Tauhid menganjurkan bahawa sistem sosio-ekonomi hendaklah mengarah kepada wujudnya suasana al-Adl wal Ihsan (keadilan dan kasih sayang). Allah s.w.t. berfirman dengan maksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat adil dan kebajikan, memberi pertolongan kepada manusia, serta melarang dari berbuat yang keji, pekerjaan yang mungkar dan kezaliman. Dia memberi kamu pengajaran, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan”. (An-Nahl: 90)
Prinsip al-Adl wal Ihsan ini menganjurkan bahawa sistem sosio-ekonomi dalam sesebuah negara mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan dan muafakat ekonomi dalam negara. Kedua-dua unsur ini adalah asas ke arah pencapaian perjalanan sistem sosio-ekonomi yang teratur, cekap dan progresif.
Dari asas falsafah tauhid, beberapa prinsip umum dapat dirumuskan untuk dijadikan panduan dalam menjalani aktiviti sosio-ekonomi
Pertama, Prinsip Keadilan Sosial. Pengendalian ekonomi dan mekanisme dalam mengatur kegiatan ekonomi mesti dapat menuju ke arah wujudnya keadilan sosial. Keadilan sosial bernegara mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana di mana sesebuah negara dapat menyedia keperluan hidup asasi individu melalui pencapaian faktor-faktor berikut:
• Pemeliharaan penghayatan keimanan melalui pengamalan nilai agama dalam urusan kehidupan di peringkat individu dan masyarakat.
• Menaikkan taraf daya fikir untuk kesemua lapisan masyarakat supaya bebas dari buta huruf dan memiliki mutu ilmu yang munasabah untuk mereka menjalankan kehidupan secara berkesan dengan keadaan perubahan masa.
• Memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada masyarakat negara berkaitan hak menyuarakan pandangan dalam semangat yang beradat dan bertanggungjawab semoga negara ditadbir menepati prinsip syura.
• Memberi jaminan kepada kesemua ahli masyarakat semoga mereka bebas untuk menentu atau berusaha bersama dengan pihak swasta dan kerajaan, untuk berkecimpung dalam kegiatan ekonomi di dalam dan luar negara. Justeru itu sumber harta negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam sistem sosio-ekonomi untuk mencetus peluang kegiatan ekonomi untuk kesemua lapisan masyarakat.
• Negara melalui usahanya membina sebuah tamadun yang utuh semoga dapat memberi keyakinan dan sikap optimis kepada masyarakat bahawa generasi masa hadapan negara akan terus mengecapi suasana yang cemerlang. Bahkan mengikut Islam kecemerlangan adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Kedua, Prinsip Istikhlaf. Prinsip ini membicarakan kedudukan manusia daripada kaca mata Islam. Manusia mengikut Islam adalah pemegang amanah Allah s.w.t. dalam rangka memakmurkan dunia. Justeru itu, kesemua yang terdapat di dunia ini adalah hak milik Allah s.w.t. Hatta manusia itu sendiri. Tetapi kesemua mereka dicipta untuk keperluan manusia. Oleh itu, manusia bertanggungjawab kepada Allah s.w.t. terhadap apa yang diusahakan dan dimilikinya. Prinsip ini menggaris peraturan tentang pemilikan harta persendirian seperti berikut:
• Pemilikan harta hendaklah melalui cara yang diredhai oleh Allah s.w.t.
• Pemilik harta hendaklah menggunakan hartanya untuk kebajikannya dan juga masyarakat.
• Harta yang dimiliki hendaklah dilibatkan dalam kegiatan ekonomi. Pembekuan harta diharamkan oleh Islam kerana ia menimbul wujudnya ketidakadilan dalam masyarakat.
Ketiga, Prinsip Bekerja. Prinsip ini menganjurkan kepentingan konsep bekerja dan melibatkan diri dalam kegiatan sosio-ekonomi. Penglibatan dalam kegiatan sosio-ekonomi adalah ibadah. Setiap penglibatan hendaklah diberi ganjaran yang setimpal. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah dan sektor swasta menjamin peluang pekerjaan terdapat untuk kesemua lapisan rakyat. Oleh itu, ganjaran yang diperolehi melalui pekerjaan melainkan kepada keadaan yang terkecuali seperti penerimaan harta pusaka, hadiah dan zakat. Islam mengharamkan riba kerana ia merupakan pendapatan yang diperolehi tanpa usaha.
Pendekatan positif Islam terhadap konsep kerja akan mengarah masyarakat kepada potensi peningkatan taraf hidup mereka yang disertai dengan keadilan pengagihan harta dan kekayaan.
Keempat, Prinsip Keuntungan dan Kerugian. Islam menjelaskan bahawa setiap penglibatan dalam aktiviti sosio-ekonomi mesti mengakui bahawa keuntungan dan kerugian adalah perkara lumrah. Bahkan prinsip ini adalah asas kepada muamalat dalam Islam. Berdasarkan kepada prinsip ini, mekanisme seperti mudharabah dan musyarakah digalakkan dalam aktiviti ekonomi.
Prinsip ini ialah untuk menjamin keadilan terlaksana dalam setiap kegiatan sosio-ekonomi. Tiada golongan sama ada golongan pemodal ataupun golongan penguasa mendapat tempat yang istimewa dalam sistem sosio-ekonomi Islam. Kedua-dua golongan memerlukan di antara satu sama lain dalam membangun ekonomi masyarakat.
