Saban tahun, jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan warna kulit telah dijemput untuk berkumpul di tanah suci bagi menyempurnakan ibadat haji. Sebagai ibadat penting dalam Islam, rukun Islam kelima ini mengandungi pelbagai hikmah yang perlu dihayati.
Ibadat haji bukan sekadar upacara tahunan. Sebaliknya, ibadat ini memiliki aspirasi untuk membentuk transformasi kerohanian, intelektual, sosial dan ekonomi umat Islam. Menyentuh soal transformasi sosial ibadat haji, mungkin objektif paling jelas yang dapat diperhatikan dalam ibadat ini adalah tentang pembentukan kesatuan umat.
Haji Sebagai Madrasah Penyatupaduan Sejagat
Bagi sesiapa yang pernah menunaikan haji, sudah pasti mereka akan dapat melihat bahawa ibadat ini merupakan satu madrasah yang menyatupadukan umat Islam sejagat. Islam sangat menekankan soal penyatupaduan manusia tanpa mendiskriminasikan sesuatu bangsa atau kaum. Prinsip ini jelas dapat dilihat dalam ibadat Haji.
Meskipun para jemaah datang dari pelbagai latar masyarakat, bahasa dan budaya, mereka tetap berkongsi amalan, perjalanan dan tujuan yang sama yang ingin dicapai sepanjang pelaksanaan ibadat haji. Malahan, mereka mungkin juga berbeza pegangan mazhab dan asal usul. Namun, apabila menunaikan haji, semua perbezaan itu diketepikan dan mereka mampu melakukan amalan-amalan secara bersama-sama; tawaf di Baitullah yang sama, berwukuf di Arafah yang sama dan melontar jamrah di waktu dan tempat yang sama. Semuanya bagi mencari keredaan Allah SWT dan mencari haji yang mabrur.
Ibadat ini juga menyatukan umat dalam bentuk menyamaratakan kedudukan para jemaah. Walaupun berbeza status keduniaan, keturunan, pangkat dan kekayaan, semua itu tidak membezakan mereka. Malahan, kita dapat lihat kesatuan para jemaah yang datang dalam pakaian yang serba ringkas, terutamanya bagi kaum lelaki yang hanya memakai dua helai kain putih. Inilah manifestasi kesatuan yang meletakkan kekuatan tauhid sebagai pemersatu, bukan slogan mahupun retorik semata-mata.
Dari sudut sejarah, Islam juga telah menyucikan amalan haji ini daripada tokok tambah masyarakat Jahiliyyah. Sebelum diturunkan wahyu kepada Rasulullah SAW, masyarakat Arab Jahiliyyah telah merosakkan nilai spiritual ibadat haji ini dengan mencampuradukkannya dengan amalan-amalan yang tiada asalnya. Pelbagai bentuk diskriminasi dan perkauman sempit telah dimasukkan ke dalam ibadat ini sehingga mengubah roh dan nilai kerohanian yang terkandung dalam ibadat yang agung ini.
Sebagai contoh, para mufassir seperti al-Tabari, al-Qurtubi dan seumpamanya telah menjelaskan bahawa pada zaman Jahiliyyah, sebahagian golongan Quraisy enggan keluar daripada Tanah Haram sewaktu melaksanakan ibadat Haji, dengan dakwaan bahawa mereka merupakan “bangsa istimewa” yang tidak seharusnya keluar daripada Tanah Haram. Hasilnya, mereka enggan berwukuf di Arafah kerana Padang Arafah telah terkeluar daripada sempadan Tanah Haram. Keistimewaan palsu ini dimansuhkan oleh al-Quran apabila Allah SWT menurunkan ayat:
Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Baqarah:199).
Dengan ayat ini, Allah SWT menyamaratakan semua manusia dalam ibadat haji tanpa memberikan kemuliaan kepada bangsa atau kaum tertentu.
Malcolm X: Saksi Hidup Transformasi Haji Menentang Rasisme
Antara saksi paling jelas yang menekankan peranan haji dalam menyatukan umat Islam dapat dilihat dalam penulisan seorang pemikir dan aktivis terkenal, Malcolm X (kemudian dikenali juga sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz). Sebelum menunaikan haji pada tahun 1964, beliau terkenal dengan pandangan yang memisahkan masyarakat kulit hitam dengan kulit putih. Namun, pengalaman di Tanah Suci Makkah telah mengubah kerangka fikirannya sehingga membuatkannya melihat bahawa manusia dari pelbagai bangsa dan warna kulit mampu hidup bersama.
