Keruntuhan tamadun manusia pada masa kini rata-rata di dunia Barat dan Timur adalah disebabkan oleh kegagalan sistem tersebut menyusun masyarakat mereka memenuhi tuntutan nilai kemanusiaan. Sistem-sistem terbabit yang berasas kepada rasional pemikiran manusia semata-mata gagal membina contoh pembangunan yang syumul dan sempurna. Justeru itu pada masa sekarang dunia maju turut menghadapi permasalahan ekonomi yang menunggu untuk meletus yang seterusnya menjejas kesejahteraan kehidupan rakyat.
Islam sebagai agama yang bersifat syumul dan sempurna mempunyai pendekatannya yang tersendiri dalam menyusun umat manusia bermasyarakat dan bernegara. Matlamat akhir bagi Islam ialah untuk mewujudkan sebuah tamadun manusia yang cemerlang, progresif dan sejahtera. Dalam usaha kearah matlamat yang mulia tersebut, Islam beranggapan bahawa melalui pencapaian keadilan sosial sesebuah masyarakat tersebut, negara dapat dibangun dan dimajukan sehingga kemercu kejayaan.
Keadilan sosial bermasyarakat mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana di mana sesebuah masyarakat pada dasar dan permulaannya dapat menyedia keperluan asasi hidup individu serta bermasyarakat melalui pencapaian faktor-faktor berikut:
i. Pemeliharaan penghayatan keimanan melalui pemilikan pandangan hidup Islam dan pengamalan akhlak agama dalam kesemua urusan hidup di peringkat individu dan masyarakat.
ii. Menaikkan taraf daya fikir dan kebolehan kemahiran untuk kesemua lapisan masyarakat supaya bebas dari buta huruf dan memiliki kualiti ilmu yang munasabah untuk mereka menjalankan kehidupan secara berkesan dengan keadaan perubahan masa.
iii. Memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada setiap individu dalam negara berkaitan hak menyuarakan pandangan dalam semangat yang beradat dan bebas, semoga negara ditadbir menepati prinsip dan semangat syura.
iv. Memberi jaminan kepada kesemua ahli masyarakat semoga mereka bebas untuk menentu atau berusaha secara sendirian atau bersama dengan pihak swasta dan kerajaan, untuk berkecimpung dalam kegiatan ekonomi samada di dalam dan luar negara. Justeru itu sumber harta dalam negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi untuk mencetus peluang kegiatan ekonomi untuk kesemua lapisan rakyat.
v. Negara sentiasa berusaha ke arah membina sebuah tamadun masyarakat yang mulia semoga dapat memberi keyakinan dan harapan baik kepada rakyat bahawa zuriat masa hadapan negara akan terus mengecapi suasana yang cemerlang. Bahkan mengikut Islam, kecemerlangan masyarakat adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan dari masa ke semasa khususnya dimasa hadapan.
Rata-rata mempunyai pendirian pada masa sekarang bahawa pendekatan ke arah membangunkan sesebuah negara memperakukan bahawa pembangunan ekonomi adalah penentu kepada kemampuan negara mewujudkan keadilan sosial. Oleh itu apa sahaja bentuk pendekatan yang diambil untuk membangunkan ekonomi tidak dilihat dari perspektif bahawa pencapaian keadilan sosial adalah sebagai syarat mutlak, tetapi hanya kepada pencapaian pertumbuhan ekonomi. Usaha untuk mengadakan perancangan ke arah keadilan sosial akan dijayakan selepas pertumbuhan ekonomi tercapai.
Keadilan sosial yang di anggap sebagai sesuatu yang sampingan seperti pendekatan di atas tetap dianggap penting dalam bentuk pembangunan ekonomi semasa. Contohnya, usaha untuk memberi pendidikan agama, keperluan individu membasmi buta huruf, membasmi kemiskinan, memberi kebebasan berakhbar turut sama difikir penting. Keperluan tersebut dianggap sebagai ciri-ciri kearah kestabilan negara.