Prinsip ini mengajar bahawa kesemua perlu berminat dan menceburi secara langsung kerana tiada jaminan istimewa pulangan akan dibenarkan dalam sistem Islam.
Kelima, prinsip menjauhkan daripada melakukan kerosakan. Islam menganjurkan bahawa dalam kegiatan sosio-ekonomi, segala bentuk kerosakan sama ada dalam bentuk keruntuhan akhlak, kepincangan keluarga dan kerosakan alam persekitaran hendaklah dijauhkan. Kerosakan kepada diri serta masyarakat tidak sepatut berlaku. Oleh itu, terdapat perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam seperti penindasan, penipuan, pencurian, pencemaran alam, pembaziran dan sebagainya tidak berlaku dalam sistem ekonomi Islam.
Dari prinsip-prinsip umum Islam tersebut, para pemikir Islam semasa perlu peka menjadi prinsip-prinsip tersebut sebagai panduan dalam menyusun dan membangun sosio-ekonomi umat Islam semasa. Ini termasuk dalam pengubalan dasar dan mekanisme ekonomi sesuai dengan perkembangan sosio-ekonomi semasa.
Seorang tokoh ilmuan Islam, Ibn Khaldun (1332 – 1406M) banyak menyumbang kepada pemikiran ekonomi pada masa tersebut.
Beliau mengupas dengan mendalam isu ekonomi dalam masyarakat pada masa itu dengan menyentuh beberapa aspek seperti nilai, pengagihan buruh, sistem harga, undang-undang berkaitan penawaran dan permintaan, kepenggunaan dan pengeluaran, wang, pembentukan modal, pertumbuhan penduduk, pembiayaan awam, putaran perniagaan dan sebagainya.
Mengikut pandangan Ibn Khaldun, faktor kemajuan ekonomi sangat penting ke arah memesti kestabilan politik sesebuah masyarakat tercapai. Bahkan beliau berpandangan bahawa sejarah maju mundur sesebuah masyarakat ada pertalian yang rapat dengan pencapaian kemajuan ekonomi sesebuah masyarakat tersebut.
Beliau turut membincangkan tentang beberapa peringkat bagaimana sesebuah masyarakat perlu lalui dalam mencapai kemajuan ekonomi. Beliau berpandangan dari perspektif ekonomi-makro, bahawa pendapatan dan pembiayaan akan seimbang untuk sesebuah bandar dan jika kedua-dua pendapatan dan pembiayaan adalah besar bandar tersebut akan membangun.
Dalam analisis ekonomi seterusnya, Ibn Khaldun berpendapat bahawa buruh mempunyai tempat yang istimewa dalam teori nilai. Pendapatan kepada individu adalah dari usaha tenaga yang disumbangkan oleh buruh tersebut. Oleh itu pendapatan yang diperolehi oleh seorang dari sumbangan tenaganya merupakan nilai buruh. Bahkan tanpa sumbangan tenaga buruh penghasilan produk tidak akan wujud.
Beliau juga turut merumuskan bahawa permintaan kepada buruh meningkat jika permintaan kepada sesuatu barangan meningkat. Sektor awam mengikut Ibn Khaldun merupakan sektor yang utama kepada pasaran buruh.
Ibn Khaldun turut meyakinkan bahawa jumlah penduduk turut menyumbang kepada kemajuan ekonomi sesebuah negara. Justeru itu setiap penduduk melalui pembahagian pengkhususan bekerja yang berdasarkan kemahiran masing-masing merupakan penyumbang penting kepada kemajuan ekonomi.
Walaupun peranan sektor awam penting kepada sesebuah ekonomi, Ibn Khaldun menganjur kepada campur tangan sektor awam yang minima dalam urusan ekonomi negara. Walaupun demikian, beliau berpandangan bahawa sektor awam turut berperanan dalam mengawal kejatuhan aktiviti perniagaan sektor swasta dan menerus pembangunan ekonomi sesebuah negara. Justeru itu dalam usaha memantapkan prestasi sektor swasta, kadar cukai yang hendak digubal oleh pihak kerajaan perlu teliti semoga semangat keusahawanan sektor swasta tidak terjejas. Jika semangat keusahawanan sektor swasta terjejas , keadaan ekonomi akan turut mengalami masalah dan jumlah cukai yang mampu dipungut oleh kerajaan akan menurun.
Pandangan pemikir seperti Ibn Khaldun sangat perlu wujud dikalangan ilmuan Islam masa kini. Dengan berpandukan prinsip-prinsip umum Islam yang dapat diambil dari sumber asas Islam iaitu al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w., ilmuan Islam perlu memahami perkembangan sosio-ekonomi semasa. Gabungan kemampuan ilmuan Islam semasa memahami al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. dengan perkembangan sosio-ekonomi semasa adalah usaha yang sangat utama masa kini untuk mengembali keagongan Islam dan kemajuan umatnya. Menguasai asas Islam secara mendalam sepatutnya memerangsang seseorang ilmuan Islam untuk menterjemah prinsip-prinsip Islam dalam penyusunan kehidupan sosio-ekonomi negara semasa. Dengan kata lain ia turut memerangsang ilmuan tersebut menguasai tentang perkembagngan semasa isu berkaitan sosio-ekonomi. Islam perlu membimbing hakikat semasa. Ia bukan slogan untuk dilaungkan sahaja.