Meneliti isi kandungan akhbar The Star, walaupun menyeronokkan kerana isu-isu yang dibawa begitu informatif sifatnya, tetapi isu-isu yang sama juga kadangkala membimbangkan saya. Ini terutamanya apabila ia membawa isu-isu yang berkaitan dengan fenomena sosial yang wujud dalam masyarakat kita terutamanya isu-isu yang berkaitan tentang orientasi seksual.
Sebagai contoh, saya pernah terbaca isu berkaitan wanita di mana diketengahkan idea supaya diskriminasi terhadap wanita bujang, wanita yang mempunyai anak tanpa berkahwin dan lesbian, dihentikan. Saya merasakan masyarakat umum boleh menerima dua cadangan pertama kerana jodoh pertemuan di tangan Tuhan, manakala wanita yang mempunyai anak tanpa berkahwin itu mungkin merupakan mangsa rogol, tetapi untuk menerima golongan lesbian, saya berpendapat masyarakat kita masih belum bersedia. Mungkin juga dengan ajaran agama yang menentang perkara ini, masyarakat Melayu khususnya, sehingga bila-bila tidak akan bersedia untuk menerima golongan ini.
Kemudian, dalam satu isu yang berkaitan dengan sambutan hari wanita, saya terbaca juga tentang kisah suka-duka seorang lesbian apabila tidak diterima oleh masyarakat. Seperti cadangan di atas, masyarakat disarankan menerima golongan ini atas dasar kebebasan individu untuk memilih orientasi seks mereka sendiri.
Terbaru, saya kira ialah tentang nasib golongan mak nyah di mana mereka mengalami diskriminasi yang begitu hebat seperti sukar untuk mendapatkan pekerjaan – yang akhirnya memaksa mereka mencari makan sebagai pekerja seks – dan nasib golongan mak nyah yang beragama Islam yang asyik didenda oleh Mahkamah Syariah atas kesalahan lelaki berpakaian seperti wanita. Sekali lagi, kita disarankan untuk bersikap prihatin kepada golongan ini atas dasar kecenderungan mereka itu adalah di luar kawalan mereka.
Ini adalah sebahagian dari isu yang dibawa oleh akhbar tadi, yang sempat saya ikuti. Yang menghairankan, isu-isu ini tidak pernah mengambil tempat dalam akhbar Melayu (sekurang-kurangnya Utusan Malaysia yang mana saya adalah pelanggan tetapnya). Ini mungkin kerana barisan editor akhbar Melayu ini merasakan masyarakat Melayu masih belum bersedia (atau tidak akan bersedia) untuk isu-isu seperti ini apalagi untuk menerima cadangan-cadangan yang diutarakan itu. Keputusan ini mungkin satu keputusan yang bijak namun ia mungkin menyebabkan masyarakat Melayu secara keseluruhannya merasakan fenomena ini tidak wujud dalam masyarakat kita dan tidak melihatnya sebagai satu masalah sedangkan majoriti yang terlibat adalah orang Melayu juga.
Khabarnya, di ‘luar’ sana, memang ramai golongan homoseksual dan lesbian ini. Begitu juga dengan golongan mak nyah. Ada di antara mereka yang mempunyai tempat pertemuan tertentu, ada kelab tertentu dan ada persatuan-persatuan tertentu yang memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada golongan ini. Di universiti-universiti juga, golongan ini semakin ramai. Di ruang siber pula, ada rangkaian ‘chatting’ mereka sendiri. Jadi, nampaknya, mahu tidak mahu, kita terpaksa menerima hakikat bahawa fenomena ini semakin cuba untuk menonjolkan diri dan dengan serba sedikit simpati yang mereka perolehi, mereka cuba untuk meminta masyarakat menerima mereka sebagai sebahagian dari masyarakat keseluruhannya.
Dilihat dari segi yang lain, kelantangan The Star misalnya, mampu menyedarkan kita dengan apa yang berlaku di ‘luar’ sana yang mungkin bukan tempat bermain bagi kebanyakan dari kita. Walau bagaimanapun, saya melihat perkembangan ini dengan sedikit kebimbangan. Pertama, memikirkan apakah fenomena ini telah sampai ke tahap serius dan tahap apakah yang kita boleh anggap serius? Kedua, saya merasakan tulisan-tulisan tersebut secara tidak langsung mempopularkan idea untuk memberi ruang dan menerima golongan-golongan tadi. Tetapi, memandangkan idea-idea itu dilarang keras oleh agama, apakah kita patut membiarkannya?
