Sememangnya tiada sesiapa pun yang akan menyangkal anggapan dan kepercayaan bahawa aspek pendidikan merupakan syarat utama untuk mengenali dan mencipta kehidupan. Sistem pendidikan amat berkait rapat dengan ilmu pengetahuan. Manakala ilmu pengetahuan pula tidak dapat lari dari pembacaan, pengkajian dan penyelidikan. Sejarah mengakui bahawa Islam amat sinonim dengan ilmu pengetahuan, pembacaan dan penyelidikan. Wahyu pertama yang diturunkan lebih kurang 1400 tahun lalu adalah surah al Alaq, di mana tema utamanya adalah berkaitan pembacaan dan ilmu pengetahuan. Dalam Islam, ilmu dan maklumat itu bertujuan membawa manusia menuju kebenaran dalam kehidupan sama ada di dunia ini mahu pun di akhirat kelak. Dan sumber mutlak kebenaran adalah Allah yang mencipta ilmu dan kebenaran itu. Firman Allah dalam surah al Alaq, ayat 1-5 bermaksud:
Bacalah, dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan, menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan kalam, dan mengajarkan mereka apa yang tidak diketahui.
Ayat ini membenarkan hakikat bahawa Allah sebagai Pencipta ilmu dan kebenaran. Di samping itu, juga diingatkan bahawa umat manusia amat memerlukan kepada ilmu dan kebenaran untuk mencipta satu kehidupan yang terarah. Kehidupan yang terarah pula mencerminkan satu tahap pemikiran yang telah menerima kemajuan hasil dari didikan ilmu dan kebenaran. Sememangnya inilah ajaran Islam iaitu menyeru sekelian manusia ke arah kebenaran. Sumber mutlak ilmu dan kebenaran dalam Islam adalah al Quran dan Sunnah Rasul S.A.W. Lantaran itu, menjadi satu tugas dan tanggungjawab umat Islam dan generasi muda khususnya untuk memantapkan diri dan minda mereka dengan pelbagai disiplin ilmu kerana ilmu adalah tunggak kepada kemajuan pemikiran dan kehidupan mereka.
Walaubagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya selagi generasi muda kini tidak mengenali diri atau gagal memahami situasi dan kedudukan mereka sebagai satu golongan masyarakat yang mempunyai tugas dan amanah yang besar pada masa hadapan. Sesuatu yang amat mudah untuk menerima anggapan bahawa menguasai ilmu merupakan langkah utama ke arah kemajuan pemikiran dan kesejahteraan hidup. Tetapi kekangan minda atau mental block yang telah lama berakar umbi tanpa disedari ini yang masih menguasai pemikiran sudah tentu akan membantutkan hasrat mulia ini jika tidak diperbaiki. Masih terdapat di kalangan generasi muda era teknologi maklumat ini yang beranggapan bahawa mempelajari ilmu-ilmu seperti kejuteraan, matematik, astronomi, kesusasteraan Inggeris, fizik dan sains hayat tidak perlu kerana ia adalah ilmu-ilmu dunia atau bersifat keduniaan. Mempelajarinya akan menutup minda dan hanya mengutamakan dunia semata. Pemikiran seperti inilah yang perlu diubah agar menjadi lebih positif dan produktif.
Anggapan bahawa terdapat ilmu dunia dan ilmu akhirat sewajarnya tidak berlaku di kalangan umat Islam. Pemisahan disiplin-disiplin ilmu ini yang berdasarkan kepada pengkelasan sedemikian rupa adalah satu usaha golongan secularist yang semata-mata ingin mendatangkan ketakutan di dalam minda umat Islam supaya mereka berterusan dihalangi oleh rasa bersalah dan seterusnya gagal untuk mencipta kejayaan. Dalam Islam tiada pemisahan ilmu. Ini kerana Allah adalah Pencipta ilmu dan semua ilmu itu berasal dari Nya. Bukannya dicipta oleh manusia atau negara tertentu. Dan ilmu Allah itu amatlah luas dan banyak. Seterusnya al Quran sebagai sumber ilmu mengandungi pelbagai tema disiplin keilmuan yang turut menyentuh bidang sains biologi, fizik, astronomi, geography, kajian sosial dan sebagainya. Oleh itu, tiada alasan bahawa umat Islam tidak perlu mempelajari bidang-bidang ilmu tersebut.
