Jalan mesti ke depan, bukan ke belakang! Itulah antara sebaris ayat yang terdapat di dalam sebuah iklan sempena hari kemerdekaan yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan. Memang benar, kemajuan hanya dapat dicapai jika kita bergerak maju ke hadapan. Akan tetapi ini bukan bermakna kita boleh mengabaikan sejarah lampau yang pernah kita lalui. Ini kerana sejarah biasanya akan berulang.
Persoalannya sekarang, sejauh mana kita mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan menjadikan ia sebagai satu pedoman kehidupan seharian?
Kita semua tahu, negara kita mula dijajah pada 1511 apabila Portugis menawan Melaka pada tarikh tersebut. Selain daripada inginkan penguasaan terhadap perdagangan rempah ratus di kepulauan Melayu, ada beberapa faktor lain yang menyebabkan proses menawan Melaka pada masa tersebut menjadi begitu mudah bagi pihak Portugis. Antaranya ialah krisis nilai dan masalah dalaman pihak istana, golongan pembesar Melaka dan masyarakat peniaga pada masa tersebut. Ini dapat diperhatikan melalui kronologi pembunuhan Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya oleh Sultan Mahmud Shah. Keenganan bendahara menyerahkan anaknya iaitu Tun Fatimah kepada sultan telah mengeruhkan hubungan kedua belah pihak. Kesempatan ini diambil oleh seorang peniaga India yang kaya iaitu Raja Mendaliar di mana beliau membuat fitnah kepada Sultan dengan mengatakan bahawa Tun Mutahir ingin menderhaka dan merampas tahta daripada baginda. Disebabkan dendam hawa nafsu dan unsur fitnah, Tun Mutahir dan keluarganya dihukum bunuh oleh Sultan.
Dari sini krisis kepimpinan di dalam empayar Melaka menjadi semakin meruncing di mana akibat kelemahan kepimpinan yang wujud pada masa, pihak Portugis mengambil kesempatan menawan Melaka. Dari tarikh tersebut negara kita silih berganti dijajah oleh orang luar sehinggalah kita mencapai kemerdekaan pada 1957.
Dalam konteks moden, apa yang dapat kita rumuskan daripada peristiwa penaklukan Melaka oleh Portugis ini ialah soal integriti dan urus tadbir yang baik merupakan ciri utama yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dalam soal pembangunan negara. Ini kerana pemimpin yang berintegriti dan mementingkan tadbir urus yang baik akan mendahulukan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi.
Dengan mengambil kira semangat kemerdekaan sempena sambutan kemerdekaan ke-50 Malaysia tidak lama lagi, apa yang dapat kita simpulkan berdasarkan kepada pemerhatian kita terhadap masalah-masalah serta peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam negara kita hari ini?
Berdasarkan kepada pemerhatian penulis, negara kita sekarang berhadapan dengan masalah penghayatan nilai murni. Banyak kepincangan yang berlaku sekarang baik di dalam dunia perniagaan, politik, kemasyarakatan dan sebagainya menjelaskan kepada kita bahawa unsur-unsur kebendaan, sifat ananiah (mementingkan diri sendiri) dan runtunan hawa nafsu merupakan paksi utama yang digunapakai oleh kebanyakan daripada anggota masyarakat di dalam membuat keputusan mereka. Lebih malang lagi apabila ia menjadi pedoman utama segelintir pihak yang mempunyai kuasa di dalam sesebuah badan atau pertubuhan.
Maka tak hairanlah jika dalam pada kerajaan berusaha sedaya upaya menyemai nilai-nilai murni di dalam anggota masyarakat baik di peringkat keluarga, masyarakat, syarikat korporat mahupun di kalangan penjawat awam melalui pelbagai dasar dan slogan; kita masih lagi dihidangkan dengan kes-kes rasuah, salah guna kuasa, karenah birokrasi, kegawatan nilai sosial dan sebagainya.