Satu soalan lagi yang muncul dalam fikiran saya ialah apa yang telah berlaku kepada masyarakat kita sehingga aliran atau idea yang dikira tidak popular suatu masa dahulu (malah bagi Islam dianggap sebagai haram), menjadi semakin popular kini? Malah, ada yang menyokongnya dan menyarankan ahli masyarakat lain juga menerimanya. Saya setuju, ada yang berpendapat, fenomena ini wujud sejak dahulu, jadi ia bukanlah sesuatu yang baru. Namun, dalam kewujudannya dahulu, ia bukanlah dibuat secara terang-terangan (kecuali dalam Ghazal party) dan ia wujud tanpa kelab atau persatuan yang membantu seperti hari ini. Malah, pada hari ini, aktiviti-aktiviti ini telah dijadikan satu cara hidup (cara hidup postmodeniti – bagi sesetengah pihak). Saya terus bertanyakan soalan-soalan ini dan cuba mencari jawapannya tetapi gagal.
Kehadiran saya ke “Seminar Kebangsaan Keluarga, Komuniti dan Pembangunan: Menghadapi Pemikiran Pasca Moden” pada 10 – 11 Oktober 2000, menemukan saya kepada jawapannya. Seminar yang membicarakan kesan pemikiran pasca moden kepada masyarakat ini, walaupun agak berat kerana membicarakan gagasan pasca moden yang begitu membingungkan, tetapi ia telah menemukan saya dengan jawapan-jawapan kepada soalan-soalan saya tadi. Rupa-rupanya, apa yang berlaku itu ada kaitan dengan fikiran pasca moden yang melanda masyarakat Barat lebih kurang 30 tahun yang lalu.
Gagasan pasca moden (atau postmodernisme) ini mengandungi beberapa pemikiran yang sememangnya sukar untuk difahami. Namun, secara ringkasnya, memadailah jika disebutkan di sini empat ciri pemikiran pasca moden. Pertama, idea kematian subjek. Kedua, idea penafian realiti. Ketiga, idea ketiadaan makna. Akhir sekali, penolakan naratif besar bersama idea yang dibawanya.
Kandungan pemikiran yang terakhir inilah yang ada kaitannya dengan kemunculan kumpulan-kumpulan terpinggir yang cuba menunjukkan kehadiran mereka serta menuntut hak sebagai sebahagian dari ahli masyarakat yang lain. Oleh yang demikian, mungkin kita perlu melihat idea yang terakhir ini dengan lebih terperinci lagi.
Md. Salleh Yaapar, dalam ucaputama beliau yang bertajuk “Cabaran Pemikiran Pasca moden” menjelaskan bahawa naratif besar merujuk kepada “… pandangan dunia, ilmu mahupun teori yang menganggap dirinya menyeluruh lagi benar. Ini meliputi semua disiplin ilmu dan bidang kehidupan termasuklah agama, sains atau fahaman-fahaman seperti positivisme, sosialisme, demokrasi liberal, strukturalisme dan feminisme.” Naratif besar ini tidak disenangi oleh para pemikir post-modernisme kerana potensinya untuk meminggirkan naratif-naratif lain yang tidak atau belum berjaya mendapat kedudukan yang kukuh. Itulah sebabnya mereka cenderung menggantikan naratif besar ini dengan naratif kecil yakni “… ilmu yang tidak menyeluruh dan dakwaan-dakwaannya terhadap kebenaran adalah terhad dan kontekstual.”
Idea ini mempunyai implikasinya yang tersendiri, pertama kepada Islam, dan kedua kepada apa yang dikenali sebagai kemunculan kelompok kecil yang terpinggir.
Berkaitan dengan implikasi idea ini kepada Islam, menurut Md. Salleh Yaapar, penolakan naratif besar ini mencabar berbagai aspek kehidupan termasuklah agama. Ini kerana “… agama membuat dakwaan kebenaran yang universal dan hakiki. Islam umpamanya, memang menawarkan satu pandangan dunia yang lengkap dengan jalan hidup yang dapat menjamin kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. Penolakan naratif besar bermakna semua yang disebut oleh agama akan diketepikan sebagai tidak bererti dan palsu belaka.”
Penerimaan naratif kecil pula, menurut beliau “…menggalakkan tumbuhnya puluhan naratif kecil di Eropah dan Amerika Utara termasuk berbagai bentuk agama dan kultus New Age bersama gaya hidup New Wave. Ia juga telah menggalakkan kebangkitan semula agama rakyat (folk religion) di Barat dan dunia Barat. Sekalipun, Islam diterima sebagai naratif kecil, maka tarafnya samalah seperti naratif kecil yang lain (seperti satu agama New Age, Facisme dan sebagainya). Sedangkan Islam adalah lebih agung daripada idea-idea atau teori-teori bikinan manusia.”