Jika ingin disingkap kembali sejarah awal menyaksikan bahawa kecemerlangan ilmu itu dalam apa jua disiplin sememangnya datang dari negara-negara Islam. Dalam abad ke 8 hingga 12, orang Islam sangat maju dalam bidang ilmu dan pelbagai bidang kehidupan mereka. Lahir ramai tokoh dan sarjana Islam dalam pelbagai bidang pengkhususan seperti al Razi dan Ibnu Sina dalam perubatan, al Jabar dalam algebra dan matematik, al Kindi dan al Farabi serta lainnya. Negara-negara Islam menjadi tumpuan negara Barat untuk mendapatkan ilmu-ilmu tersebut dari orang-orang Islam. Dan mereka membawanya pulang untuk disebarkan di pusat-pusat pengajian tinggi mereka. Sarjana Barat berusaha menguasai bahasa Arab untuk mendapatkan ilmu-ilmu tersebut yang kemudiannya diterjemahkan pula ke dalam bahasa mereka. Dan keadaan ini berterusan sehinggalah dalam abad ke 14 apabila negara-negara Islam mula ditawan oleh kekuatan tentera Barat dan khazanah keilmuan mereka dirampas dan dimusnahkan. Tujuannya adalah untuk menguasai kekuatan keilmuan yang selama ini dikuasai Islam. Dan implikasinya dapat kita rasakan kini, tetapi ini sewajarnya tidak dijadikan alasan terhadap kemunduran umat Islam. Sejak dari itu, negara-negara Barat terus melakukan pelbagai usaha untuk mengiktiraf mereka sebagai penguasa mutlak keilmuan di samping memaju dan memperkembang ilmu-ilmu tersebut. Sudah tentu mereka turut menyelitkan unsur kepercayaan dan pandangan hidup mereka yang boleh menimbulkan konflik percanggahan nilai dan kekeliruan di kalangan umat Islam. Selain dari itu, perkongsian fahaman politik dan kekuatan ekonomi mereka pula dijadikan dasar untuk terus menyekat kecemerlangan ilmu dari diambil semula oleh umat Islam. Tetapi umat Islam khususnya generasi muda jangan pula menjadikan alasan ini sebagai halangan untuk mereka cemerlang dalam bidang keilmuan.
Generasi muda wajar memahami situasi bahawa mereka bukanlah golongan yang bakal mendominasi masa depan jika mereka tidak mempunyai substance yang boleh diharapkan untuk membangunkan agama, negara dan umat. Halangan yang mereka hadapi bukan sahaja dari musuh-musuh agama mereka, tetapi juga halangan sikap dan minda mereka. Mereka perlu berusaha mempertingkatkan pencapaian kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan keilmuan. Perkara inilah yang akan menentukan kedudukan mereka pada masa hadapan. Pada tahun 1597, seorang tokoh falsafah dan perundangan Barat, Sir Francis Bacon pernah mengungkapkan bahawa ilmu dan pengetahuan adalah kuasa dan hakikatnya terbukti dalam era globalisasi ini. Mereka yang cemerlang adalah mereka yang menguasai ilmu dan pengetahuan. Tetapi Islam tidak pernah mengajar pemisahan ilmu sama ada ilmu dunia atau akhirat, baik secara konsep mahupun aplikasinya. Yang jelas mereka perlu menguasai ilmu itu tanpa mengira ia ilmu dunia atau akhirat. Mungkin pemisahan sebegini rupa yang menjadi punca kepada kejatuhan Sir Francis Bacon sendiri apabila kecemerlangan beliau dicemari oleh skandal rasuahnya. Dan perkara yang sama boleh berlaku kepada sesiapa saja yang tertutup mindanya. Firman Allah dalam surah Al Hajj, ayat 54 bermaksud:
Orang-orang yang telah diberi ilmu meyakini bahawasanya al Quran itulah yang benar dari Tuhanmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka.