ILMU pengetahuan penting dalam kehidupan manusia. Islam mengingatkan umat Islam hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah.
Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah al-deen yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang berilmu.
Kepentingan ilmu dapat dikesan kepada penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam menerusi firman Allah bermaksud: “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: ‘Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar’. Malaikat itu menjawab: ‘Maha Suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana’. Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 31 hingga 33)
Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”
Daripada wahyu itu dapat dirumuskan bahawa ilmu pengetahuan memberikan kelebihan kepada manusia berbanding makhluk lain. Manusia dikurniakan akal fikiran anugerah Allah yang tidak diberikan kepada makhluk lain. Oleh itu, akal fikiran sewajarnya digunakan dengan sebaik-baiknya dengan mengisinya dengan ilmu pengetahuan berguna. Jika ini tidak dilakukan, maka akan sia-sia akal fikiran yang dimiliki manusia.
Apabila membicarakan ilmu, kita perlu memperkatakan cara atau kaedah untuk memperolehnya. Tidak dinafikan cara memperoleh ilmu pengetahuan paling berkesan adalah menerusi pembacaan. Dalam al-Quran, didapati bahawa wahyu pertama yang diturunkan sebagai watikah pelantikan Muhammad Ibn Abdullah sebagai nabi dan rasul terakhir dimulakan dengan perkataan iqra yakni suatu arahan supaya membaca.
Antara pengajaran daripadanya adalah kaedah menuntut dan mengembangkan ilmu.
Pertama, dengan membaca kerana membaca adalah kunci kepada ilmu pengetahuan.
Kedua, selepas memperoleh ilmu pengetahuan, perlu menyebarkannya menerusi penulisan. Inilah kaedah yang digunakan sejak dulu untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan.
Atas sebab itu, karya ilmiah terdahulu selamat hingga hari ini kerana dipelihara dalam bentuk penulisan, bukannya percakapan. Sebab itulah hadis-hadis Rasulullah dihimpunkan dalam bentuk tulisan supaya terpelihara daripada hilang dan tokok tambah mereka yang tidak bertanggungjawab.
Apabila al-Quran dihimpunkan dan kemudiannya dibukukan, maka usaha ini turut menjamin al-Quran akan terus terpelihara kesuciannya hingga ke hari ini.
Justeru, dalam memperkatakan ilmu, kita sebenarnya memperkatakan budaya membaca dan budaya menulis. Kedua-dua ini perlu digandingkan dalam usaha untuk mengembangkan ilmu pengetahuan. Seseorang yang suka membaca, tetapi tidak rajin menulis tidak akan dapat meluahkan pandangan baru yang digarap hasil pembacaan dan pemikirannya.
Jika hanya setakat meluahkan pandangan dalam bentuk lisan tanpa ada rekod dalam bentuk penulisan, maka garapan pemikirannya tidak akan dapat disebar luas. Malah, jika orang yang hadir itu sekadar mendengar semata-mata tanpa mencatatkan (menulis) apa yang didengarnya itu, maka lambat laun ilmu yang disampaikan itu akan hilang.
Seseorang yang rajin menulis tanpa suka membaca pula mengundang masalah berbeza. Orang seperti ini biasanya cetek ilmunya dan hanya mampu menulis karya picisan yang lazimnya tidak membawa faedah. Jika ramai seperti ini, maka masalah yang akan timbul adalah ahli masyarakat akan dihidangkan dengan pelbagai bentuk bahan bacaan picisan yang tidak merangsang minda. Ia juga tidak memberikan sebarang faedah, malah boleh membawa kekeliruan dan kecelaruan dalam masyarakat.
Hari ini, kita mempunyai pelbagai bentuk sumber bacaan dalam bentuk bahan cetak atau digital dan elektronik. Di Malaysia, isu yang sering dibangkitkan adalah masalah kekurangan minat membaca di kalangan rakyat. Persoalannya adakah perkara ini benar?
Sebenarnya untuk mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak minat membaca adalah satu tanggapan yang mungkin kurang tepat. Adalah lebih tepat untuk mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih suka membaca bahan berbentuk tahyul, gosip dan picisan. Hal ini dapat dilihat dalam laporan Media Guide 2004 yang meletakkan jumlah edaran sebuah majalah bertemakan tahyul yang popular pada angka hampir 220,000 naskhah bagi satu keluaran.
Majalah hiburan dan gosip mempunyai edaran sekitar 50,000 hingga 200,000 naskhah, sementara majalah bersifat informatif kebanyakannya mempunyai edaran antara 20,000 hingga 50,000 naskhah saja.
Penerbitan bersifat ilmiah pula edarannya tidak sampai 10,000 naskhah setiap keluaran. Perkara ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia umumnya lebih sukakan bahan bacaan yang tidak memerlukan pembacanya untuk berfikir dan tidak mempunyai nilai ilmiah. Malah, lebih membimbangkan apabila pembaca lebih suka membaca perkara tahyul yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kepercayaannya.
Atas sebab itu, kita wajar menghijrahkan diri supaya lebih gemarkan bahan bacaan bersifat ilmiah, bermaklumat dan bermanfaat. Budaya membaca penting diterapkan dalam diri, tetapi pada masa sama, mutu bahan bacaan juga perlu dipertingkatkan. Hal ini supaya pemikiran kita tidak dipengaruhi oleh unsur bertentangan dengan Islam.
FAKTA: Panduan Membaca.
- Pastikan tempat membaca selesa.
- Elakkan daripada pelbagai gangguan.
- Duduk dengan selesa ketika membaca.
- Tetapkan masa dan bilangan muka yang hendak dibaca.
- Bahagikan bab yang hendak dibaca kepada beberapa bahagian kecil.