PADA awal tamadun manusia, interaksi sesama puak berjaya mewujudkan sistem pentadbiran yang dapat mengawal dan mengurus jalinan hubungan antara satu dengan lain. Proses ini terus berkembang sehingga tercapai satu hap pentadbiran negara yang berfungsi sebagai suatu entiti perwakilan negara dengan negara lain. Oleh kerana kedudukan berjiran antara negara, setiap negara berinteraksi untuk memenuhi keperluan hidup sama ada dari segi ekonomi, sosial atau politik.
Seiring dengan perkembangan tamadun, lahir pula apa yang dinamakan pertentangan kepentingan.
Apa yang dimaksudkan dengan pertentangan kepentingan ialah perbezaan keperluan di antara negara, yang boleh menyebabkan pertikaian dan malapetaka. Keadaan ini amat berbahaya kepada umat manusia jika perbezaan kepentingan tidak ditadbir berlandaskan lunas keagamaan dan keduniaan seperti mana dituntut Islam.
Jika dilihat dunia hari ini, isu pertentangan kepentingan menyebabkan perbalahan antara negara, yang meragut ratusan juta kehidupan di muka bumi.
Tidak dapat dinafikan, perhubungan antarabangsa menyokong peredaran sistem politik dunia. Namun, dengan hanya bergantung kepada norma duniawi seperti mana yang diamalkan pentadbiran sekular, ia tidak memadai untuk menjamin kehidupan sejati dan harmoni manusia di dunia. Justeru, harus wujud satu sistem yang mampu
menggabung keperluan hidup manusia di dunia dan akhirat untuk kedamaian dan perpaduan umat sejagat.
Sistem yang dimaksudkan itu ialah sistem anjuran Islam yang bersifat menyeluruh dan sesuai sepanjang zaman.
Ajaran Islam, yang menggabungkan unsur duniawi dan ukhrawi, sebenarnya tidak menyekat sistem perhubungan
antarabangsa, malah ia memandu manusia ke arah mengamalkan konsep hubungan antara manusia dengan tuhannya dan hubungan sesama manusia.
Malah, cendekiawan sains politik bersetuju bahawa sistem perhubungan antarabangsa sistematik, sudah wujud sejak Rasulullah saw menyebarkan syiar Islam.
Kehidupan aman yang dianjurkan Islam terbukti memperlihatkan peristiwa penting dalam sejarah politik Islam antarabangsa seperti yang termaktub dalam piagam Madinah. Piagam ini ialah yang pertama dalam sejarah kehidupan manusia. Malah, ia sudah wujud sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menandatangani dokumen hak asasi manusia.
Kandungan Piagam Madinah adalah perjanjian untuk menjalin kehidupan damai antara beberapa kelompok yang hidup di Madinah. Meskipun berbeza dari sudut agama, etnik, keyakinan, suku dan golongan, namun mereka tetap hidup dalam suasana damai.
Sebagai umat yang meyakini akidah Islam sebagai suatu pemikiran menyeluruh mengenai alam semesta, umat Islam harus memiliki pandangan khas. Mereka perlu memandang dunia secara menyeluruh meskipun pada masa sama sistem perhubungan antarabangsa berada di bawah kekuasaan politik dan ekonomi yang didalangi oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tamak haloba.
Oleh kerana itulah umat Islam harus mampu membebaskan dunia dan memperbetulkan kesesatan dan penyesatan menuju petunjuk cahaya Islam, dan kebahagiaan hidup. Ini hanya dapat diperoleh apabila seluruh umat Islam bersatu atas dasar Islam.
Dalam konteks perhubungan antarabangsa, politik daulah (negara) Islam dimanifestasikan melalui keupayaan
menjalin hubungan dengan pelbagai negara, bangsa, dan umat lain.
Hal ini berkaitan dengan kewajipan menegakkan Islam dalam negeri untuk mengembangkan dakwah ke luar negara.
Ia juga dijadikan asas perhubungan antarabangsa kerana Rasulullah diutuskan untuk seluruh manusia.
Allah berfirman yang bermaksud: “Kami tiada mengutuskan engkau (ya Muhammad) kecuali kepada umat manusia untuk memberi khabar gembira (syurga) dan memberi peringatan (neraka), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Surah Saba’, ayat 28).
Politik antarabangsa negara Islam dibangunkan melalui pemikiran yang konsisten dan tidak berubah yakni penyebaran Islam kepada seluruh umat dan bangsa di dunia.
Inilah asas membangunkan politik luar negara Islam. Asas ini tidak akan berubah walaupun wujud bentuk pemerintahan yang berbeza.
Rasulullah saw memulakan pembangunan hubungan negara Islam dengan negara lain berdasarkan asas penyebaran Islam ini.
Baginda membuat perjanjian dengan kaum Yahudi bagi membolehkan penyebaran dakwah di Hijjaz. Baginda menandatangani perjanjian Hudaibiyah dengan puak Quraisy untuk memperkuatkan dakwah di Semenanjung Tanah Arab.
Baginda juga mengutus surat ke beberapa negara di luar Semenanjung Tanah Arab untuk membangunkan hubungan antarabangsa berdasarkan asas penyebaran Islam. Selepas Baginda wafat, risalah Islam terus disebarkan kepada seluruh manusia oleh khalifah Islam dan umat Islam.
Oleh demikian, dakwah Islam yang sampai ke penjuru alam adalah lanjutan daripada sunnah Rasulullah saw dan adalah asas bagi hubungan negara Islam dengan negara, bangsa, dan umat lain.
Kenyataan ini adalah ketetapan syariat yang sudah ditegaskan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak (kesepakatan) sahabat.
Justeru, Islam tidak menafikan kewujudan bangsa, kabilah dan kelompok tertentu. Akan tetapi amatlah tidak bermakna jika kewujudan kebangsaan dan kesukuan dijadikan dasar membentuk sesebuah organisasi, masyarakat dan negara.
Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa setiap bangsa dan suku dijadikan bertujuan saling kenal-mengenali,
bukan dijadikan alat pemecah belah.
Firman-Nya: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan (bapa dan ibu), dan Kami jadikan kamu berbangsa (bermacam umat) dan bersuku supaya kamu berkenalan antara satu dengan lain. Sesungguhnya, orang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Dengan ini dapat kita manfaatkan dan kaitkan bahawa perhubungan antarabangsa dalam Islam adalah satu jalinan kukuh antara penyebaran dakwah Islam yang membawa manusia ke arah kebaikan, dan penyatuan urusan agama serta keduniaan bagi menjamin suatu sistem pentadbiran perhubungan antarabangsa adil dan memupuk kehidupan manusia aman, saling mengenali dan menghormati.