Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merancang memperkenalkan Sistem Standard Pengurusan berprinsipkan Islam bagi semua sektor untuk meningkatkan urus tadbir serta menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengurusan, tidak lama lagi.
Sistem yang berasaskan standard piawaian antarabangsa (ISO) itu diselaraskan dengan nilai-nilai syariah berasaskan al-Quran, hadis dan fatwa-fatwa.
Pengerusi IKIM, Tan Sri Dr. Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menubuhkan jawatan kuasa berhubung perkara itu sejak dua tahun lalu.
“Kami telah mewujudkan satu jawatankuasa bermula pada 2004 yang terdiri daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM) dan SIRIM Berhad berhubung perkara ini.
“Ketika ini, proses untuk mewujudkan standard tersebut telah disiapkan oleh jawatankuasa tersebut dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Sistem ini merupakan pengiktirafan yang pertama diwujudkan memandangkan sistem standard yang ada ketika ini tidak menitikberatkan prinsip-prinsip islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Menulis Artikel Ilmiah Sains Politik Islam 2006 anjuran IKIM, di sini hari ini.
Pada majlis itu, pensyarah dari Universiti Syracuse, Amerika Syarikat, Ermin Sinanovic, 38, memenangi tempat kedua, manakala pihak juri memutuskan tidak ada pemenang tempat pertama.
Sinanovic yang menulis esei bertajuk `How to Study Social Phenomena in Muslim Societies? Ideas, Islamic Revivalism and Political Science’, membawa pulang wang tunai RM5,000.
Menurut Ahmad Sarji, pihaknya berharap sistem standard itu dapat meningkatkan kesedaran semua pihak dalam mengamalkan pengurusan berprinsipkan Islam.
“Dengan adanya sistem standard pengurusan Islam ini, diharap akan meningkatkan kesedaran di kalangan sektor kerajaan dan swasta terhadap pengurusan berprinsipkan Islam,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia 14/02/2006