Islam telah menyeru ummahnya untuk menegakkan keadilan dalam apa saja urusan tidak terkecuali dalam urusan muamalah. Meletakkan sesuatu pada tempatnya amat penting walaupun dalam hal-hal tertentu dengan mengambil kira hubungan pasaran atau lebih tepat lagi perantaraan permintaan dan penawaran yang juga memainkan peranan. Menyedari hakikat saranan ini, tekanan pasaran sepatutnya tidak boleh membenarkan berlakunya penindasan dari segi harga atau usaha mengaut keuntungan yang melampau. Kunci kepada penegasan ke atas keadilan juga dapat dicerap dari pengharaman riba iaitu mengenakan lebihan kepada satu pihak lain dalam urusniaga.
Hadith tidak terkecuali menegaskan tentang imbuhan harga atau imbangan pertukaran yang setimpal dalam faham pertukaran jualbeli. Pendekatan yang sama juga digunakan oleh Khalifah Umar ibn Khattab dalam menetapkan kadar diyat (pampasan) yang baru apabila nilai dirham jatuh akibat daripada kenaikan harga barang. Perkara yang sama boleh didapati juga dalam satu surat kerajaan khalifah keempat Saidina Ali ibn Abi Talib.
Persoalan imbangan penukaran yang adil ini juga menjadi asas kepada pertukaran barangan yang rosak atau terdapat kecacatan. Sekiranya berlaku kerosakan barangan pertukaran, harga asal bagi barangan tersebut tidak boleh dijadikan lagi asas pertukaran kerana sudah menjadi tidak adil.
Tindakan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN-HEP) menggenapkan kepada lima sen terdekat bagi harga barangan baru-baru ini satu tindakan yang wajar. Namun, pengguna atau pembeli yang harus berwaspada kepada helah peniaga dan peruncit. Bukan bermakna mereka penipu, tetapi sekurang-kurangnya pembeli berwaspada kepada harga kepada pertukaran keperluan atau kehendak pembeli yang berkemungkinan diperdaya dengan helah mengaut keuntungan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak wajar ke atas sesuatu barangan dagangan asas (komoditi) seperti kenaikan harga beras yang bakal mencetus krisis alami (global) akibat dari kurangnya bekalan. Thailand dilaporkan menganggarkan kenaikan harga beras sebanyak 25% pada tahun ini. Manakala mi dan barang berkaitan juga dilaporkan meningkat sekitar 20 sen hingga 70 sen bagi setiap sekilogram. Dari masa ke semasa, harga barangan naik mengikut musim-musim tertentu. Dari musim harga gula naik hinggalah kepada harga ayam dan kini harga tepung. Adakah benar kekurangan bekalan menjadi punca utama atau ada sebab-sebab lain yang perlu diberikan tumpuan?. Bagaimana dan apa usaha yang boleh dilakukan untuk mengelak dari kenaikan ini memberi penindasan dan tekanan kepada pihak-pihak tertentu. Menjawab persoalan ini adalah tanggungjawab kita semua. Tanggungjawab memahami ruh Islam itu sendiri menjadi keutamaan.
Ramai yang berfikiran bahawa perkara ini remeh. Namun, dalam sedar atau tidak, tidak pernah lagi berlaku kekecohan harga barangan turun akibat lambakan pasaran berlaku ke atas sesuatu barang. Adakah kita hanya kaitkan tekanan pasaran sekiranya harga sesuatu barang naik manakala tidak ada perubahan harga dalam pasaran sekiranya terdapat kelebihan penawaran ke atas permintaan.
Apa yang berlaku apabila berlaku kenaikan harga, keseluruhan harga tambahan itu dipindahkan kepada pengguna. Pemborong, pengedar dan peruncit akan memindahkan kepada pengguna, manakala kadarnya pula bergantung kepada jenis barangan atau perkhidmatan. Kebiasaannya, bagi barang-barang keperluan, semua beban kenaikan diletakkan di atas bahu pengguna atau pembeli akhir. Akibatnya, pembeli akhir yang menggunakan barangan tersebut sebagai salah satu bahan bagi barangan usaha dagang mereka juga akan mengalirkan beban tersebut kepada pembeli barangan siap pakai di penghujung rantaian kenaikan harga. Keseluruhan pusingan keadaan ini telah memberi peluang kepada peniaga dengan alasan harga barangan mentah naik mengenakan harga yang lebih tinggi. Kadar inflasi dan nilai kuasa beli pengguna akan menghadapi masalah. Inilah juga masalah dalam kebanyakan negara lain, berlaku dan terus berlaku.
