Kenaikan kos sara hidup sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi antara isu paling dirasai oleh rakyat Malaysia merentas kelas, kaum dan wilayah. Dari harga beras, minyak masak, sewa rumah, bil utiliti hinggalah kos pendidikan dan kesihatan, tekanan ekonomi bukan lagi sekadar angka dalam laporan statistik, tetapi pengalaman harian isi rumah. Di kedai runcit, di pasar, di sekolah, dan di tempat kerja, perbualan tentang “semakin susah” sudah menjadi norma baharu.
Namun, memposisikan isu kos sara hidup semata-mata sebagai masalah ekonomi adalah pendekatan yang terlalu sempit. Ia bukan sekadar persoalan inflasi, penawaran dan permintaan, atau keberkesanan subsidi. Di sebalik angka dan graf, terselit persoalan keadilan, maruah, tanggungjawab dan nilai. Justeru, cabaran sebenar bukan hanya bagaimana menurunkan harga barang, tetapi bagaimana membina sistem ekonomi dan kebajikan yang beretika, adil dan berperikemanusiaan. Di sinilah relevannya integrasi nilai Islam dalam merangka respons terhadap kos sara hidup dan dasar kebajikan negara.
Hakikatnya, kos sara hidup yang tinggi sering berpunca daripada masalah struktural yang lebih mendalam. Ia berkait dengan ketidakseimbangan agihan kekayaan, kebergantungan berlebihan kepada mekanisme pasaran, ketirisan dalam rantaian bekalan, serta dasar yang kadangkala bersifat reaktif dan bukan preventif. Pendekatan yang terlalu bergantung kepada logik pasaran semata-mata iaitu dengan andaian bahawa persaingan bebas akan menyelesaikan segala-galanya adalah sesuatu yang berisiko. In kerana pendekatan sebegini akan mengabaikan golongan rentan yang tidak mempunyai kuasa tawar-menawar dalam ekonomi.
Dalam konteks ini, Islam menawarkan kerangka normatif yang bukan anti-pasaran, tetapi beretika dan berorientasikan keadilan. Konsep maqasid syariah yang terdiri daripada aspek pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta; memberikan panduan holistik dalam merangka dasar ekonomi dan kebajikan. Sebagai contoh, pemeliharaan nyawa menuntut akses kepada makanan berkhasiat dan penjagaan kesihatan yang mampu milik. Pemeliharaan harta menuntut perlindungan daripada eksploitasi harga, manipulasi pasaran dan penindasan ekonomi. Pemeliharaan maruah pula menuntut agar bantuan kebajikan diberikan dengan cara yang bermaruah, tanpa memperlekeh atau menstigma penerima.
Nilai teras seperti keadilan (‘adl), ihsan, amanah dan maslahah awam seharusnya menjadi paksi dalam pembuatan dasar. Keadilan menuntut agar beban ekonomi tidak hanya dipikul oleh rakyat bawahan, manakala ihsan menggalakkan keprihatinan terhadap mereka yang terpinggir. Amanah menuntut ketelusan dan integriti dalam pengurusan sumber awam, manakala maslahah memastikan setiap keputusan dasar memberi manfaat maksimum kepada masyarakat secara keseluruhan.
Integrasi nilai Islam dalam menangani kos sara hidup boleh dilihat melalui tiga dimensi utama: negara, pasaran dan masyarakat. Pertama, peranan negara dalam merangka dasar kebajikan yang beretika dan bersasar. Subsidi pukul rata mungkin kelihatan popular, tetapi sering tidak cekap dan cenderung dimanipulasi. Sebaliknya, subsidi bersasar berdasarkan keperluan sebenar, disertai jaringan keselamatan sosial yang kukuh, lebih selari dengan prinsip keadilan. Ketelusan dalam perbelanjaan awam juga penting agar setiap sen yang dibelanjakan benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan.
Kedua, peranan pasaran yang beretika. Islam tidak menolak perdagangan, malah menggalakkannya, tetapi menolak penindasan harga, manipulasi, riba dan ketidakadilan. Peniaga perlu dilihat bukan sekadar sebagai pencari untung, tetapi sebagai pemegang amanah sosial. Mekanisme pemantauan harga perlu diperkukuh, bukan sekadar melalui kawalan kerajaan, tetapi juga melalui budaya etika perniagaan yang berteraskan nilai.
Ketiga, peranan masyarakat melalui solidariti sosial. Di sinilah institusi zakat, wakaf, sedekah dan infaq memainkan peranan strategik sebagai pelengkap kepada dasar kerajaan. Zakat bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi instrumen pembasmian kemiskinan yang sistematik. Wakaf pula berpotensi menjadi sumber pembiayaan pendidikan, perumahan dan keusahawanan sosial yang mampan. Masjid, NGO dan komuniti tempatan boleh menjadi barisan hadapan dalam membantu golongan yang tercicir daripada jaringan kebajikan formal.
Namun, harus diakui bahawa pendekatan sedia ada masih banyak tertumpu kepada bantuan kewangan jangka pendek. Bantuan tunai memang membantu meringankan beban, tetapi tidak menyelesaikan akar masalah. Tanpa peningkatan gaji bermaruah, peluang pekerjaan berkualiti, dan kos perumahan yang terkawal, tekanan kos sara hidup akan berulang dalam kitaran yang sama. Pendidikan kemahiran dan literasi kewangan juga perlu diperkukuh agar isi rumah lebih berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Sehubungan itu, beberapa cadangan berinspirasikan nilai Islam wajar dipertimbangkan. Pertama, memperkenalkan dasar gaji bermaruah yang mengambil kira kos hidup sebenar, bukan sekadar paras minimum. Kedua, mengintegrasikan pengurusan zakat dengan dasar kebajikan nasional agar bantuan lebih terselaras dan berimpak tinggi. Ketiga, memperkukuh mekanisme pemantauan harga dengan kerangka etika perniagaan Islam. Keempat, mempromosikan model keusahawanan sosial berteraskan wakaf yang mampu menjana peluang ekonomi untuk komuniti miskin bandar dan luar bandar. Kelima, memperluas program pendidikan kewangan Islam agar rakyat lebih bijak mengurus hutang, simpanan dan pelaburan.
Pada akhirnya, isu kos sara hidup adalah cerminan nilai masyarakat dan negara. Ia menguji sejauh mana kita benar-benar prihatin terhadap keadilan sosial, maruah insan dan tanggungjawab bersama. Malaysia memiliki potensi untuk menjadi model pembangunan yang bukan sahaja kompetitif, tetapi beretika dan berperikemanusiaan. Integrasi nilai Islam dalam respons terhadap kos sara hidup dan dasar kebajikan bukan sekadar idealisme, tetapi keperluan praktikal untuk membina ekonomi yang lebih adil, seimbang dan mampan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

