Sangat ketara dalam tradisi keilmuan Islam bahawa karya bersifat syarah adalah satu bahagian penting daripada hasil kepengarangan para ilmuwan Islam.
Jumlah karya tersebut juga sangat besar.
Malangnya, karya-karya sedemikian kini dipandang serong dan acap kali dianggap sebagai manifestasi kejumudan dan ketumpulan daya fikir Umat Islam.
Malah, syarah disinonimkan dengan antitesis kreativiti.
Meskipun pandangan dan sikap negatif ini sebahagiannya berpunca daripada serangan segolongan orientalis generasi awal seperti William Montgomery Watt dan Majid Fakhry, sebahagiannya pula akibat daripada penyakit kerdil diri dan sindrom inferiority complex yang melanda jiwa sekumpulan Umat Islam, termasuk para cendekiawan dalam kalangan mereka, sehinggakan mereka gagal melihat dan memanfaatkan kekuatan dan kekayaan sedia ada dalam tradisi dan tamadun mereka.
Ekoran daripada pandangan dan anggapan buruk tersebut, amat jarang sekali kewajaran kewujudan karya sebegini difahami dan seterusnya dihargai dalam kerangka falsafah ilmu yang mendasari tradisi keilmuan Islam.
Kerangka tersebutlah yang sebenarnya membentuk tradisi kepengarangan Islami yang merangkum sebab-tujuan sesuatu karya dihasilkan, termasuklah karya berbentuk syarah.
Justeru, terhasil suatu kesepakatan menyeluruh (dengan sedikit perbezaan pada urutan) yang merentas masa dan tempat berkaitan tujuan-tujuan utama penghasilan sesuatu karya ilmiah sejati, sebagaimana yang terbukti dalam tulisan-tulisan beberapa ilmuwan Islam terkenal, iaitu: Al-Taqrib oleh ibn Ḥazm (wafat 406H/1015M) di Andalusia; Al-Muqaddimah oleh ibn Khaldun (wafat 808H/1406M) di Afrika Utara, khasnya Mesir; Kashf al-Zunun oleh Hajji Khalifah (atau Katib Celebi) di daerah Turki Uthmaniyyah (wafat 1067H/1657M), dan Abjad al-‘Ulum oleh Siddiq bin Hasan Khan al-Qinnawji (wafat 1889M) di benua India.
Menurut mereka, tujuan menulis sesuatu karya ilmiah secara yang bertanggungjawab pada amnya hanya demi mencapai tujuh perkara:
1) mengutarakan sesuatu yang asli;
2) menyelesaikan atau melengkapkan sesuatu yang belum lengkap;
3) memperbaiki sesuatu yang dilihatnya salah;
4) menjelaskan dan menghuraikan sesuatu yang rumit dan sukar;
5) meringkaskan karya seseorang yang terlalu panjang tanpa meninggalkan perkara-perkara yang penting;
6) mengumpulkan pelbagai masalah dan perbincangan yang berselerakan dalam bidang ilmu tertentu; dan
7) menyusun dan mengemaskinikan perbahasan dalam sesuatu bidang ilmu atau karya yang tidak teratur.
Sekiranya dilihat pada senarai di atas, karya-karya yang digolongkan secara amnya sebagai karya syarah dapat sahaja melaksanakan mana-mana fungsi yang tersenarai daripada (2) hingga (7) itu.
Ini, walau bagaimanapun, tidak pula bermakna bahawa dalam karya-karya syarah tiada langsung didapati apa-apa yang baharu dan bermutu.
Malah, sesiapa sahaja yang pernah menekuni karya-karya syarah sebenar pasti tahu bahawa dalam karya-karya sedemikian terkandung buah-buah fikiran asli lagi bernas yang sangat lumayan.
Lihat, misalnya, Sharh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Imam Sa‘d al-Din al-Taftazani, atau A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri, setebal lebih kurang 500 halaman, oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (Kuala Lumpur: Ministry of Culture Malaysia, 1986).
Malah, penghasilan karya-karya syarah sebegitu mempamerkan bukan sahaja kejujuran ilmiah si pensyarah dan penghormatannya terhadap ketokohan dan sumbangan seseorang ilmuwan terdahulu atau sezaman tetapi juga penguasaan ilmiah si pensyarah bernisbahkan karya yang disyarah dan bidang-bidang ilmu yang berkaitan.
Sangat jelas bahawa pendekatan secara linear sangat mencirikan karya-karya syarah dalam Tamadun Islam.
Pendekatan menjelaskan kata demi kata, frasa demi frasa, ayat demi ayat, baris demi baris, dan seterusnya perenggan demi perenggan, sememangnya sangat membantu para ilmuwan dan penuntut ilmu yang serius bertakhassus dalam jurusan-jurusan ilmu tertentu.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa dalam beberapa dekad kebelakangan ini, syarah dalam bentuk tematik atau mawdu‘i kelihatan lebih sesuai untuk para pembaca zaman sekarang, khasnya yang baru memulakan pendakian ilmiah.
Dalam konteks kesarjanaan semasa di Alam Melayu, kedua-dua genre syarah ini sememangnya kelihatan meskipun kecenderungan lebih berpihak kepada pendekatan secara tematik.
Sangat jelas bahawa pendekatan secara linear masih perlu dipertahankan, khususnya untuk para ilmuwan dan penuntut ilmu yang serius mendalami kitab-kitab teras yang menjadi paksi rujukan dan pedoman dalam sesuatu bidang ilmu.
Begitu juga syarah dalam bentuk tematik yang kelihatan lebih mudah diikuti oleh para murid yang baru berkenalan dengan pengkhususan ilmu tertentu, juga oleh para pembaca awam.
Yang barangkali boleh ditambah baik, serta semakin diperkemas dan diperkaya, adalah gaya dan tata cara persembahan syarah termasuk yang memanfaatkan kaedah-kaedah ilustrasi yang munasabah seperti gambar rajah, jadual, infografik, dan yang seumpamanya.
Biar apa pun pendekatan yang dipilih, suatu yang perlu sentiasa diingati adalah bahawa usaha menghasilkan karya-karya syarah ini terbit daripada pengiktirafan seikhlas dan sejujurnya terhadap hakikat bahawa ilmu dan kefahaman hakiki sesungguhnya anugerah Allah kepada para ilmuwan sejati yang justeru menjadi sumber asli rujukan dan pedoman yang mampu menerbitkan pula aliran-aliran buah fikiran segar melalui usaha syarah yang menepati tujuh tujuan utama yang telah digariskan di atas tadi.