Dalam suratnya yang terkenal, Letter from Mecca, beliau menulis:
“Belum pernah aku menyaksikan keramahan yang tulus dan semangat persaudaraan sejati seperti yang diamalkan oleh para jemaah yang terdiri daripada semua warna kulit dan bangsa di Tanah Suci ini. Terdapat puluhan ribu jemaah dari seluruh dunia. Mereka daripada pelbagai warna kulit; daripada yang bermata biru dan rambut perang hingga ke Afrika yang berkulit hitam. Walaupun begitu, kami semua melakukan ritual yang sama, menunjukkan semangat perpaduan dan persaudaraan yang pengalamanku di Amerika dulu membuatku percaya semua itu tidak mungkin wujud antara masyarakat kulit putih dengan selainnya.”
Pengalaman ibadat haji yang mengangkat nilai kesamarataan, persaudaraan dan budaya menghormati telah melenyapkan faham perkauman dalam diri Malcolm X. Beliau pulang dengan keyakinan bahawa Islam adalah mampu menghapuskan rasisme kerana Islam mengajarkan bahawa semua manusia berasal dari satu sumber yang sama, iaitu Allah SWT.
Kenyataan ini selari dengan nilai Islam yang menentang rasisme secara tegas. Menariknya, sejak 1400 tahun lalu, Rasulullah SAW telah membentuk asas antirasisme melalui khutbah al-wada‘ di Arafah apabila Baginda SAW bersabda,
“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhanmu adalah satu, dan bapa kamu (Adam) adalah satu. Kamu semua berasal daripada Adam, dan Adam berasal daripada tanah. Ketahuilah bahawa yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Tiada kemuliaan bagi seorang Arab berbanding bukan Arab dan bukan Arab berbanding seorang Arab, kecuali dengan ketakwaan.”
Deklarasi ini disampaikan di tempat yang sama diziarahi berjuta-juta umat Islam yang berkumpul setiap tahun. Deklarasi ini jelas menandakan satu penolakan tegas terhadap sebarang bentuk diskriminasi kaum. Nilai ini seharusnya dihayati dan dikenang oleh para jemaah sewaktu mereka menunaikan Haji, memandangkan itulah antara mesej penting yang telah disampaikan oleh Baginda SAW sewaktu Baginda SAW menunaikan haji.
Oleh yang demikian, diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim suatu kisah apabila sahabat Nabi SAW yang dikasihi, Abu Zar RA telah mencela ibu seorang pemuda yang bukan daripada bangsa Arab. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, Baginda SAW dengan tegas bersabda, “Wahai Abu Zar, Adakah kamu mencelanya disebabkan ibunya? Sesungguhnya kamu ialah seorang yang masih mempunyai saki baki sifat Jahiliyyah. Mereka itu ialah saudara-saudara kamu.”
Kesimpulan
Nas-nas yang telah dibawakan jelas menandakan bahawa Islam begitu menekankan aspek kesatuan dalam kalangan umatnya. Kesatuan ialah keperluan fundamental bagi umat Islam, terutamanya apabila melihat kepada kepelbagaian cabaran yang semakin kompleks pada hari ini. Kesatuan umat ialah kunci penting untuk mendepani cabaran ini di samping membentuk masyarakat dan negara yang lebih mampan dan sejahtera.
Umat Islam pada hari ini seharusnya mengambil iktibar daripada objektif penting ibadat haji. Sebarang gejala perpecahan perlu ditangani dengan baik agar tidak merosakkan kesatuan dan perpaduan umat. Sebagai contoh, dalam dunia media sosial hari ini, perbezaan pandangan adakalanya tidak diuruskan dengan berhikmah sehingga membawa kepada pergaduhan dan perdebatan tidak bermanfaat.
Malahan, kadang-kala perbezaan kecil boleh membuatkan terputusnya hubungan persahabatan. Hal ini ditegah oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, “Tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudaranya lebih dari tiga hari”. Oleh itu, hal ini perlu disikapi dengan baik dan beradab agar perbezaan itu tidak merosakkan persaudaraan Islam.

