Apabila kita membicara ahli politik sebagai contoh ikutan, untuk masyarakat awam pada lazimnya mereka melihat kepada corak kepemimpinan ahli politik terbabit di peringkat Kerajaan yang menerajui negeri atau di peringkat negara. Kepemimpinan Kerajaan penting kerana segala amanah yang dipertanggung jawab ke atas mereka akan memberi kesan terhadap pengendalian negara dan seterusnya kebajikan rakyat. Maju mundur sesebuah negara bergantung begitu rapat dengan keikhlasan dan mutu kepemimpinan Kerajaan tersebut.
Sebagai bangsa yang sedang bangkit maju dan mulai dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa, bangsa Malaysia khususnya masyarakat Melayu Islam mesti bercita-cita luhur dan tinggi membawa negara untuk mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa yang maju di peringkat antarabangsa. Tanpa cita-cita yang murni tersebut kita akan menjadi masyarakat pinggir, masyarakat yang mana agenda hidup akan ditentu dan dipengaruhi oleh orang lain. Sebagai masyarakat pinggir kita sudah melaku zalim kepada agama dan bangsa kita sendiri.
Dalam rangka kita membicara contoh kepimpinan politik sebagai contoh ikutan, lebih tepat kita mengkhususkan perbincangan tersebut kepada contoh kepemimpinan politik dalam negara – masa kini dan akan datang. Kepemimpinan politik yang berkesan dan berjaya sudah pasti akan mampu mengendali negara ke mercu kejayaan dalam kesemua aspek secara menyeluruh dan sepadu sehingga wujud sebuah masyarakat yang bertamadun yang diredhai Allah s.w.t. seperti kehendak al-Quran, “(Negeri mu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”. (Saba’:15)
Keberkesanan kepemimpinan politik negara semasa dengan itu memerlui mereka berkemampuan berperanan secara berkesan. Keadaan semasa yang berunsur sejagat dan corak hidup yang penuh persaingan memerlukan kepimpinan politik menghayati perkembangan dunia dan mampu meletakkan negara berperanan secara berkesan dalam suasana tersebut.
Dalam keadaan senario terbabit, Islam kembali diberi perhatian oleh umat Islam. Dalam arus kebangkitan minat masyarakat kepada Islam, golongan ilmuan Islam perlu menguasai ilmu al-Quran dan Hadith semoga pandangan hidup Islam dapat digariskan dan sekaligus dapat memberi perspektif tauhid dalam kesemua aspek yang hendak ditangani dalam menghadapi persoalan semasa dan setempat. Islam perlu dilihat sebagai satu sistem penyusunan masyarakat sesebuah negara. Allah berfirma dengan maksud berikut: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Al-Anbiya : 107)
Dalam era pertembungan tamadun dan budaya seperti yang dikemukakan oleh masyarakat sekular, Islam harus dari segi perbincangan di peringkat ilmu, mampu diutara oleh ahli ilmuan Islam sebagai yang paling sempurna, canggih dan sesuai dalam menyusun kesemua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara di zaman sekarang dan seterusnya di masa hadapan. Pendekatan dan ramuan Islam dalam kesemua aspek penyusunan dan pengendalian bernegara perlu dipertengahkan.
Di samping kebangkitan kesedaran Islam, kawasan Asia Pasifik dijangka akan menjadi kawasan yang paling maju di dunia pada Abad 21. Jika arah haluan pertumbuhan ekonomi di kalangan negara rantau ini dapat dikekal dan diteruskan, pada abad 21, kawasan Asia Pasifik akan dapat menghasilkan lebih dari satu perlima Keluaran Negara Kasar (KNK) dunia, sama besar dengan saiz KNK di Eropah dan KNK di Amerika Utara.
Dalam menangani perkembangan semasa, negara yang didiami oleh majoriti umat Islam di kawasan Asia Pasifik seperti Malaysia perlu menggubal satu corak pembangunan ekonomi negara yang syumul dan berkesan.
Dalam suasana semasa dan masa hadapan, kepemimpinan politik negara perlu memiliki beberapa ciri yang memboleh mereka membawa negara maju kehadapan. Di antara ciri tersebut adalah berikut:
- Pemimpin politik perlu mendokong idealisme yang luhur dan berkewajipan kepada kebenaran, berakhlak dan jujur untuk memajukan rakyat dan negara.
Tanpa sifat ini negara tidak mungkin maju dan nasib rakyat tidak akan terbela. Sejarah telah membuktikan dan keadaan semasa jelas menyokong pandangan ini bahawa kemajuan sesebuah negara berkait rapat dengan ciri kepemimpinan tersebut di sesebuah negara.
