Isu mengenai penggunaan kalimah Allah sekali lagi menjadi perbahasan hebat apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Mac 2021 yang memutuskan bahawa KDN telah khilaf apabila mengeluarkan arahan pentadbiran melarang penggunaan kalimah Allah ke atas orang bukan Islam pada 5 Disember 1986. Ini kerana, KDN telah membuat tindakan berlawanan dengan keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri pada 19 Mei 1986 yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan empat perkataan Bahasa Arab iaitu ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’ dalam penerbitan mereka dengan syarat di kulit muka depan penerbitan tersebut ditulis perkataan ‘Untuk agama Kristian sahaja’. Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan KDN ini adalah salah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan.
Sebenarnya, penarikan balik KDN daripada rayuan kes Jill Ireland melalui notis pemberhentian yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 18 April 2023 adalah untuk memperbetulkan “kesilapan pentadbiran” iaitu percanggahan arahan yang dikeluarkan oleh KDN terhadap keputusan jemaah menteri seperti yang disebut di atas. Apakah dengan penarikan balik rayuan ini, ia seolah-olah memberi isyarat bahawa penganut agama Kristian boleh sewenang-wenangnya menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran?
Sebenarnya, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dalam penghakiman semakan kehakiman yang dipohon oleh Jill Ireland membenarkan pemohon seorang wanita Kristian berbangsa Melanau menggunakan kalimah Allah yang terdapat dalam cakera padat (CD) berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah,’ ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah” yang telah dirampas oleh pihak berkuasa semasa ketibaan di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang pada 11 Mei 2008. Hakim Datuk Nor Bee turut membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang dijamin dalam Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill menggunakan kalimah Allah untuk tujuan pendidikan agama Kristian. Namun Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah ia mesti disertakan dengan penafian “hanya untuk orang Kristian” dan perlu meletakkan lambang salib di hadapan kulit CD dan buku. Hakim Datuk Nor Bee juga menekankan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kesamarataan antara warganegara dengan alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang. Selain itu, mahkamah juga memutuskan larangan penggunaan tiga perkataan lain iaitu ‘Baitullah’, Kaabah’ dan ‘solat’ adalah berlawanan dengan Perlembagaan, menyalahi undang-undang dan tidak rasional. Ini kerana penggunaan perkataan-perkataan ini tidak mengganggu ketenteraman awam.
Ternyata, keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Jill Ireland yang dibuat pada 17 Mac 2021 tidak mengenepikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes The Herald pada 23 Jun 2014 dengan majoriti 4-3 menolak rayuan oleh pihak The Herald yang mahukan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Bahasa Melayu. Ini merupakan rayuan pihak The Herald terhadap keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013 yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh The Herald – The Catholic Weekly. Alasan penghakiman mereka antara lain merujuk kepada kedudukan Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam agama Persekutuan dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan mengenai larangan menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam.
Meskipun begitu, larangan tersebut tidak terpakai di Sabah dan Sarawak kerana, dari segi amalannya, penggunaan nama Allah dalam kitab Injil telah lama diterima pakai dan tidak menimbul sebarang masalah. Hanya di Semenanjung Malaysia larangan ini terpakai. Tambahan pula, tiada enakmen pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam di Sabah dan Sarawak.
Melihat kepada kedudukan Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagaian Persekutuan” serta peruntukan mengenai kebebasan beragama dalam Perkara 11(1) yang berbunyi “tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.”
Justeru, menurut Profesor Andrew Harding, di samping melindungi kebebasan beragama, peruntukan dalam Perkara 11 juga turut membezakan antara mengamalkan dan mengembangkan agama. Ini kerana Perkara 11(1) memberi kebebasan kepada setiap individu untuk mengamalkan agama anutannya. Tetapi kebebasan beragama ini tidak bersifat mutlak kerana Perkara 11(4) juga memperuntukkan sekatan ke atas kebebasan beragama dari segi pengembangannya. Sekatan ini menurut beliau lebih untuk memelihara ketenteraman awam seperti yang terkandung dalam Perkara 11(5).
Hakikatnya, Perkara 11(4) membenarkan negeri-negeri membuat undang-undang pengawalan agama bukan Islam kepada orang Islam. Di dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) memperuntukkan beberapa sekatan yang menghalang orang bukan Islam dari menggunakan perkataan-perkataan tertentu dalam agama Islam untuk tujuan agama bukan Islam. Memang jelas, dalam sepuluh negeri yang mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) memperuntukkan dalam Bahagian I Jadual (Seksyen 9) perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam, antara lain, kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, firman Allah, hadith, Illahi, wahyu, ibadah dan perkataan-perkataan lain yang tersenarai dalam Bahagian I jadual tersebut. Tambahan pula, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 7 Mei 2008 menyatakan bahawa kalimah Allah adalah khusus untuk orang Islam dan orang bukan Islam dilarang sama sekali menggunakannya untuk apa-apa tujuan agama mereka.
Merujuk kepada keputusan Jemaah Menteri pada 17 Mei 2023 yang menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen pengawalan agama bukan Islam yang wujud di sepuluh negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februrari 2023 yang menzahirkan agar dasar sedia ada mengenai larangan penggunaan kalimah Allah dalam ajaran agama bukan Islam dikekalkan, menunjukkan bahawa kedudukan Islam masih terpelihara.
Ini bertepatan dengan ketegasan Perdana Menteri semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat, Parlimen pada 23 Mei 2023 bahawa kerajaan sedang mengkaji bagi meminda atau memansuhkan undang-undang yang bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Semenanjung Malaysia dan kelonggaran di Sabah dan Sarawak.
Tambahan pula, atas nasihat Peguam Negara, sekiranya rayuan dibuat oleh KDN atas kesilapan pentadbiran, kemungkinan besar kerajaan akan kalah dan ini akan menunjukkan kelemahan di pihak kerajaan. Justeru, pindaan perlu dibuat terhadap keputusan Jemaah Menteri pada 19 Mei 1986 yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan syarat ia hanya untuk tujuan agama berkenaan.
Kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang pengawalan agama bukan Islam. Penguatkuasaan terhadap enakmen ini akan sedikit sebanyak merungkai permasalahan larangan dari segi pentadbiran.
Tindakan undang-undang sepatutnya diambil mengikut enakmen ini bagi negeri-negeri yang sudah mempunyai undang-undang tersebut termasuk di Selangor dan tidak hanya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan tersebut. Suatu penyelesaian yang harmoni namun tegas perlu dilakukan bagi menyelesaikan penggunaan isu kalimah Allah ini secara tuntas supaya ia tidak dipolemik dan dipolitikkan lagi. Perjumpaan bersama pihak-pihak tertentu terutamanya para agamawan boleh dilakukan bagi membincangkan isu ini dari sudut ilmiah. Perkataan ‘Allah’ ini amat agung dan suci bagi umat Islam di Malaysia, maka apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh penganut agama lain yang turut ingin menggunakan nama ‘Allah’ ini kerana sudah semestinya definisi ‘Allah’ bagi agama Islam dan agama lain adalah berbeza. Umat Islam percaya bahawa ‘Allah’ bersifat Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.