Dalam membicara Islam, kita perlu memahaminya secara falsafah dan dengan penuh ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sesebuah masyarakat dalam menyusun sistem hidup dan membudayakan nilai mulia dalam bermasyarakat memerlukan sandaran kepada falsafah sesuatu sistem kepercayaan. Nilai mulia kemanusiaan tidak boleh di andai tanpa sandaran. Justeru itu memahami falsafah bagi sesuatu sistem kepercayaan itu sangatlah penting. Falsafah menggaris prinsip kawalan (guiding principle) bagi sesuatu sistem kepercayaan itu. Ia juga akan membentuk pandangan hidup (world view) dan membina corak pendekatan sesuatu sistem itu. Ia juga akan mempengaruhi pembentukan asas akhlak dan seterusnya melahirkan budaya masyarakat berakhlak yang menyokong semangat falsafah tersebut ke arah mencapai sesuatu matlamat.
Islam adalah satu deen yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. untuk umat manusia sepanjang zaman dan untuk semua tempat. Agama Allah s.w.t ini menepati fitrah kejadian manusia. Al-Quran ada menegaskan semangat Islam tersebut dengan firmanNya yang bermaksud:
“Maka hadapkanlah wajah mu dengan lurus kepada Agama Allah; tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menghendaki supaya setiap orang yang menganut Islam supaya menegapkan haluan hidup dengan berpandukan kepada semangat kemanusiaan yang satu yang tidak menerima apa-apa perubahan alam dan peredaran zaman. Fitrah manusia adalah sama bagi semua peringkat tamadun yang dicapainya. Sebagai penganut agama fitrah, umat Islam mesti berpegang kepada nilai kemanusiaan yang tetap kekal walaupun terdapat perubahan kepada corak kehidupan dengan berubahnya masa. Memenuhi tuntutan fitrah dalam apa sahaja manusia berkecimpung adalah permulaan syarat yang akan membawa kepada kejayaan. Mana-mana sistem kepercayaan yang menganjur kepada pendekatan penyusunan hidup manusia yang bercanggah dengan fitrah atau tabii manusia akan menghadapi kemusnahan kehidupan manusia. Akhirnya kehancuran peradaban ummah.
Melalui Islam kita akan mempunyai satu pendekatan dalam menyusun kehidupan bermasyarakat dan bernegara melalui sistem politik. Urusan politik dalam sesebuah negara perlu dikendalikan dengan mantap dan beramanah. Kepimpinan negara adalah satu tanggungjawab keagamaan yang besar yang perlu dipikul oleh sesebuah pemerintahan. Dengan itu mengikut Islam usaha untuk membangun sesebuah masyarakat dalam negara memerlukan kepada sebuah sistem politik yang adil yang mampu memilih sebuah pemerintahan yang berwibawa untuk menerajui sesebuah kerajaan. Tanggungjawab orang Islam ialah memilih pemimpin yang berakhlak dan berkelayakan.
Kepimpinan negara mengikut Islam mempunyai tanggungjawab keagamaan untuk menghasilkan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran yang seterusnya menjana kepada pembangunan negara. Rakyat turut sama mempunyai hak dan tanggungjawab keagamaan atau dari segi moral untuk berperanan menyokong segala tindak tanduk pemerintah yang berfaedah semoga negara mencapai matlamat yang luhur tersebut.
Nabi s.a.w. pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a. dengan maksud:
“Kaum Bani Israel, siasah kenegaraan mereka dipimpin oleh para nabi. Setiap kali meninggal seorang Nabi, dia digantikan oleh Nabi yang kemudiannya. Sesungguhnya aku tidaklah ada Nabi yang akan mengganti dibelakangku. Yang bakal ada hanya khalifah-khalifah, yang jumlah mereka adalah banyak”.
Tugas pemerintah yang dipilih melalui sistem politik dalam sesebuah negara oleh itu adalah berat dan mencabar. Kemampuan sebuah kerajaan membangun negara ke arah peningkatan mutu hidup rakyat secara syumul dan sepadu memenuhi keperluan rakyat adalah kejayaan yang dipertanggungjawab oleh Islam.
