Pasca 11 September khususnya, dunia menyaksikan timbulnya ketakutan dalam kalangan masyarakat Barat terhadap Islam dan penganutnya yang terzahir melalui sikap prejudis, diskriminasi dan tindakan kasar dan kadang-kala ganas terhadap orang Islam di Barat. Peristiwa tembakan kejam di dalam masjid di Christchurch, New Zealand adalah antara kemuncak tindak balas masyarakat Barat akibat dari gejala Islamofobia.
Justifikasi terhadap Islamofobia pada dasarnya ialah kebimbangan Barat terhadap Islam yang dilihat sebagai ancaman baru dalam bentuk kuasa geopolitik dan gerakan terorisme yang akan menggugat status quo hegemoni mereka. Sejauh mana benarnya andaian yang mendasari Islamofobia ini?
Sekiranya diteliti, Islamofobia tidak berlaku dalam keadaan vakum. Ia sebenarnya merupakan satu mata rantai dari lingkaran tindak balas yang sekiranya tidak dibendung tidak akan berkesudahan. Ini kerana ia adalah tindak balas masyarakat Barat terhadap tindakan sekelompok ekstremis radikal yang juga bertindak hasil dari kemarahan mereka terhadap apa yang dilakukan oleh Barat terhadap sebahagian masyarakat dan negara Islam seperti di Palestin, Afghanistan dan Iraq.
Jauh dari cuba menjustifikasi apa yang dilakukan oleh golongan radikal dan ekstrem yang menggunakan agama untuk melepaskan dendam terhadap apa yang berlaku kepada negara dan tanah air mereka, isu yang lebih penting ialah keperluan untuk mencari akar permasalahan terhadap perkara yang mencetus Islamofobia.
Sekiranya punca kepada permasalahan tidak diatasi maka lingkaran syaitan (vicious circle) ini akan berterusan dan sukar untuk diselesaikan. Kekerasan pastinya akan menghasilkan lebih banyak kekerasan (violence begets violance).
Tambahan dari itu, kajian telah membuktikan bahawa Islamofobia adalah sesuatu yang lebih dari sekadar tindak balas yang bersifat lumrah dan tabii dari masyarakat Barat. Sebaliknya ia adalah sebahagian dari gerakan yang terancang bagi menimbulkan kebencian berterusan kepada umat Islam. Malah ia diistilahkan oleh Houda Abadi, pengkaji di Carter Center Conflict Resolution Program, Atlanta sebagai satu bentuk rasisme baru yang sistematik dan berinstitusi (systemic and institutional form of racism).
Ia diterjemahkan misalnya oleh kelompok yang berideologi right wing di Barat telah mengusulkan pelbagai bentuk agenda bagi menafikan hak golongan Muslim di negara mereka. Ini didokong oleh kelompok ekstrem aliran white supremacy yang berjuang untuk menjayakan agenda pengagungan ras mereka.
Islamofobia adalah penerusan dari agenda rasis yang menjadikan agama dan budaya sebagai asas penolakan setelah sebelumnya lebih berbentuk perbezaan biologi seperti system apartheid yang menekan golongan berdasarkan warna kulit.
Malah sekiranya ditelusuri Islamofobia mempunyai sejarah panjang bermula dengan penjajahan dan gerakan orientalisme yang berakar umbi sejak ratusan tahun. Insiden seperti 11 September adalah sekadar cetusan baru bagi membakar kembali sekam yang telah lama panas terpendam dan membara.
Yang pasti asas-asas yang diberikan bagi menjustifikasi naratif Islamofobia adalah hasil penilaian dangkal dan tidak adil kepada umat Islam yang mencerminkan kecelaruan berfikir. Misalnya tuduhan yang mengatakan Islam adalah agama tidak rasional, tidak toleran, ganas adalah kesimpulan umum hasil dari asas berfikir yang salah dan mengelirukan.
Berasaskan premis bahawa sekelompok ekstremis melakukan keganasan dan mereka adalah dalam kalangan penganut Islam, mereka berkesimpulan bahawa agama Islam yang dianuti pengganas ini menganjurkan keganasan. Ini adalah contoh kesilapan asas berfikir yang amat jelas.
Ekstremisme pada hakikatnya tidak mengenal batasan agama, kaum, nasionalisme dan geografi. Ia berlaku dalam kalangan banyak negara, bangsa dan penganut agama. Dalam konteks Islamofobia, kewujudan ektremis dalam kalangan Muslim dan tindakbalas terhadapnya melalui naratif Islamofobia adalah dua muka dari duit syiling yang sama, kedua-duanya adalah tindakan yang salah.
Yang jelas, agama Islam yang ditakuti atau dimomokkan sebagai menakutkan bukanlah agama yang muncul dalam tempoh setahun dua hasil dari ajaran individu terpencil. Ia juga bukan ajaran agama yang tiada rekod dalam mana-mana karya sejarah. Sebaliknya, Islam adalah agama yang telah berkembang hampir seribu lima ratus tahun dan telah membuktikan keunggulannya sebagai sebuah agama yang telah mengajar lautan manusia mengenai nilai-nilai akhlak dan ketuhanan yang menjamin keamanan hidup insan.
Yang lebih ironis, agama Islam yang ditakuti itu secara literal mempunyai maksud keselamatan, kesejahteraan dan penyerahan diri kepada Tuhan Pencipta. Ajarannya berteraskan kasih sayang dan rahmat kepada sekalian alam. Dari rekod sejarah, agama ini telah berjaya membina sebuah tamadun berteraskan wahyu dan didokong oleh kekuatan ilmu akal dan sains yang telah mempengaruhi tiga perempat dunia. Tamadun Barat sendiri telah banyak mendapat manfaat dari tamadun Islam termasuk dalam bidang agama, akhlak, sains dan kemanusiaan.
Yang juga harus difahami ialah hakikat fitrah peradaban yang berteraskan wahyu dan nilai murni akan sentiasa bersifat sejagat. Maka sekiranya Islam itu berkembang dan menawan jiwa dan kalbu insan di serata dunia, ia bukanlah sesuatu yang harus ditakuti, malah sesuatu yang harus dikagumi dan didekati.
Terlepas dari agenda dan naratif yang diketengahkan oleh kuasa Barat, Umat Islam sendiri harus bangun untuk membuktikan keunggulan mereka sebagai umat terbaik. Dengan memantapkan kefahaman mengenai pandangan alam Islam yang sebenar berasaskan tradisi keilmuwan yang unggul, umat Islam bakal mengangkat kembali martabat agama ini sebagai agama yang dihormati, dikagumi dan bukan ditakuti.