Dalam pembentangan bajet Malaysia pada 18 Oktober yang lalu, YAB Perdana Menteri turut menyentuh tentang aspek daya cipta kewangan Islam. Perkara ini termasuklah untuk memperbanyak penyelidikan dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam. Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan bagi menggalakkan inovasi dalam produk kewangan Islam yang adil, berakar dari nilai-nilai Islam yang sebenar, dan tidak lagi mirip kepada produk konvensional.
Kesemua usaha ini adalah bagi menyokong perkembangan dan memenuhi keperluan kewangan dan ekonomi Islam bukan sahaja di peringkat nasional, bahkan di peringkat global. Untuk mewujudkan lebih banyak permintaan kepada penyelidikan dan inovasi tentang kewangan Islam yang tulen, umat Islam khususnya perlu mempunyai kefahaman tentang literasi kewangan Islam. Hal ini kerana, pengkayaan penyelidikan dan inovasi dalam sistem kewangan Islam yang sebenar sukar diwujudkan tanpa permintaan daripada umat Islam itu sendiri.
Literasi kewangan Islam ialah kemampuan untuk memahami kewangan Islam berdasarkan prinsip-prinsip syariah. Ia juga boleh difahami sebagai kombinasi kesedaran, pengetahuan, sikap dan tingkah laku yang diperlukan untuk membuat satu keputusan kewangan yang betul selaras dengan prinsip syariah, seterusnya mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat (al-falah).
Menyedari akan kepentingannya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah membangunkan satu indeks bagi mengukur tahap literasi kewangan Islam masyarakat Muslim di Malaysia. Kajian bersama ini merupakan hasil daripada Memorandum Perjanjian Penyelidikan (MoA) di antara ketiga-tiga agensi pada 2021. Hasilnya, sebuah model Indeks Literasi Kewangan Islam telah dibangunkan yang mengukur tahap literasi kewangan Islam masyarakat Muslim di Lembah Klang.
Pembentukan Indeks Literasi Kewangan Islam ini menggunakan dimensi pengetahuan, tingkah laku dan sikap. Kerangka asas kepada pembangunan konstruks model indeks adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 47-49 tentang tafsir mimpi Raja Mesir ketika itu. Dalam ayat ini, Nabi Yusuf AS telah mentafsirkan mimpi Sang Raja bahawa Mesir hendaklah bersedia dengan kemarau panjang yang akan melanda dengan cara bercucuk tanam dan menyimpan sebahagian hasil tuaian untuk menghadapi tahun-tahun yang sukar.
Berdasarkan kisah ini bersama-sama rujukan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang lain, konstruk indeks literasi kewangan Islam telah dibentuk iaitu: penghasilan harta; pengumpulan harta; perlindungan harta; penyucian harta; pengagihan harta; dan, pengurusan hutang. Setiap soalan yang dibangunkan di bawah konstruk ini seterusnya akan dinilai dari segi pengetahuan kewangan Islam, tingkah laku kewangan Islam dan sikap kewangan Islam.
Hasil kajian menunjukkan bahawa skor keseluruhan Indeks Literasi Kewangan Islam masyarakat Muslim di Lembah Klang ialah 80.2 mata dan dikategorikan sebagai bagus. Dari segi dimensi pula, skor Indeks Pengetahuan Kewangan Islam berada pada tahap sederhana rendah pada 69.5 mata; skor Indeks Tingkah Laku Kewangan Islam berada pada tahap bagus dengan 85.6 mata; dan skor Indeks Sikap Kewangan Islam juga berada pada tahap bagus iaitu 89.4 mata.
Beberapa soalan yang mendapat skor lemah dalam Indeks Pengetahuan Kewangan Islam ini telah menimbulkan sedikit kebimbangan tentang tahap pengetahuan kewangan Islam dalam kalangan masyarakat Muslim di Lembah Klang. Sebagai contoh, soalan berkaitan bahagian yang diterima oleh waris menerusi kaedah faraid (lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian) hanya mendapat skor 56.4 mata sahaja. Manakala soalan berkaitan jumlah maksimum harta yang boleh diwasiatkan sehingga 1/3 pula mendapat skor 36.4 mata sahaja.
Walaupun Indeks Tingkah Laku Kewangan berada pada tahap yang bagus, namun beberapa dapatan memerlukan perhatian atau kajian lebih mendalam. Sebagai contoh, daripada responden yang mempunyai pendapatan, hanya 53% daripadanya membayar zakat pendapatan. Begitu juga dalam konteks pengurusan hutang, masih terdapat responden yang memilih pinjaman konvensional berbanding pembiayaan syariah dalam pelbagai produk kewangan seperti sewa beli kereta, pembiayaan rumah, kad kredit dan lain-lain.
Berdasarkan dapatan ini, kajian lanjut diperlukan untuk melihat sebab-sebab tingkah laku tidak membayar zakat pendapatan seperti adakah ia disebabkan oleh nisab pendapatan yang tidak sampai atau kurangnya kesedaran membayar pendapatan. Begitu juga sebab-sebab tingkah laku mengambil pinjaman konvensional berbanding pembiayaan patuh syariah kerana apabila terdapat pilihan, umat Islam sentiasa wajib memilih pembiayaan patuh syariah.
Golongan belia juga telah dikenal pasti sebagai kumpulan yang mempunyai literasi kewangan Islam yang rendah. Oleh itu, perhatian yang lebih perlu diberikan kepada golongan ini kerana merekalah yang akan membentuk generasi Muslim pada masa akan datang. Oleh itu, advokasi kepada golongan muda ini seharusnya menepati kecenderungan semasa mereka seperti menggunakan medium media sosial sebagai ejen penyampaian. Begitu juga penggunaan aplikasi yang boleh memudahkan mereka menguruskan kewangan berlandaskan syariah dengan lebih baik.
Walaupun kajian ini hanya melibatkan responden yang berada di sekitar Lembah Klang sahaja, namun ia sedikit sebanyak membantu dalam memberi gambaran umum tentang tahap literasi kewangan Islam masyarakat Muslim di negara ini. Sudah pasti, kajian yang menyeluruh pada peringkat kebangsaan diperlukan untuk mendapat gambaran penuh tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia.
Pada ketika ini, kajian oleh UKM, IKIM dan AKPK ini boleh dianggap sebagai satu langkah untuk meningkatan tahap celik kewangan Islam dalam kalangan Muslim dan menambah nilai sektor kewangan dan ekonomi Islam semasa. Laporan Indeks Literasi Kewangan Islam ini juga boleh dimuat turun secara percuma dari laman web https://www.akpk.org.my/
Penulis bersama :
Nur Syahidah binti Abdul Jalil, Felow Pusat EMAS
Muhammad Hisyam bin Mohamad, Pengarah Pusat EMAS