Kecapaian kemajuan di negara kita pada masa kini adalah kerana pimpinan negara bertekad untuk memajukan pembangunan negara. Mereka menyakini bahawa untuk mampu menentu agenda hidup kita, kita mesti berjaya meletak ekonomi negara dalam arus perdana ekonomi dunia. Justeru itu kita berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mengarah negara kearah pencapaian tersebut. - Kepimpinan politik negara perlu mempunyai gagasan ilmu dan pemikiran yang mantap yang menepati nilai kemanusiaan secara menyeluruh dan maju. Justeru itu sistem pengendalian negara perlu bersandarkan asas fahaman yang jitu yang didokong oleh Arahan Illahi.
Dalam zaman semasa kita dapati sistem pengendalian negara yang berasaskan sistem kefahaman yang tidak mantap dan tidak menepati nilai kemanusiaan menghadapi keruntuhan dan menimbul berbagai bentuk gejala kepada masyarakat negara terbabit.
Sejarah telah membuktikan dan begitu juga keadaan yang terdapat sekarang, bahawa sesebuah negara yang mencapai taraf perekonomian yang maju tidak akan dapat mengekal kecepatan kemajuan bahkan terpaksa menghadapi kemunduran jika kekuatan ekonomi tidak disertai dengan kekuatan nilai akhlak kemanusiaan. Keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat dan amalan rasuah berleluasa dalam negara adalah fakta-fakta utama yang melemahkan dan seterusnya meruntuhnya sesebuah sistem sosial bernegara. - Kepemimpinan negara perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan ini penting kepada pemimpin politik yang akan diamanahkan untuk menerajui negara. Kejayaan untuk membangun martabat masyarakat bergantung kepada kemampuan pucuk pimpinan.
Dalam zaman semasa yang penuh dengan cabaran dan persaingan, seseorang pemimpin perlu memahami suasana di dalam negara berkaitan dengan kekuatan dan kelemahan sistem, keupayaan rakyat, dan sumber negara. Mereka harus mampu mengembeling sumber negara untuk memajukan negara ke peringkat yang tertinggi. Kesemua ahli masyarakat dalam negara hendaklah mampu berperanan dan merupakan sumber dalam usaha pembangunan tersebut. - Kepemimpinan politik negara harus mampu menerajui negara untuk berperanan secara berkesan di peringkat antarabangsa.
Dalam zaman globalisasi samada kita mahu atau tidak mahu negara hanya boleh dimajukan di peringkat tinggi jika berkemampuan berperanan di peringkat antarabangsa. Ruang untuk kita maju tidak seharusnya dibatasi oleh kegagalan kita berperanan di kalangan masyarakat dan negara diperingkat antarabangsa.
Oleh itu kepemimpinan politik Melayu Islam perlu memiliki ramuan berikut:
- Pemimpin harus menguasai kefahaman terhadap pandangan hidup (worldview) Islam secara mendalam. Kefahaman tersebut akan membina kepemimpinan yang berdaya maju dan berperanan secara sesuai dengan perkembangan masa dan diperingkat antarabangsa. Dalam rangka menguasai pandangan hidup Islam tersebut, ia perlu disandarkan kepada falsafah tauhid melalui penguasaan ilmu al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w.
- Pemimpin harus mampu menterjemah keluhuran Islam dalam suasana sebenar negara. Pemimpin tidak seharusnya ghairah dan tengelam dengan retorika Islam dan hanyut dengan cogan kata yang mulia.
Pemimpin Islam dewasa ini hendaklah mampu menerajui negara dengan menjadi prinsip-prinsip Islam dalam mengurus dan mentadbir sistem pengendalian negara dalam segala aspek. - Pemimpin mampu membentuk masyarakat negara yang berilmu, bersikap terbuka dan mampu berfikir secara kritikal untuk menegap kebenaran, keadilan dan memupuk budaya muafakat serta toleransi.
Masyarakat negara yang memiliki ciri pemikiran negatif seperti sikap pemikiran tertutup, mekanikal, literal dan berfikiran mudah akan membantut pembangunan negara mengikut acuan Islam.
- Pemimpin harus mempunyai sikap terbuka, ingin mendengar dan sentiasa mendokong kebenaran. Sikap ini akan mewujud suasana erat dan sesuai untuk pandangan bermutu dicetuskan dalam masyarakat.
Dalam usaha masyarakat kita membangun dan memajukan negara, peranan ahli politik dan pimpinan politik sudah pasti penting. Mereka seharusnya menjadi contoh yang mulia dan merupakan kebangaan untuk seluruh golongan ahli masyarakat menghayati semangat `Kepimpinan Melalui Tauladan’.
Untuk mereka di jadikan contoh ikutan masyarakat awam, mereka seharus menjadi golongan masyarakat yang bertrampilan dan terbukti berjasa dan bukan sebaliknya menjadi bebanan kepada masyarakat.