KEMERDEKAAN serta kebebasan yang dikecapi kita hari ini mungkin dihargai dan difahami PERKATAAN pembangunan adalah terminologi yang sering digunakan pakar ekonomi serta pembuat dasar untuk menggambarkan kemajuan sesebuah negara.
Dalam Islam, konsep pembangunan (tanmiyyah) merujuk kepada proses penggunaan dan pembangunan sumber ummah yang merangkumi sumber manusia dan kebendaan dalam usaha untuk merealisasikan objektif utama pembangunan iaitu mencapai al-falah (kejayaan di dunia dan akhirat).
Pembangunan dalam konteks Islam adalah konsep menyeluruh yang menggabungkan unsur keduniaan dan keakhiratan. Perkara itu bagi memastikan wujudnya usaha harmoni yang dapat melahirkan masyarakat sejahtera dan seimbang dalam segala segi.
Dalam al-Quran, ia disebut sebagai Umattan Wasathan iaitu umat yang seimbang (seimbang dalam erti kata cemerlang) dalam aspek keduniaan dan keakhiratan. Penggabungan unsur moral, kerohanian dan kebendaan menjadikan pembangunan dalam Islam sebagai kegiatan berorientasikan nilai yang bermatlamatkan kesejahteraan manusia dalam segala aspek.
Dalam hal ini, tiada pemisahan antara aspek kesejahteraan moral dan kebendaan (ekonomi) dan sosial serta kerohanian dan fizikal. Perkara ini juga menggambarkan yang Islam tidak hanya mementingkan aspek kerohanian semata-mata dan bukan juga antipembangunan. Islam memberi ruang kepada umatnya untuk mencapai kemewahan dan kesenangan di dunia.
Allah menerangkan bahawa Dia menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk faedah dan manfaat semua manusia. Cuma apa yang ditekankan oleh Islam ialah keseimbangan dalam erti kata pembangunan sebenar.
Dasar pembangunan seimbang inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai `Baldatun Thoiyibatun Wa Rabbun Ghofur’ – Model negara yang makmur yang dilimpahi pengampunan Ilahi. (Surah as-Saba’, ayat 15) Kebanyakan pakar ekonomi Islam menggariskan beberapa matlamat yang ingin dicapai melalui proses pembangunan ini.
Antaranya pembangunan sumber manusia. Rasionalnya kerana manusia adalah alat pengubah dalam kehidupannya sendiri. Perkara ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud : “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu hingga mereka sendiri mengubahnya.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11) Ayat ini secara jelas menerangkan bahawa perubahan atau pembangunan bergantung kepada inisiatif ummah sendiri.
Justeru, jika modal manusia tidak dibangunkan dengan sempurna, maka akan wujudlah pelbagai gejala moral dan sosial seperti rasuah, mementingkan diri sendiri, ego, ketidakcekapan dalam pengurusan organisasi dan negara. Keadaan itu seterusnya menjadi penghalang kepada kemajuan atau pembangunan sebenar yang ingin dicapai.
Selain, pembangunan sumber manusia, pengoptimuman penggunaan sumber bagi pengeluaran yang berguna untuk ummah, yang sekali gus mengurangkan pergantungan kepada negara bukan Islam juga satu lagi objektif yang ingin dicapai melalui pembangunan.
Di sini pengeluaran bahan keperluan asas manusia seperti makanan, minuman, pakaian, bahan asas untuk binaan dan sebagainya perlu diberi keutamaan. Harganya pula perlu dipastikan pada tahap yang mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
Oleh kerana sumber yang digunakan dalam proses pengeluaran ini bersifat tidak kekal, unsur pemaksimuman atau pembaziran tidak boleh digunakan dalam konteks pengeluaran. Sebaliknya, sumber tadi perlu dioptimumkan, tetapi output yang dihasilkan perlu pada tahap maksimum.