Rasuah dan tadbir urus yang tidak baik menghuruharakan kestabilan ekonomi, sosial dan politik masyarakat. Buktinya, akibat rasuah dan pilih kasih, ada keputusan yang dibuat oleh sesetengah pihak hanya memberi manfaat kepada segelintir pihak yang berkepentingan sahaja. Sedangkan manfaat daripada keputusan yang dibuat tadi sepatutnya dirasai oleh semua anggota masyarakat. Kos sesuatu projek pula, ada kalanya meningkat berkali ganda atas alasan yang remeh temeh yang tidak sepatutnya berlaku. Ini jelas melalui projek-projek pembangunan yang dikategorikan sebagai sakit yang terpaksa diambil alih oleh pihak kerajaan dan masalah ketiadaan budaya penyelenggaraan yang baik.
Sebab itu Islam memberi penekanan yang hebat terhadap kriteria pemimpin yang dipilih untuk memikul sesuatu amanah. Malah nabi telah menyatakan bahawa kesilapan memberikan jawatan kepada mereka yang tidak berkelayakan akan hanya menyebabkan kita terdedah kepada kehancuran. Seperkara yang menarik lagi tentang panduan pemilihan pemimpin yang dijelaskan oleh nabi ialah, pemimpin tidak sepatutnya dilantik daripada kalangan mereka yang meminta atau mengharapkan jawatan tersebut. (Sahih Bukhari, hadis 1848)
Realitinya sekarang, jawatan kepimpinan di dalam parti politik daripada sekecil-kecil pangkat hinggalah ke peringkat atasan menjadi rebutan ramai kerana ada nilai kebendaan di sebalik jawatan tersebut di kemudian hari.
Rasanya sekarang bukan masyarakat kebanyakan sahaja yang melihat bahawa soal integriti pemimpin ini sebagai isu nasional yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Ini kerana pihak aristokrat juga turut menjadikannya sebagai intipati ucapan mereka di majlis-majlis ilmu.
Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam satu titah baginda baru-baru ini menyatakan bahawa barisan kepimpinan utama negara yang berintegriti dapat memastikan keyakinan tinggi masyarakat terhadap badan-badan eksekutif dan kehakiman negara. Memang tidak dinafikan, jika kerajaan mampu meraih keyakinan jitu rakyat, maka proses pengurusan dan pentadbiran negara akan menjadi lebih mudah dan aspirasi pembangunan bangsa dan negara dapat dijelmakan sebagaimana yang diinginkan.
Selain itu, menurut baginda, soal-soal ketelusan dan keterbukaan serta wujudnya aliran maklumat benar yang bebas yang mudah dicapai oleh masyarakat perlu ada kerana dengan wujudnya unsur-unsur ini masyarakat dapat membuat keputusan dengan bijak dan pada masa yang sama ia dapat mengurangkan masalah penyalahgunaan kuasa oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Di sini kita lihat perlunya ada perkongsian iltizam di antara rakyat dan pemimpin di mana masyarakat awam perlu menggunakan kuasa untuk memilih pemimpin itu sebaik mungkin kerana pemilihan berdasarkan kelayakan dan unsur ingeriti dapat mewujudkan satu kepimpinan yang jitu dan dinamik. Pemimpin yang dipilih pula sudah tentu perlu memastikan bahawa dia menjalankan dasar kepimpinan melalui teladan. Teladan yang baik yang ditunjukkan oleh para pemimpin akan menjadi satu kayu pengukur kepada bukan saja kepada masyarakat malah kepada warga korporat dan kakitangan awam dalam memastikan setiap aktiviti yang mereka dilakukan itu bertepatan dengan nilai dan etika murni fitrah manusia.
Bangsa Malaysia semua tentu tidak mahu kemerdekaan yang singkat yang baru diraih negara diragut sekali lagi dari tangan mereka. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan pengisian kemerdekaan yang kita nikmati sekarang dibuat sebaik mungkin agar apa yang kita kecapi sekarang dapat diturunkan kepada anak cucu. Justeru itu penghayatan nilai dan etika murni perlu dijadikan teras kehidupan setiap anggota masyarakat. Kita mungkin akan dipersalahkan oleh generasi akan datang jika kemerdekaan yang kita raih sekarang hilang sekali lagi lantaran kegagalan kita untuk mempertahankannya akibat pengabaian kita terhadap kepentingan ciri integriti dan tadbir urus yang baik di dalam sistem pentadbiran negara.