Siddiq Fadhil pula dalam kertas kerja beliau yang bertajuk “Islam dan Cabaran Pascamodenisme: Satu Perbincangan Awal”, juga melihat idea naratif kecil ini sebagai sesuatu yang negatif bagi Islam. Menurut beliau, “… ada peneliti yang menaruh harapan bahawa pascamodenisme dengan sifatnya yang menolak naratif besar dan bersimpati terhadap naratif kecil akan memberi ruang yang lebih luas kepada Islam.” Namun menurut Siddiq, “… harapan tersebut tidaklah begitu cerah kerana pada tahap global Islam merupakan salah satu naratif besar yang ditolak oleh pascamodenisme. ”
Tambah beliau lagi, “Dalam batas tertentu semangat pluralisme memang selaras dengan Islam. Bagaimanapun, pluralisme yang diaplikasikan bukan pada tempatnya akan mengakibatkan Islam itu sendiri dipluralkan sehingga akan wujud bermacam-macam Islam, walhal Islam adalah agama tauhid, syariat Islam hanya satu dan kaum Muslimin adalah satu umat.”
Implikasi kedua idea penolakan naratif besar ini ialah wujudnya kelompok-kelompok kecil yang terpinggir. Bagi Md. Salleh Yaapar, beliau melihat perkembangan ini sebagai satu kelebihan. Ini kerana, ia menekankan kepada “… unsur-unsur kesamarataan, akomodasi, toleransi, rendah diri dan penolakan hegemoni. Inilah daya tarik post-modernisme khususnya di kalangan mereka yang terdesak dan tertekan. …sikapnya yang lebih prihatin kepada suara atau kelompok kecil yang terpinggir.”
Walaupun idea penerimaan naratif kecil ini memberi ruang kepada golongan terpinggir seperti orang miskin, ibu tunggal, etnik minoriti dan sebagainya, tidak semua golongan terpinggir yang timbul itu positif sifatnya. Ini kerana lahir juga golongan terpinggir yang negatif dari segi idea-idea yang mereka bawa.
Kemunculan golongan ini disentuh oleh Zainal Kling dalam kertas kerja beliau yang bertajuk “Pasca-Modenisme dan Teori Sosial”. Menurut beliau, pemikir pasca moden ini adalah mereka yang kecewa dengan ketidakadilan sistem sosial mereka yang mengakibatkan “… kalangan awam, rendah serta kurang daya dan orang lain hanyalah sampah yang merempat.” Lalu, “… golongan sampah, terpinggir dan tertindas seperti gay, feminist, black dan seniman pop dan kemudian golongan etnik minoriti bangun menolak dan mengutuk nilai asas masyarakat mereka untuk mencipta gerakan sosial yang amat meluap dan massa bagi kebebasan baru, liberation, inclusion dalam gerakan politik, ekonomi, budaya dan sosial mereka. ”
Jadi, inilah idea naratif kecil yang dibawa oleh pascamodenisme serta kesannya kepada Islam serta masyarakat. Idea naratif kecil inilah yang menjadi salah satu punca mengapa munculnya golongan-golongan yang diistilahkan sebagai golongan terpinggir yang cuba mendapat tempat dan hak mereka. Malangnya, oleh kerana idea-idea yang mereka bawa itu jelas bertentangan dengan Islam, kita berhadapan dengan satu dilemma tentang cara untuk menanganinya.
Al-Quran dan sunnah, dengan terang dan nyata menggariskan bahawa idea-idea tentang homoseksualiti dan kecenderungan lelaki menjadi wanita (dan sebaliknya) tidak dapat disokong apalagi diterima dalam masyarakat. Tetapi realitinya golongan ini wujud dalam masyarakat kita. Jadi, bagaimanakah harus kita berhadapan dengan realiti ini? Tangkap mereka dan hukum sahaja? Itukah satu-satunya panduan yang diberikan oleh Islam? Ataukah ada pendekatan lain yang jarang ingin kita ambil?
Bagi saya, sebagai agama yang toleran, tentunya Islam ada pendekatan yang lebih lembut daripada itu. Bertoleransi bukan bermakna kita menerima kehadiran mereka dan memberi mereka hak yang mereka tuntut. Tetapi bagi saya, dalam hal ini, bertoleransi bermaksud cuba memahami masalah mereka dan membantu mereka keluar dari masalah itu. Bukankah Islam mengajar kita bahawa, “Seorang Islam dengan seorang Islam yang lain adalah seperti satu badan. Jika satu bahagian merasai sakit, seluruh badan itu akan terjaga dan demam.” Jadi, jika golongan terpinggir ini berhadapan dengan satu masalah, bukankah ia sepatutnya menjadi masalah kita juga?
