ILMU pengetahuan mempunyai kuasa yang luar biasa. Jika menguasainya, seseorang itu akan menduduki satu taraf yang sangat mulia. Jika gagal, maka hinalah pula kedudukannya.
Umar pernah berkata, “Wahai manusia, kamu wajib menuntut ilmu. Sesungguhnya Allah memiliki selendang kemuliaan. Barang siapa mencari satu bab ilmu saja, nescaya Allah akan membalutnya dengan selendang kebesaran-Nya.”
Kekuatan ilmu pengetahuan untuk membangunkan jati diri manusia memang diakui. Malah tiada sesiapa yang berani menafikan kuasa ilmu. Jika ada, maka orang itu tidak layak dipanggil manusia. Itulah yang ditegaskan oleh Imam Al-Ghazali dalam merakamkan pandangan Ibnul Mubarak berkaitan ilmu.
Mungkin menyedari kekuatan ilmu, ia kini mempunyai tugas yang lebih mencabar dan dijadikan asas kepada pembangunan ekonomi. Dengan itu, di Malaysia timbullah konsep K-ekonomi.
Menurut Pertubuhan bagi Pembangunan dan Kerjasama Ekonomii (OECD), K-ekonomi adalah satu ekonomi yang berasaskan kepada pengeluaran, pengagihan serta penggunaan pengetahuan dan maklumat.
Di Malaysia pula, penekanan diberikan kepada penggunaan pengetahuan dan maklumat untuk membolehkan individu, organisasi dan negara bersaing dengan lebih berkesan.
Berdasarkan definisi di atas, asas utama kepada K-ekonomi ialah ilmu pengetahuan. Ini berbeza dengan bentuk ekonomi tradisional yang mementingkan pengeluaran sebagai sumber utama ekonomi. Contohnya, dalam bidang pertanian, kekayaan diukur berdasarkan pemilikan tanah dan pengeluaran hasil pertanian. Semakin banyak pemilikan tanah dan pengeluaran hasil tanaman, lebih kaya seseorang.
Namun begitu, K-ekonomi maju setapak lagi apabila kekayaan individu itu bukan saja dikira dengan melihat pemilikan tanah yang banyak dan hasil pengeluaran tinggi, malah termasuk kejayaan memperoleh dan menggunakan pengetahuan berkaitan bidang pertanian. Misalnya, pengetahuan perlulah digunakan sebagai satu input untuk meningkatkan aktiviti pertanian melalui penggunaan bahan pertanian yang lebih baik, kaedah penanaman terkini dan kaedah pemasaran lebih berkesan.
Pengenalan K-ekonomi ini diharap mampu menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya saing, terutama dalam globalisasi. Usaha untuk merealisasikan K-ekonomi ditunjukkan dalam Pelan Strategik Kebangsaan yang siap pada September 2000. Sasaran utama pelan ini ialah mencapai K-ekonomi sepenuhnya menjelang 2020. Tahap pertengahannya pula akan berlaku sekitar 2010, apabila Malaysia mematuhi sepenuhnya syarat dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Pada masa ini, Malaysia memasuki fasa pertama era K-ekonomi.
Ada beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan sebagai bukti merealisasikan K-ekonomi. Di antaranya penekanan kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT); penubuhan sekolah bestari; menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D); penekanan kepada pendidikan teknikal; menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi melalui skim latihan pekerja; penerokaan angkasa lepas; bioteknologi; pembangunan perisian komputer; pembangunan reka bentuk bahan; teknologi penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.
Sebagai satu fasa baru pembangunan ekonomi di Malaysia, pelbagai usaha dilakukan untuk mencapai K-ekonomi. Bagaimanapun, usaha ini mungkin sia-sia jika tidak mendapat sokongan padu rakyat.
Malah, perubahan sikap masyarakat adalah cabaran utama dalam merealisasikan K-ekonomi. Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah berkata: “Jika kita berjaya membuat perubahan sikap ini, K-ekonomi akan membuka peluang perniagaan baru seperti e-perniagaan dan bertindak sebagai pemangkin ke arah pembangunan ekonomi.”
Kata-kata Perdana Menteri itu menyedarkan kita bahawa rasa cintakan ilmu di kalangan masyarakat Malaysia masih rendah. Sikap ingin mengetahui dan meneroka ilmu, inovatif dan kreatif bukanlah budaya yang dipegang dalam masyarakat kita. Walaupun rata-rata dari kita beragama Islam, namun ajaran murni dalam agama ini, iaitu mencintai ilmu, tidak dijadikan satu budaya yang benar-benar meresapi diri kita. Nabi Muhammad pernah bersabda, maksudnya :”Tuntutlah ilmu sehingga ke negara China…” Ini membuktikan pencarian ilmu itu tiada batasan masa atau sempadan negara. Namun apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang amat berbeza sekali.