Sekiranya kita tinjau kepada kaedah pemikiran ekonomi cendikiawan Islam lampau, kita akan amati persoalan agihan pemilikan harta dan kesaksamaan harga telah diberikan perhatian dalam urusan seharian negara pada masa lampau sehingga pemikiran mereka juga terkenal di Negara-negara barat. Pada prinsipnya pemikir-pemikir ekonomi Islam bersetuju untuk tidak meletakkan satu asas keputusan bagi penentuan harga dan memadai berpandangan bahawa pasaran yang akan menentukan harga barangan kerana Rasulullah tidak memberi apa-apa bantahan atau pengiaan ketika diajukan tentang persoalan penetapan harga. Mereka juga tidak menolak kepada kepentingan berpegang kepada syura, kerjasama, adil dan telus. Dalam mengulas hal ini, unsur riba diletakkan sebagai asas utama mengelak berlakunya penindasan (Kahf, Taleghani, Sadr dan Naqvi). Amalan riba telah mengakibatkan berlakunya imbuhan tidak wajar sejak dari awal permulaan sesuatu usaha pengeluaran, agihan dan perkongsian. Bermula dari perkongsian untuk menghasilkan sesuatu, imbuhan yang berlebihan dalam usaha tersebut menaikkan harga barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan. Secara tidak langsung, ranting barangan atau perkhidmatan tersebut makin bercambah dan bercabang sehingga barangan akhir menemui pengguna akhir. Sekiranya berlaku amalan riba di peringkat awalannya sudah menjejaskan rangkaian keseluruhannya, bagaimana sekiranya amalan riba berlaku di setiap cabang-cabang perusahaan dan pertukaran.
Amalan perbankan perlu diperhalusi supaya berdiri di atas falsafah sebenar ekonomi Islam dan tidak membiarkan pasaran menentukan keseluruhannya. Permintaan kepada modal dan penawaran jenis perkhidmatan dalam pasaran modal meletakan keuntungan sebagai matlamat utama. Sekiranya terdapat sebarang pertikaian di antara aqad asal dengan apa yang ingin ditawarkan, usaha pengubahsuaian akan dibuat supaya membolehkannya. Kalau kita perhalusi aqad-aqad yang ada antaranya dipanggil qard al-hasan, bai’ inah dan murabahah atau bai’ bithamanil ajil di dalam pasaran perbankan tiada beza seperti pinjaman konvensional biasa. Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermakna, aqad ini batal tetapi, kita perlu perhalusi apakah helah di sebalik aqad ini supaya pengguna tidak terdedah kepada risiko ketidakpatuhan syariah.
Terdapat bank berdagangan Islami menawarkan skim pinjaman qard al-hasan berdasarkan kepada jualbeli matawang asing. Qard al-hasan (pinjaman tanpa bunga) yang diberi kepada peminjam sebanyak RM150,000.00 sebagai contoh, perlu membeli dari bank matawang Saudi Rupiah 100,000.00. Bank akan membeli matawang Saudi Rupiah itu kemudiannya dengan harga RM100,000.00 dan membayar dengan harga RM100,000.00 kepada peminjam. Peminjam kemudiannya perlu membayar balik kepada bank kadar pinjaman asal yang diberikan oleh bank iaitu RM150,000.00 secara bertangguh yang dipanggil qard al-hasan. Perkara begini juga dengan diberikan nama lain berlaku dalam sesetengah aqad pinjaman peribadi dan diamalkan di sesetengah bank lain. Dengan mengambil fahaman hadith Rasulullah swt tentang riba, dan membuat sedikit penyelarasan kepada keadaan perkhidmatan, bank berjaya memberi pinjaman yang pada luarnya sah di sisi syarak dan dipanggil qard al-hasan tetapi telah mengenakan kadar lebihan yang sudah semestinya menekan peminjam yang mendapat wang tunai RM100,000.00 tetapi perlu membayar RM150,000.00 bagi tempoh tertentu.
Menetapkan kadar harga kepada barangan atau perkhidmatan amat penting dan lebih penting dari menamakan barangan atau perkhidmatan itu sendiri atau menentukan jenis-jenisnya kerana ia boleh melibatkan isu-isu mencabar keadilan. Seterusnya, kesan cariknya keadilan agihan dan imbuhan akan membawa kepada tergugatnya keadilan kemasyarakatan. Sekiranya falsafah keadilan dikesampingkan oleh ummah sendiri, bagaimana Islam di mana-mana negara sekalipun dapat teguh berdiri. Menghapuskan ketidakseimbangan dalam muamalah tidak terhenti kepada merekabentuk barangan dan perkhidmatan tetapi lebih menyeluruh sifatnya terutamanya memperhalusi falsafah dan faham keadilan.