Pada tahun 1988, suatu pindaan dibuat terhadap Perkara 121 dengan penambahan klausa 1A yang menganugerahkan bidang kuasa ekslusif kepada Mahkamah Syariah. Ini disebabkan, sebelum itu Mahkamah Sivil campur tangan dalam kes Mahkamah Syariah sehingga membatalkan keputusan yang telah dibuat. Secara teori, ia jelas memisahkan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil tetapi secara amalan, tetap berlaku pertindanan bidang kuasa dalam kes tertentu terutamanya dalam kesalahan jenayah Syariah berkaitan pelanggaran perintah terhadap ajaran agama Islam (offences against precepts of Islam).
Mahkamah Persekutuan dalam kes kontroversi Iki Putra Mubarrak (2021) memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan seks luar tabii sebagai tidak sah dan tidak perlembagaan (null and void). Terbaharu, kes Nik Elin Zurina (2023) pula mencabar 20 (kini 18) peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 rentetan daripada kes Iki Putra di atas. Walau bagaimanapun, kes Nik Elin tidak akan dibincangkan kerana masih dalam proses perbicaraan di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Dalam kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan mentafsirkan frasa “except in regard to matters included in the Federal List” sebagai “preclusion clause” atau peruntukan yang menghalang Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen. Perlu difahami bahawa Senarai I, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan mengandungi 27 perkara termasuk undang-undang jenayah manakala Senarai II, Senarai Negeri jadual yang sama memperuntukkan 13 perkara termasuk “…pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan…”
Secara sedar atau tidak, peruntukan dalam Kanun Keseksaan secara relatifnya adalah 70% mematuhi Islam. Adalah lebih baik sekiranya peruntukan yang tidak mematuhi kehendak Syarak dipinda atau dimasukkan ke dalamnya, yang akhirnya, pemakaian “undang-undang jenayah Islam” dapat dilaksanakan dalam kerangka Kanun Keseksaan yang terpakai untuk orang Islam dan bukan Islam.
Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa harmonisasi undang-undang mempunyai persamaan dengan Islamisasi undang-undang, namun hakikatnya pendekatan harmonisasi adalah lebih berhikmah, mesra dan bersifat penyelesaian dalam kerangka sistem undang-undang yang sedia ada di negara kita.
Perlu dinyatakan bahawa tidak perlu melabelkan sesuatu undang-undang itu dengan perkataan Islam tetapi memadailah intipatinya menepati Islam. Justeru itu, tidaklah bermaksud harmonisasi undang-undang itu hanya berlaku ke atas akta/enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri tetapi ia juga berlaku ke atas akta undang-undang Sivil dan terpakai ke atas orang Islam dan bukan Islam.
Tanpa cuba mengesampingkan kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Sivil seperti bidang kuasa sedia ada (inherent jurisdiction), kuasa semakan kehakiman dan tafsiran serta senarai bidang kuasa melalui Senarai I, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan, seharusnya bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Sivil melalui Senarai II, Senarai Negeri jadual yang sama juga perlu dihormati dan tidak dipandang rendah.
Tidak harus dilupakan, Perlembagaan juga memperuntukkan Senarai Bersama iaitu Senarai III yang membolehkan kedua-dua mahkamah beroperasi sama dalam hal tertentu. Perkara 74(1) misalnya membenarkan Parlimen membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama.
Keputusan Iki Putra telah merubah konsep asas penubuhan negara berasaskan federalisme yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Persekutuan Malaysia (1963). Sementelahan persekutuan dan negeri telah diberikan bidang kuasa masing-masing melalui Senarai I, II dan III, keputusan kes Iki Putra telah meruntuh sistem yang sekian lama telah berjalan di negara kita.
Maka pihak eksekutif dan legislatif perlu memperbetulkan tafsiran Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra dengan menggunakan Perkara 76(b)(c) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Pihak eksekutif perlu membawa usul meminda Perlembagaan di Parlimen dengan memasukkan bidang kuasa jenayah di bawah Senarai III, Senarai Bersama supaya jelas memberi kuasa kepada DUN membuat undang-undang kesalahan jenayah termasuk jenayah Syariah.
Pada 28 Ogos lalu, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencadangkan supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi membuat kajian mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang berbangkit susulan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Menyahut titah Sultan Selangor di atas, IKIM mengesyorkan agar suatu pendekatan yang harmoni, holistik dan secara lateral perlu diambil dalam mentafsirkan sebarang peruntukan dalam undang-undang terutama yang melibatkan agama Islam. Ia tidak boleh ditafsir secara harfiah/literal seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang tersebut sekiranya ia membawa implikasi yang boleh memudaratkan bidang kuasa DUN dalam membuat undang-undang yang ianya mempunyai bidang kuasa tersebut.
Pendekatan tafsiran yang holistik perlu bagi memberi kuasa kepada DUN bagi negeri dan Parlimen bagi Wilayah-wilayah Persekutuan membuat undang-undang jenayah bagi semua orang termasuk jenayah Syariah bagi orang Islam yang melakukan kesalahan yang menyalahi perintah agama Islam. Rujuk kembali Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung Islam sebagai agama persekutuan dan Perkara 11(1) yang menggalakkan semua agama diraikan untuk hidup bersama secara aman dan damai.
Dalam masa yang sama, pihak pengamal undang-undang Sivil dan Syariah seperti hakim, peguam, ahli akademik menerusi pelbagai jawatankuasa perlulah duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang harmoni dan tuntas. Seharusnya, Parlimen dan DUN serta Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di Malaysia bersikap melengkapi (complementing) dan bukannya menyaingi (competing) antara satu sama lain.
Apa jua keputusan dan cabaran mendatang terhadap peruntukan undang-undang jenayah Syariah khususnya selepas ini, semua pihak harus bersikap tasamuh atau berlapang dada serta lebih memahami undang-undang dalam konteks sebenar. Usaha untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Syariah perlu dibuat secara harmoni dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Justeru itu, MKI dan Majlis Raja-Raja memainkan peranan penting dalam hal ini kerana urusan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa para tuanku.