Sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bekerjasama menerbitkan segmen bersiri seorang negarawan terbilang di dalam rancangan “Galeri Perdana’ yang ditayangkan di TV1, jam 8.30 malam.
Tokoh negarawan terbilang yang dimaksudkan ialah Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim (1916-1999). Allahyarham merupakan tokoh perundangan shariah dan sivil sehingga digelar ‘walking encyclopedia” oleh warga perundangan negara ini. Sumbangannya yang besar terhadap perkembangan sistem undang-undang dan kehakiman Malaysia, mengundang perakuan dan pengiktirafan dari banyak pihak.
Lapan segmen bersiri mengenai Allahyarham akan mula disiarkan pada 6 hingga 9 Ogos dan 13 hingga 16 Ogos 2007. Antara tokoh yang telah ditemuramah berkenaan peribadi, kerjaya, sumbangan dan jasa Allahyarham kepada Malaysia ialah Y.A. Bhg Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, Y.Bhg Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman, Penasihat Agama Islam Kepada YAB Perdana Menteri, Y. M Prof. Di Raja Ungku Abdul Aziz, mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Y. Bhg Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail dan Pengarah Eksekutif BIMB Securities.
Tokoh perundangan yang turut terlibat dalam segmen bersiri ini ialah Y.Bhg Dato’ Faiza bin Hj Thamby Chik, mantan Hakim Mahkamah Tinggi yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah IKIM, Y.Bhg Prof. Dr. Razali Nawawi, mantan Dekan Undang-undang, UIAM, Prof. Salleh Buang, peguam dan Y.Bhg Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, Penasihat Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Darussalam.
Lapan segmen tersebut akan merangkumi latarbelakang keluarga dan pendidikan Allahyarham, sumbangan kepada universiti sehingga tertubuhnya Fakulti Undang-undang Universiti Malaya dan UIAM, peranan Allahyarham sebagai salah seorang perintis penubuhan IKIM, usaha beliau memartabatkan hakim dan mahkamah shariah, kajian mendalam berkenaan undang-undang murtad, pengharmonian undang sivil dan shariah dan perbankan Islam.
Rancangan “Galeri Perdana” terbitan RTM sentiasa berusaha memaparkan tokoh negarawan yang berjasa kepada bangsa dan negara.
Sanjungan dan penghormatan yang diberikan kepada Allahyarham Ahmad Ibrahim dikongsi oleh orangramai daripada peringkat tertinggi hinggalah awam – Sultan dan Raja, ahli siasah, para ilmuan, tokoh-tokoh agama, kakitangan kerajaan, pimpinan korporat dan lain-lain.
Sementara itu, IKIM bertanggungjawab untuk mengenengahkan tokoh akademik cemerlang dalam pada rakyat meyambut 50 tahun kemerdekaan Negara. Sehubungan itu, IKIM akan menganjurkan Seminar “Ahmad Ibrahim” : Pemikiran dan Sumbangan Ilmiah” pada 21-22 Ogos 2007 di Hotel Hilton, Petaling Jaya.