Allah telah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi ini berbanding pelbagai makhluk atau spesis yang lain, dan ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah At Tiin, ayat 95. Kejadian yang amat sempurna ini merangkumi keindahan dalam asepk fizikal, dan tarbiyah Islam pula turut membantu dalam pembangunan kecemerlangan emosi dan intelek serta kecantikan akhlak mereka. Setiap aspek itu saling berkait rapat, melengkapi dan mempengaruhi antara satu sama lain, ini bermakna sekiranya buruk sesuatu aspek itu, maka akan menjadi kurang, cacat dan tidaklah sempurna kejadian dalam diri seseorang individu itu. Akhirnya, keburukan akan menjadi nyata, dan diluahkan dalam bentuk pemikiran yang terpesong, perangai dan akhlak yang buruk, emosi yang tidak terkawal serta kehidupan yang tidak terpandu ke arah kebaikan. Bagi mencapai kestabilan dalam kehidupan, Islam telah menuntut ummatnya agar sering memelihara kesejahteraan dalam semua aspek tersebut iaitu kesejahteraan akal dan minda, pemikiran, emosi serta akhlak dan perbuatan mereka.
Satu aspek yang sering tidak diberi perhatian yang sepenuhnya oleh umat Islam ialah dalam aspek memelihara kestabilan emosi. Wujud bahawa sebahagian besar umat Islam yang tidak mampu untuk mengawal emosi berdasarkan kepada beberapa fenomena yang berlaku di dalam kehidupan mereka khususnya yang berkaitan dengan faktor emosi, lantas mengakibatkan beberapa kejadian dan gejala yang tidak sewajarnya berlaku seperti tunjuk perasaan, kes amuk, pergaduhan, perceraian, malah ada yang membawa kepada kejadian bunuh, yang sewajarnya tidak akan berlaku jika mereka mampu untuk mengawal emosi mereka. Pengawalan atau pengurusan emosi bermaksud seseorang individu itu mampu menyedari dan celik akal terhadap emosi atau perasaan yang sedang ia alami. Ia juga mampu untuk mengenalpasti jenis-jenis emosi dan perasaan yang sedang dialami serta memahami tahap atau darjah ketinggian emosi yang ditunjukkan itu. Pada masa yang sama, mereka juga memahami bagaimana emosi dan perasaan mereka akan menjadi tidak stabil, serta apakah tindakan yang sering atau biasa mereka lakukan apabila memiliki jenis-jenis emosi yang tertentu, serta bagaimana untuk mengatasi kesukaran yang timbul akibat dari memiliki tahap emosi tertentu itu yang secara keterlaluan.
Emosi pula adalah perasaan yang ada pada setiap diri manusia seperti perasaan gembira, sedih, marah, suka, kecewa, takut, murung dan sebagainya. Terdapat dua jenis emosi, iaitu emosi negatif dan juga emosi positif. Perasaan suka sering dilihat sebagai emosi yang positif, kerana ia sering membawa keseronokan dan kegembiraan. Manakala perasaan benci dan marah pula sering dilihat sebagai negatif, kerana ia membawa kepada kepayahan dan kesukaran. Namun sebenarnya, emosi suka juga boleh menjadi negatif apabila ia ditunjukkan secara berlebihan dan tidak terkawal, dan begitu juga emosi benci dan marah, ia juga berpotensi untuk menjadi positif dan membawa kebaikan kepada kehidupan manusia jika dikawal dan dibimbing secara lebih rasional. Di dalam kehidupan seseorang muslim, memahami jenis dan tahap emosi adalah perlu dan penting, kerana Islam menuntut setiap umatnya untuk membawa kehidupan dan tingkahlaku mereka menuju kepada kebaikan. Tahukah kita bahawa tahap pengurusan atau pengawalan emosi yang rendah, lemah dan tidak berpengetahuan akan membawa kepada kehinaan, huru-hara dan persengketaan serta mendatangkan pelbagai kesan buruk dalam kehidupan?
Kehidupan yang harmoni dan stabil dalam keluarga dan masyarakat amat memerlukan kepada daya tahan dan kekuatan pengawalan emosi. Namun, jika kebijaksanaan dalam pengurusan emosi tidak dapat dicapai, ia akan memberi kesan buruk dalam pelbagai aspek kehidupan. Emosi yang negatif akan sering menjadi tidak stabil dan menyukarkan kehidupan individu untuk berhubung dengan orang lain. Emosi yang negatif adalah bersifat toksik dan jika tidak dikawal, ia akan memusnahkan perhubungan suami isteri, keluarga dan memutuskan silaturrahim serta persahabatan, malah ia akan menjadikan masyarakat dan negara tidak stabil dan huru hara.
Terdapat pelbagai faktor mengapa emosi negatif boleh muncul dan seterusnya melumpuhkan pemikiran yang rasional seseorang individu. Beberapa faktor luaran seperti perbezaan fikrah dan fahaman politik atau keagamaan, atau kepercayaan seseorang terhadap kumpulan atau individu, salah faham terhadap matlamat sesuatu kelompok masyarakat, dan kurang peka, tidak sensitif serta tidak prihatin terhadap hak dan kepentingan orang lain, berasa hak mereka dinafikan dan sebagainya. Manakala pengurusan emosi yang baik boleh dimiliki apabila individu itu mengenali keupayaan emosi sendiri, memahami situasi, bila dan di mana emosi itu menjadi tidak terkawal, serta mengkaji pelbagai faktor yang mendorong mereka terjebak kepada emosi yang negatif. Bagi membina kehidupan yang baik dan soleh, kesemua aspek yang tersebut itu wajar dipelihara secara baik dan terarah kepada kebaikan sebagaimana yang dipandukan oleh ajaran Islam. Contoh yang paling jelas akan kepentingan pengurusan emosi ialah apabila Rasulullah SAW memberi panduan kepada kita bagaimana untuk mengawal perasaan ketika sedang marah. Dan yang paling penting ialah mengikuti panduan tersebut untuk emosi yang lebih sejahtera.