KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan mewakili Malaysia pada mesyuarat awal kumpulan kerja Dialog Antara Agama Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) yang akan diadakan Isnin dan Selasa di Budapest, Hungary.
Ketua Pengarah IKIM Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas berkata delegasi Malaysia yang diketuai beliau akan menghadiri mesyuarat itu yang akan diadakan di Kedutaan Cyprus.
Mohd Roslan Mohd Saludin, Fellow Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik IKIM, akan bersama-sama beliau, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya IKIM akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Kumpulan Kerja 1, yang akan turut dihadiri pakar-pakar dari rakan-rakan ASEM, yang dipertanggungjawabkan untuk mengusulkan satu set cadangan penggabungan pengetahuan asas mengenai agama-agama dunia.
Mereka juga akan menggubal satu deraf perjanjian mengenai standard etika bersama yang akan dikongsi pakai oleh pelbagai agama dalam kurikulum pelajaran kebangsaan masing-masing, katanya.
“Hasil mesyuarat di Budapest akan menjadi asas kepada Dialog Antara Agama ASEM Ke-3 tahun ini. China telah menawarkan diri menjadi tuan rumah,” tambah beliau.
IKIM ialah agensi utama yang dipertanggungjawabkan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan dialog antara agama.
Ia telah mengambil bahagian yang aktif dalam dialog-dialog antara agama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
— BERNAMA