Islam diutus Allah (s.w.t.) untuk menyusun kehidupan manusia di peringkat individu dan masyarakat semoga mencapai kemakmuran dan kecemerlangan hidup di dunia dan seterusnya di akhirat. Penumpuan kepada usaha mendidik individu dan menyusun masyarakat di peringkat awal adalah bertujuan untuk melahir individu yang berguna dan mengatur sistem hidup masyarakat semoga dapat berfungsi dengan baik dan sekaligus mengurangkan segala bentuk permasalahan. Penyelesaian Islam bukanlah hanya timbul akibat dari suatu permasalahan yang dihadapi oleh manusia, tetapi Allah mengarahkan umat manusia pada awal lagi supaya dididik dan disusun menepati fitrah kemanusiaan. Natijah dari proses penyusunan yang baik ini memerlukan kepada suatu sistem pengurusan diri, keluarga, organisasi dan negara yang mantap demi membawa kepada wujudnya sebuah tamadun yang mulia.
Bagi usaha ke arah mewujudkan penyusunan organisasi menepati Islam, ia merupakan kepada satu metodologi pendekatan yang sesuai dan praktikal. Proses perubahan ke arah mencapai kejayaan hendaklah melalui penerpan nilai tawhid kepada falsafah dan roh sistem yang sedia ada. Islam tidak mengsyorkan semoga bentuk, mekanisme dan kegiatan organisasi yang sedang beroperasi dihapuskan, melainkan kegilaan tersebut jelas bertentangan dengan falsafah Islam. Islam hanya mengutarakan garis panduan dan mengambil kira suasana dan budaya persekitaran.
Dalam proses pengurusan, manusia yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan. Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan makhluk sosial. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam ke semua usaha, memahami hakikat ini sangatlah perlu.
Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap individu berkeinginan untuk menjaga kepentingan diri. Di samping itu sebgai makhluk sosial pada lumrahnya perlu memerlui di antara satu sama lain dalam mengatur tugas dalam organisasi. Pendekatan Islam mengemukakan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu dan tanggungjawab organisasi atau sosial demi ke arah pencapaian kebajikan masyarakat organisasi.
Untuk menjayakan keharmonian ini di peringkat individu, Islam mengutamakan pendidikan akhlak semoga sahsiah (personality) individu dapat dibentuk dengan memiliki sikap (boleh dipengaruhi oleh pandangan hidup) yang positif dan mengamal perilaku yang mulia. Usaha ini perlu kepada pendidikan yang dapat membantu kefahaman dan menjalani latihan kerohanian semoga tindak tanduk yang negatif dapat dikurangkan. Akhlak dan perilaku individu sepatut mengarah kepada tanggungjawab individu untuk menghayati segala nilai dan semangat keadilan dalam kesemua urusan pengendalian organisasi. Pendidikan akhlak dengan itu dapat membentuk sikap yang mulia dan positif.
Memahami keadaan suasana semasa turut juga merupakan keperluan yang penting. Justeru itu memahami Islam, ilmu ekonomi, politik, dan kebudayaan adalah sesuatu yang penting.Di samping itu, Islam turut memberi penumpuan kepada peningkatan daya kemahiran dan kepakaran individu pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi dengan itu mesti menganggap pekerja sebagai sumber yang terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka. Individu yang hendak dibangun mesti memiliki ketiga-tiga ciri ini, iaitu sikap yang murni, memahami realiti dan budaya masyarakat, dan daya kepakaran yang tinggi di peringkat tahap pekerjaan masing-masing. Tanpa ketiga-tiga ciri ini, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap yang rendah. Bahkan hanya memiliki salah satu dari ciri ini tdak mungkin membawa kepada kejayaan yang membanggakan.
Sifat mementing diri adalah daya penggerak yang akan dapat memberi sumbangan positif kepada kemajuan sesebuah organisasi jika sifat tersebut dapat dididik dan diletak pada tempatnya. Tanpa sifat ini tidak mungkin manusia akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri. Bahkan sifat tersebut pada fitrah terdapat dalam diri manusia. Justeru itu bagi Islam daya usaha dan kreativiti seseorang individu akan dapat dijayakan jika sistem organisasi memberi ruang yang secukupnya kepada kebebasan usaha individu. Islam hanya memberi panduan melalui tanggungjawab keagamaan yang perlu dilaksanakan oleh setiap warga organisasi. Disamping itu Islam memberi penekanan kepada pendidikan dan latihan kerohanian moga-moga sifat mementing diri dapat diletak pada tempat yang sebenar. Dengan pendekatan ini Islam berkeyakinan bahawa, sikap serta perilaku individu akan berbentuk positif dan optimis.
Hasil dari keyakinan kepada kedudukan individu dalam sistem penyusunan organisasi, Islam dengan itu memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan secara menyeluruh semoga dapat mempertingkatkan daya kepakaran dengan disertai nilai akhlak yang mulia. Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berusaha serta membuat keputusan perlulah diperluaskan. Struktur membuat keputusan organisasi dengan itu akan diagihkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas yang releven.
Di peringkat negara, semangat perluasan ruang untuk sektor individu atau swasta berperanan dalam penyusunan dan kegiatan negara turut serta memanifestasikan bahawa Islam berkeyakinan penuh kepada initiatif individu dalam sektor swasta. Sektor swasta mendapat kedudukan yang utama dalam menggerakkan perjalanan kegiatan pembangunan negara. Adalah kenyataan bahawa sektor swasta yang peka dengan tanggungjawab kepada masyarakat (social responsibility) akan dapat menerajui masyarakat ke arah kecemerlangan. Masyarakat penyayang akan dapat diwujudkan apabila golongan individu di atas mengambil ikhtiar sendiri dengan galakan pemerintah dapat berfungsi secara majmuk menangani masalah masyarakat.
Begitu sepatutnya semangat tolong menolong dan budaya bekerja secara berpasukan perlu diwujudkan dalam sesebuah organisasi. Semangat kerja berpasukan dengan sekaligus dapat melaksanakan mekanisme syura atau perbincangan dalam menangani sesuatu tugas dan di samping itu dapat mengurang karenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi. Kecemerlangan dalam menghasilkan produktiviti dan kualiti tugas adalah natijah dari memiliki pandangan hidup tersebut yang dapat diterjemahkan dalam prinsip pengurusan dan penyusunan organisasi.
Hasil dari menerajui pengurusan organisasi mengikut perspektif di atas semangat keadilan akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi. Pelaksanaan roh keadilan dalam pengurusan akan memperkukuhkan lagi suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas dan tanggungjawab. Bahkan kemuncak kepada wujudnya prinsip keadilan bagi sesebuah organisasi akan menghasil kejayaan yang cemerlang dalam bentuk produktiviti dan kualiti kerja pekerja.