikiran negara Islam harus mampu membangunkan model-model alternatif lagi konstruktif yang berasaskan ajaran-ajaran Islam mengenai ‘adalah, masalih dan mafasid, maqasid al-shariah dan yang seumpamanya,” kata beliau.
Dalam bingkai ini, Dr Mohd Sani menjelaskan bidang-bidang utama yang harus dibicarakan termasuklah mengenai sistem ekonomi dan kewangan yang patut dan layak dalam menghadapi cabaran global; kaedah berkesan untuk mengendalikan pertentangan dan keamanan sejagat; halatuju sains dalam negara Islam, masa depan kesenian, bahasa dan senibina Islam, serta penilaian kritis terhadap sistem kehakiman, media dan ketenteraan dalam negara-negara Islam masakini.
Justeru, kepada mereka yang berminat untuk menimba dan mendalami ilmu serta kefahaman mengenai peranan negara Islam dalam proses globalisasi, segera hubungi Sarina Othman atau Mohd Sholihin Mohamad di 03-62046320/321/322/323 atau emelkan kepada [email protected]/[email protected].
–BERNAMA