Umat terbaik, demikian jolokan mulia diberikan al-Qur’an kepada umat Islam. Allah S.W.T. berfirman, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) manusia (kerana) kamu menyuruh melakukan segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali `Imran 3 : 110) Kemuliaan yang diberikan kepada umat Islam itu bersyarat, iaitu selagi mereka memelihara keimanan, menyeru kepada kebaikan, dan melarang kejahatan dilakukan. Tindakan menyokong dan menyeru kebaikan dan sebaliknya menghalang serta memerangi kejahatan ini ditekankan dalam ayat lain sebagai salah satu tanggungjawab utama yang dipastikan oleh umat Islam apabila memperoleh kekuasaan (Surah al-Hajj 22 : 41).
Al-Qur’an seterusnya memberikan satu lagi gelaran mulia kepada umat Nabi Muhammad S.A.W., iaitu sebagai umat pilihan lagi adil atau umat yang pertengahan. Pertengahan atau sederhana ini adalah dari segi pembawaan, akhlak, dan amalan. Segala urusan yang meliputi perkara duniawi dan ukhrawi dipelajari serta diusahakan. Kedudukan penting umat Islam ini adalah seumpama seseorang yang berada di tengah-tengah. Apa yang berlaku di sekelilingnya benar-benar diberikan perhatian mendalam. Justeru, pertimbangan serta pengetahuannya tentang baik atau buruk sesuatu perkara adalah adil, benar, dan sah.
Tidak dinafikan kedudukan istimewa yang dikurniakan kepada umat Islam ini membuat mereka sentiasa teruji. Ujian bagi menentukan ketabahan untuk membuktikan keimanan dan melayakkan mereka diiktiraf sebagai umat bertaqwa, terbaik lagi adil. Justeru kita dapat melihat bagaimana umat Islam di seluruh dunia ditimpa pelbagai bentuk kezaliman dan penindasan, sama ada mereka merupakan golongan minoriti mahupun majoriti. Sebagai masyarakat minoriti, umat Islam berkemungkinan menghadapi penindasan oleh pemerintahan bukan Islam. Demikian juga sebagai masyarakat majoriti, mereka barangkali pula menghadapi penindasan atau kezaliman oleh pemerintah Islam yang bersifat diktator. Sebagaimana kita umumnya mengetahui, umat Islam yang merupakan masyarakat minoriti di negara-negara seperti China, Myanmar, Thailand, dan Sri Lanka menghadapi kezaliman dan penindasan tidak berperikemanusiaan oleh pemimpin bukan Islam.
Masyarakat Uighur di China misalnya menghadapi pelbagai bentuk tekanan dan penindasan untuk melaksanakan ibadah, khususnya pada bulan Ramadan. Penganut Islam di Xinjiang, barat laut China itu pernah dilarang daripada menunaikan ibadah tersebut selepas kerajaan memaksa mereka menandatangani dokumen yang melarang mereka berbuat demikian. Selain itu, pelbagai usaha diambil bagi memastikan penduduk Islam itu tidak berpuasa. Antaranya termasuklah penyediaan hidangan tengah hari dan keengganan mereka untuk makan boleh mengakibatkan mereka kehilangan pekerjaan atau bonus tahunan. Malah pegawai-pegawai kerajaan memasuki rumah penduduk Uighur dan memberikan makanan serta minuman pada waktu siang, sedangkan mereka berpuasa. Begitulah seterusnya dengan masyarakat Islam yang lain. Etnik Rohingya di Myanmar berhadapan ancaman perkosaan dan pembunuhan serta kempen pembersihan etnik; umat Islam di selatan Thailand saban hari diancam nyawa dan keselamatan diri serta harta; dan umat Islam di Sri Lanka serta beberapa buah negara lain di dunia lagi yang menghadapi bentuk ancaman dan kezaliman yang hampir serupa.