Kepimpinan sesebuah negara perlu memberi perhatian yang utama kepada perkara terpenting dalam menyusun dan membangun negara. Dua daripada perkara tersebut ialah pertama, negara perlu mengurus pengendalian negara bersandarkan semangat syura dan kedua, negara perlu memenuhi tuntutan kebajikan rakyat.
Adalah sesuatu yang asas dalam pemerintahan Islam bahawa urusan pengendalian negara perlu disandarkan kepada semangat syura. Allah s.w.t. berfirman dengan maksud:
“Bermusyuaratlah dengan mereka dalam urusan-urusan” (Ali `Imran: 159)
Dan dalam ayat lain Allah s.w.t. berfirman dengan maksud:
“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan bermusyawarat antara mereka” (Asy-Syuura: 38)
Kedua, Islam menuntut pemerintah berusaha dengan ikhlas dan bijaksana menghasilkan pencapaian kebajikan rakyat dalam negara. Menepati perutusan Nabi s.a.w. kepada umat manusia di mana risalahnya perlu menjana kebajikan kepada masyarakat manusia dan alam sejagat, pemerintah sesebuah negara perlu meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. tersebut. Ini turut termasuk usaha ke arah pencapaian “kehidupan sempurna” (hayat tayyibah), meningkat keselesaan hidup, meminimakan kesusahan, menjana pertumbuhan ekonomi, memupuk budaya penyayang dan bermuafakat, berusaha mengurangkan keruntuhan akhlak, membasmi kemiskinan, menghapus ketakutan dan tekanan jiwa rakyat.
Rasululullah s.a.w dalam memperingati gulungan pemimpin masyarakat dan negara pernah bersabda dengan maksud:
“Seseorang pemerintah yang bertanggungjawab terhadap kebajikan orang Muslim tetapi tidak dengan ikhlas berusaha untuk memenuhi kebajikan mereka tidak akan memasuki syurga”. (Sahih Muslim)
Saidina Omar Al-Khattab r.a, Khalifah Islam kedua pernah menulis surat kepada Abu Musa, Gabenor sebuah Wilayah dengan maksud berikut:
“Seorang pemerintah yang baik adalah di mana di bawah kepimpinannya, masyarakat berada pada keadaan yang senang dan makmur dan pemimpin yang buruk ialah di mana di bawah kepimpinannya rakyat berada dalam keadaan menderita”. (Kitab al-Kharaj)
Dari kedua-dua asas penting pemerintahan Negara mengikut Islam jelas kepada kita bahawa kepimpinan negara wajib memberi perhatian yang bersungguh-sungguh kepada sistem pentadbiran dan pengurusan negara yang diasaskan kepada semangat syura dan sekaligus bermatlamat untuk mencapai pembangunan negara dalam ke semua aspek keperluan rakyat termasuk kerohanian dan kebendaan dalam acuan yang sepadu.
Pembangunan negara mengikut Islam dengan itu adalah satu proses usaha untuk menyusun (bersifat proaktif) sesebuah masyarakat atau negara oleh sesebuah pemerintahan ke arah memaju dan meningkatkan mutu hidup rakyat di peringkat individu dan bermasyarakat. Justeru itu, dalam merancang pembangunan negara aspek yang perlu di bangun untuk manusia hendaklah difahami terlebih dahulu. Memenuhi keperluan manusia dalam usaha membangun negara adalah sesuatu yang kekal dan tidak boleh diubah kerana sifat manusia adalah sesuatu yang abadi.
Sifat manusia pada hakikatnya perlu difahami sebelum usaha dapat digembelingkan untuk memajunya dan meningkat mutu hidupnya. Pada fitrahnya manusia mengandungi roh (soul) dan jasad (physical body). Islam berpandangan bahawa keperluan kepada kedua-dua sifat tersebut perlu diusahakan dalam bentuk yang sepadu. Kedua-dua sifat yang terkandung pada diri manusia ini tidak boleh di asing dan dipisahkan. Kedua-dua kandungan tersebut perlu dididik dan dibina dengan usaha yang sepadu demi untuk meningkat sahsiah individu semoga mampu menjadi penyumbang berfaedah dan menikmati hasil kejayaan pembangunan.
Akibat dari pendekatan yang diambil oleh pemimpin pemerintahan yang dianjur oleh Islam, negara dan rakyat akan memperolehi rahmat dan keampunan berpanjangan oleh Allah s.w.t.
[1] Ar-Rum: 30.