Pembangunan dalam Islam juga bermatlamatkan untuk meningkatkan mutu hidup masyarakat melalui agihan kekayaan secara adil dengan kemudahan infrastruktur dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Sejarah membuktikan pembangunan menurut acuan Islam membolehkan kita mencapai kesejahteraan.
Jaminan sosial dalam Islam terbukti dapat mewujudkan suasana harmoni dengan jenayah, kemiskinan, pengangguran, inflasi dan gejala tidak sihat lain dapat dihapuskan daripada masyarakat. Kemajuan yang dicapai ketika pemerintahan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz adalah contoh terbaik hasil pembangunan Islam.
Diriwayatkan tiada orang miskin pada zaman pemerintahannya hingga amil zakat terpaksa hingga ke utara Afrika untuk mencari mereka yang layak menerima zakat. Oleh kerana kejayaan sesuatu bangsa itu bergantung kepada keilmuan bangsa itu, maka pengembangan cabang ilmu, terutama berkaitan bidang sains dan teknologi amat ditekankan oleh Islam.
Di sini, ilmu adalah faktor utama yang memacu kemajuan dalam kehidupan dan pembangunan. Oleh demikian al-Quran menumpukan kepentingan bidang keilmuan dan mengakui bahawa kemajuan sesuatu bangsa dan pembangunan bangsa tidak dapat dicapai, melainkan melalui penguasaan ilmu baik berbentuk fardu ain mahupun kifayah.
Firman Allah bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan mereka yang diberikan ilmu itu kepada beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11) Firman-Nya lagi: “Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?” (Surah az-Zumar, ayat 9) Ayat ini menerangkan bahawa al-Quran tidak hanya mengaitkan perbezaan sosial sesuatu bangsa itu dengan tahap ekonomi, ideologi, politik, moral dan aspek sivil lain, malah mengakui wujudnya jurang perbezaan pembangunan antara umat yang maju dengan mundur.
Perkara ini bergantung kepada sejauh mana sesuatu bangsa itu menghargai kepentingan keintelektualan dalam kehidupan mereka. Jika dibandingkan konsep pembangunan dalam Islam dengan Konsep Islam Hadhari yang diutarakan oleh kerajaan baru-baru ini, kita dapati wujud persamaan antara kedua-duanya.
Pengenalan konsep Islam Hadhari ini bukan bermaksud dasar pembangunan kerajaan sebelum ini tidak selaras dengan ajaran Islam. Memang diakui ia menepati apa yang disarankan oleh al-Quran dan sunnah.
Perkara sedemikian kerana konsep Islam Hadhari adalah pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang komprehensif. Dalam hal ini, Islam dijadikan sebagai pemangkin dalam pembangunan ummah dan negara.
Jika selama ini persepsi masyarakat terhadap ajaran Islam hanya terbatas kepada unsur ibadat semata-mata dengan agenda pembangunan tidak dianggap sebagai sebahagian daripada ajaran agama, dengan adanya konsep ini diharap persepsi ini dapat diubah.
Melalui konsep Islam Hadhari, konsep pembangunan negara – yang selama ini sudah menepati kehendak Islam – ditambah baik ciri-cirinya seperti tadbir urus yang baik, pengukuhan institusi keluarga, keutuhan integriti dan peningkatan mutu hidup.
Tujuan utama Islam Hadhari untuk melahirkan insan dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan rohani, intelektual dan kebendaan serta mampu berdikari, berdaya saing dan inovatif.
Mereka juga perlu cekap menangani cabaran semasa secara bijaksana, rasional dan praktikal. Apa pun, dalam isu berkaitan pembangunan ini, perlu wujud persefahaman antara semua pihak, baik di pihak pemerintah mahupun yang diperintah.
Jika persefahaman ini dapat diwujudkan, maka proses pembangunan dapat dipercepatkan tanpa menghadapi banyak halangan.
Perkara itu penting kerana kelewatan pelaksanaan sesuatu agenda pembangunan adalah kerugian kepada masyarakat dan negara.