Sehubungan dengan itu, saya merasakan kita (masyarakat majoriti – bukan minoriti) perlu membantu golongan ini – bukan untuk menyokong atau menerima mereka – tetapi membantu untuk memulihkan mereka agar kembali menjadi sebahagian dari kita.
Untuk itu, pertama sekali, kita perlu tahu punca mereka menjadi begitu. Mereka yang homoseksual – apa puncanya? Lelaki yang cenderung menjadi wanita (dan sebaliknya) – apa puncanya? Adakah kerana didikan ibubapa atau kerana pengaruh rakan sebaya? Dengan mengetahui puncanya, dapatlah kita memberi penawarnya. Dengan mengetahui punca juga, kita dapat menghindarinya dari berlaku. Misalnya dengan menasihatkan agar ibubapa mengambil pendekatan yang betul dalam mendidik anak-anak atau mengawasi kawan-kawan anak mereka.
Bagi mereka yang telah terjebak, mungkin rawatan melalui kaunseling diperlukan. Kaunseling yang bercirikan Islam (atau dengan input agama) perlu diperbanyak dan diperluaskan. Ini penting kerana kaunseling Barat (tanpa berpandukan garis-garis tertentu) berbeza dengan kaunseling Islam (yang meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai panduannya).
Baru-baru ini saya terbaca satu lagi berita tentang bagaimana golongan terpinggir ini cuba untuk mendapatkan hak mereka. Saya petik, “Pekerja seks di rantau Asia telah merangka strategi bagi membaiki kehidupan mereka dan meminta aktiviti mereka disahkan dari segi undang-undang …” (“Pekerja seks mahu baiki kehidupan”, Utusan Malaysia, 20 November 2000, m.s. 19).
Kedua, tentang tayangan amal yang dianjurkan oleh Pink Triangle Malaysia yang bertajuk “Bukak Api”. Menurut mereka yang telah menyaksikannya, cerita ini mengisahkan tentang realiti kehidupan pekerja seks di kalangan mak nyah dan wanita di Kuala Lumpur. Watak-watak pekerja seksnya adalah seperti Kak Su, Tipah, Manisha, Riena, Jelita dan Murni (nama-nama Melayu kesemuanya). Sebagai pengkaji masyarakat, rasa ingin tahu tentang realiti kehidupan golongan ini, memang membara dalam hati saya. Namun, konsep “Masuk dengan berderma” meletakkan saya dalam dilemma. Bagi saya, menonton tayangan itu untuk mendapatkan ilmu, tiada masalah. Tambah pula, sebagai pengkaji masyarakat, saya perlu tahu apa yang berlaku di ‘luar’ sana. Begitu juga dengan konsep berderma itu, apalagi jika dengan berderma ia dapat mengayakan ilmu saya serta beramal dengannya. Tetapi, dilemma saya ialah derma itu untuk apa?
Apakah kutipan derma itu akan disalurkan ke rumah kebajikan atau rumah-rumah anak yatim atau ia akan disalurkan kepada aktiviti membantu golongan terpinggir ini? Sudah tentu ia akan disalurkan kepada perkara kedua. Tetapi, “aktiviti membantu” yang bagaimana? Membantu membina pusat pemulihan bagi golongan ini atau membantu dalam penyelidikan untuk memulihkan golongan ini atau membantu untuk meningkatkan aktiviti golongan ini? Apa sebenarnya aktiviti Pink Triangle Malaysia? Saya berasa sedikit was-was bilamana iklan tentang tayangan ini diperolehi dari seorang rakan yang mengambilnya dari laman web “Oblique – the non-staright club KL”. (Setelah melayari internet saya dapati bahawa Pink Triangle adalah satu pertubuhan antarabangsa yang ada kaitan dengan golongan homoseksual). 456Jadi, perlukah kita menderma kepada mereka?
Saya timbulkan kedua-dua perkara ini kerana inilah realiti masyarakat yang perlu kita hadapi bersama. Jika selama ini hanya golongan aktivis sosial yang giat membantu golongan terpinggir ini, kini tibalah masanya untuk golongan agama sama-sama memainkan peranan. Namun perlu diingat, peranan agama bukanlah semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk berdakwah dan memulihkan. Bukankah mar makruf nahi mungkar itu juga tanggungjawab kita? Dan nahi mungkar itu bukanlah hanya dengan menghukum, yang lebih penting lagi, ia perlu dilakukan dengan penuh hikmah, demi kebaikan semua. Bukankah kita juga yang seringkali mengakui dengan bangganya bahawa Islam ada penyelesaian kepada semua masalah. Marilah kita sama-sama buktikan.