Aidilfitri baru sahaja beberapa hari berlalu. Kenangan lebaran tentu masih kuat di dalam memori kita semua. Memang sukar untuk melupakan kemeriahan lebaran. Mana tidaknya ramai yang membuat persiapan rapi bagi menyambut ketibaan 1 Syawal. Daripada persiapan kain baju, jadual perjalanan, peruntukan duit raya untuk si cilik hinggalah kepada juadah kepada tetamu serta perhiasan rumah semuanya telah dirancang dari awal lagi.
Bagi yang mahukan “lebih kemeriahan” ada yang sanggup membuat komitmen hutang baru seperti membeli kereta untuk melaram masa berziarah! Apa yang pasti dalam banyak keadaan, kemeriahan menyambut Syawal menuntut kita untuk bersedia berbelanja lebih daripada bulan-bulan biasa.
Jadi kemeriahan Aidilfitri yang biasanya berakhir dalam tempoh seminggu sebelum semua pulang ke tempat kerja masing-masing, jika tidak kena caranya boleh membuat kita merana kalau tak pun menderita. Bagi yang berkemampuan atau mempunyai lebihan simpanan, isu kos menyambut lebaran bukan satu perkara besar.
Namun bagi yang kurang berhemah dari segi perancangan kewangan tetapi bernafsu besar, mungkin kos-kos ini biayai menerusi pelbagai instrumen hutang yang ada di pasaran seperti kad kredit atau pinjaman peribadi. Selain itu ada juga yang menggunakan gaji bulan akan datang yang biasanya dibayar awal oleh pihak majikan. Maka timbullah istilah pokai, poket kosong, ikat perut dan sebagainya bagi menggambar suasana kewangan individu pasca raya.
Persoalannya perlukah kita berhabisan semata-mata untuk menyambut hari raya? Adakah kita perlu sampai ke tahap membazir bagi menyambut apa yang dirujuk kepada hari kemenangan atau hari kita kembali kepada fitrah berikutan proses penyucian jiwa melalui ibadat puasa dan pelbagai ketaatan yang kita lakukan pada bulan Ramadan tempoh hari? Jika ini berlaku, maka ia adalah suatu situasi yang ironis yang tidak selaras dengan semangat sebenar yang ada pada falsafah Ramadan dan Aidilfitri itu sendiri.
Namun jika kita melihat kemeriahan pusat-pusat membeli belah dan bilangan pengunjung yang pergi berbelanja membuat persediaan hari raya yang berlarutan ke sebelah malam bulan Ramadan yang lalu, adalah tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa kebanyakan kita telah menyimpang daripada saranan Islam agar bersederhana dalam semua perkara termasuklah dalam bab menyambut hari raya ini.
Apa yang dianjurkan oleh Islam semasa menyambut Aidilfitri ialah bertakbir dan bertahmid mengagung dan memuji Allah SWT atas kurniaan nikmat-Nya selain saling ziarah menziarahi bagi mengerat silaturahim. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud “Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dalam bulan Ramadhan (29 hari atau 30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur.”; dan menerusi sirah Nawabi di mana Saidina Abu Bakar As-Siddiq datang ke rumah Rasulullah SAW menziarahi baginda pada hari raya.
Kita sebenarnya tidak perlu bergolok gadai untuk menyambut Aidilfitri. Apa yang penting ialah kita menyambut kehadirannya dengan penuh rasa syukur dan berdasarkan kepada adab-adab yang telah diajar oleh Islam. Pematuhan kepada adab-adab ini bukan sahaja dapat mendatangkan kegembiraan tetapi pada masa yang sama kita beroleh keberkatan dan keredhaan Ilahi.