Jika budaya meneroka dan mencintai ilmu ini tidak dapat diresapi dalam masyarakat Malaysia, cita-cita untuk mencapai K-ekonomi akan menjadi angan-angan semata-mata. Inilah sebab dikatakan perubahan sikap masyarakat adalah faktor paling kritikal dalam usaha merealisasikan K-ekonomi.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia amat positif dengan usaha merealisasikan K-ekonomi. Kerajaan beranggapan bahawa jika Malaysia boleh mengubah ekonominya daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian, maka usaha untuk mencapai K-ekonomi ini bukanlah sesuatu yang mustahil.
Sikap optimistik begini harus dipuji. Memang benar budaya mencari ilmu di kalangan rakyat Malaysia masih rendah, tetapi perubahan ke arah itu sudah pun dapat dilihat. Ini dibuktikan dengan lahirnya saintis Malaysia yang dikenali bukan saja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Dari segi celik teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pula, walaupun masih rendah, namun pelbagai usaha giat dilakukan untuk mencapai tahap celik ICT yang memberangsangkan.
Seperti yang dijelaskan tadi, pengetahuan menjadi asas penting kepada K-ekonomi. Semua orang dalam negara ini digalakkan untuk mencari ilmu seterusnya menjadi seorang yang kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu yang baru. Bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang mengutarakan kebimbangan, terutama dari segi ilmu apakah yang baik atau tidak baik untuk pembangunan sesebuah negara?
Melalui internet, seseorang itu boleh mencapai ilmu dengan cepat dan banyak hanya dengan sekali ‘klik’. Pada masa sama, kita boleh berkongsi dan menyebarkan ilmu dengan sesiapa saja tidak kira di mana berada. Keadaan ini, kadang-kala menimbulkan masalah penerimaan dan penyebaran ilmu yang salah dan tidak bertepatan. Ilmu itu mungkin salah fakta, satu pembohongan, mempunyai niat kurang baik terhadap sesebuah negara atau individu, fitnah dan sebagainya. Jika seseorang yang menerima ilmu itu gagal mengenal pasti perkara ini dan menganggapnya benar, maka akan timbullah masalah lain.
Tidak lama dulu, beberapa orang ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyebarkan berita palsu. Berita itu ada kaitannya dengan keselamatan negara.
Inilah yang dikatakan sebagai penyebaran ilmu yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan nama negara. Bukan itu saja, ia mampu mengurangkan keyakinan pelabur dan pelancong asing ke negara ini. Jika perkara ini berlanjutan, ekonomi negara akan menghadapi kesan negatif.
Confucius pernah berkata “Shall I teach you what knowledge is? When you know a thing, to hold that you know it; and when you do not know a thing, to allow that you do not know it. This is knowledge.” Ungkapan ini membawa maksud bahawa ilmu adalah kebenaran.
Ahmad Muhammad Said dalam tulisannya menegaskan “ilmu itu bukan saja memiliki kebenaran, malah keyakinan serta kesedaran akan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan tertinggi sekali kepada Tuhan Maha Pencipta. Ilmu yang bermakna bukan saja mendatangkan erti kepada pemilik, malah mencetuskan komitmen untuk memperjuang dan menegakkan kebenaran, keadilan, kemuliaan dan keluhuran…”
Apa yang hendak ditegaskan di sini adalah ilmu dan kebenaran tidak dapat dipisahkan. Atas alasan ini, penyebar ilmu haruslah beretika dalam usahanya berkongsi ilmu. Ilmu yang disebarkan itu harus tepat dan benar bagi mengelak salah faham, yang akhirnya boleh merugikan diri sendiri.
Pada masa sama, orang yang menerima ilmu perlu sentiasa peka akan kebenaran ilmu itu. Penelitian berkali-kali amat penting bagi memastikan ketepatan dan kebenaran ilmu yang diterima.
Bagaimanapun, ditegaskan sekali lagi akan adab mencari dan menyebarkan ilmu juga penting. Ilmu yang ada perlu disebarkan. Nabi selalu menganjurkan sahabatnya untuk menyampaikan apa yang mereka dengar supaya dimanfaatkan oleh generasi muda. Al-Quran pula menegaskan bahawa: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang sudah Kami turunkan berupa keterangan (yang jelas dan petunjuk), selepas Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknatinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 159)
Bukan itu saja, orang yang sedang mencari ilmu juga perlu peka. Janganlah terlalu cepat menerima sesuatu ilmu itu sebagai benar jika sumbernya diragui. Periksalah dulu dan buatlah perbandingan agar kesahihan ilmu dapat dipastikan. Jika kedua-dua pihak, penyebar dan penerima ilmu, dapat menerima adab penerokaan ilmu ini, diharapkan masalah ilmu songsang, salah dan tidak benar dapat dielakkan.
Kenyataan di atas membuktikan betapa kuatnya kuasa ilmu sehinggakan pembangunan sesebuah negara boleh dianggap pincang jika kurangnya ilmu. Ilmu itu wajib dicari dan diterokai. Pada masa sama ilmu yang diperoleh boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Inilah asas penting kepada K-ekonomi. Amat bertepatan jika dikatakan bahawa kekuatan ilmu penting dalam membangunkan negara dan masyarakatnya serta boleh membawa negara berdaya saing di peringkat antarabangsa.