Telah banyak dibahaskan punca bagi segala kemelut dan penderitaan yang membelenggu umat Islam di serata pelosok dunia ini. Antaranya termasuklah ketidaksatuan umat Islam yang begitu meruncing selain segala bentuk kelemahan dan kecuaian mereka dalam melaksanakan ajaran agama. Sebaliknya pula musuh-musuh mereka menggandakan kekuatan dan saling meneguhkan antara satu dengan yang lain selain membudayakan akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Perkara ini misalnya diberikan amaran oleh al-Qur’an, “Dan orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfal 8 : 73)
Sebagaimana yang telah dinyatakan, bagi penduduk Islam yang merupakan golongan majoriti, mereka barangkali diuji dengan pemimpin diktator. Dalam menghadapi situasi ini, harus dipastikan bahawa kezaliman yang ditimpakan atas mereka tidak dibalas dengan kezaliman; sama ada setara mahupun lebih besar. Hal ini disebabkan jika ketidakadilan dibalas dengan ketidakadilan, maka ketidakadilanlah yang akan wujud atau berleluasa. Harus diingat bahawa pertimbangan agama dan akhlak umat Islam menjadikan mereka berbeza daripada bangsa-bangsa lain. Tindakan yang diambil tidak sekali-kali berasaskan kegopohan dan gejolak kemarahan, kebencian, dan dendam yang menebal. Nabi S.A.W. mengingatkan dalam Hadith Baginda bahawa sifat bertenang adalah daripada Allah sementara sifat tergopoh-gapah pula daripada syaitan.
Pelbagai kisah dirakamkan dalam sirah Nabi S.A.W. dan sejarah hidup sahabat yang amat berguna untuk dijadikan panduan dalam menghadapi kezaliman dan penindasan. Apa yang ketara daripada rakaman sejarah itu ialah bagaimana ilmu, kebijaksanaan, dan akhlak luhur berperanan besar untuk memilih langkah terbaik bagi menghadapi serta menghentikan kezaliman tersebut. Demikianlah kita diajar oleh Baginda, sahabat, dan generasi hebat sebelum kita untuk menghapuskan kemudaratan menurut kadar yang diperlukan. Hal ini seumpama merawat sesuatu penyakit. Sekiranya rawatan diberikan secara melampau kerana mahu segera mengubati penyakit yang dihidapi, maka tidak mustahil akhirnya perbuatan tersebut mengundang maut.
Kekejaman, rusuhan, dan peperangan saudara di beberapa buah negara Islam akibat bantahan terhadap rejim yang zalim seharusnya diambil pengajaran. Betapa luapan kebencian dan kobaran semangat untuk bangun menentang telah turut melahirkan beberapa buah kumpulan pejuang, antaranya Sunnah Pergerakan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) di Iraq dan al-Shebab di Somalia. Dalam pertempuran yang berlaku pastinya secara sengaja atau sebaliknya, nyawa orang awam termasuk kanak-kanak turut terkorban. Begitulah harga yang perlu dibayar apabila keamanan sudah terlepas daripada genggaman. Betapa pula ramai antara kita yang sering mengambil mudah keamanan dan ketenteraman yang dinikmati kini. Ruang dan peluang untuk melakukan banyak perkara seolah-olah tidak dihargai. Seakan-akan kekerasan diterima sebagai cara terbaik bagi menamatkan kezaliman dan mengembalikan keadilan.
Kekerasan sehingga mengakibatkan kezaliman tidak mungkin dapat membanteras kezaliman yang sedia berlaku. Hal tersebut hanya bermaksud menggantikan kezaliman dengan kezaliman yang lain. Sedangkan itu bukanlah ajaran agama kita dan dilarang keras. Tidak dinafikan sememangnya masih banyak perkara yang tidak kena dan perlu dinyatakan bantahan serta dibetulkan. Namun langkah pembetulan itu haruslah menurut kaedah yang wajar. Dalam melaksanakan peranan sebagai umat terbaik, iaitu menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran dan membanteras kezaliman, al-Qur’an memberikan bimbingannya, “…mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-`Asr 103, ayat 3). Kesabaranlah yang akan mendorong kita untuk menegakkan keadilan, amalan yang dipuji oleh Allah S.W.T. Sebagaimana diungkap al-Qur’an, “… dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 8). Dengan demikianlah akhirnya pertolongan Allah S.W.T. berjaya digapai dalam percaturan hidup lewat akhir zaman yang serba menguji ini.