Dari keyakinan pendekatan pembangunan ekonomi dan disusuli dengan penyediaan beberapa keperluan keadilan sosial, sistem ekonomi yang menyusun sesebuah negara tetap mengamalkan sistem yang berpaksikan kepentingan kepada negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Pendekatan pembangunan ekonomi semasa yang mempunyai pandangan hidup sedemikian yang diasaskan kepada semangat sistem liberal demokrasi kapitalis tidak mungkin secara syumul berjaya menghasilkan keadilan sosial setelah mencapai pertumbuhan ekonomi. Bahkan pertumbuhan ekonomi turut terjejas pada masa jangka panjang seperti di Eropah dan di Amerika Syarikat. Abad kesembilan belas, ekonomi Eropah begitu menonjol. Abad kedua puloh adalah kepunyaan Amerika Syarikat. Buat masa ini kedua ekonomi tersebut menghadapi masalah pertumbuhan ekonomi dan keperluan keadilan sosial rakyat mereka jelas turut sama terjejas. Lebih dari itu tamadun kemanusiaan mereka turut sama menghadapi krisis yang ketara sehingga masyarakat mereka hilang pedoman hidup.
Pengalaman yang dialami di Eropah dan Amerika Syarikat sepatut mengajar kita tentang pendekatan yang perlu kita anjurkan dalam menyusun negara. Di Malaysia, Wawasan negara dengan jelas dan yakin mengutarakan acuan sendiri atau corak pembangunan sepadu bersesuaian dengan nilai tempatan dalam memaju negara dalam Abad 21. Kita dengan yakin dan tegas merasai corak pembangunan Barat tidak sesuai walaupun dari segi pembangunan sektor perindustrian mereka mencatit satu rekod yang cemerlang. Di samping itu rekod yang negatif seperti keruntuhan nilai kemanusiaan dan alam persekitaran turut membebani kehidupan mereka. Akibat dari itu perkembangan sektor perindustrian mereka turut terjejas.
Kepekaan kita untuk membangun ekonomi negara mengikut acuan kita pada akhir ini telah membuahkan beberapa prinsip panduan jika disemadikan dalam dasar dan usaha di semua peringkat akan mengalih pendekatan pembangunan ekonomi negara melalui keadilan sosial. Prinsip keuntungan melalui tanggungjawab sosial dan pembangunan ekonomi melalui keadilan masyarakat dalam membangun negara adalah di antara yang memperincikan Wawasan Negara. Jika prinsip tersebut mampu diterjemah dan di laksana secara berkesan dan menyeluruh, pendekatan pembangunan ekonomi melalui keadilan sosial akan menjadi teras kepada pendekatan pembangunan negara dalam abad 21.
Kewujudan keadilan sosial kepada kesemua lapisan masyarakat sepatutnya menjadi syarat mutlak kepada pembangunan ekonomi negara yang berterusan. Kemantapan prestasi ekonomi dan kemampuannya berterusan mampan, memerlukan kepada satu pendekatan yang mendahului kepada pembinaan nilai kemanusiaan masyarakat dalam kesemua bidang. Prestasi ekonomi akan turut sama bergerak maju jika kesemua bidang yang diperlukan untuk membina sebuah tamadun yang kuat dilihat dalam perspektif yang sepadu. Justeru itu pembangunan ekonomi melalui kewujudan keadilan sosial hendaklah diterjemahkan dalam perancangan ekonomi negara.
Pembiayaan belanjawan secara seimbang dalam keadaan ekonomi mampan, pembasmian kemiskinan secara agresif dan terus ke akar umbi, penyediaan mekanisme alternatif kepada mekanisme kadar faedah yang bersifat exploitatif dalam sektor pembiayaan kewangan secara berperingkat-peringkat melalui beberapa langkah pengenalan kepada alternatif baru adalah beberapa tindakan yang memberi satu usaha yang cuba mewujudkan keadilan sosial dalam usaha membangunkan ekonomi negara. Lebih dari itu, perlaksanaan institusi zakat dalam dasar fiskal negara patutlah menjadi asas yang paling penting ke arah usaha melaksana semangat keadilan sosial dalam penyusunan pembangunan negara. Pendekatan, cara atau mekanisme serta matlamat yang hendak dicapai perlulah seraksi dengan semangat Islam secara syumul.
Pendekatan acuan tempatan ini jika berjaya bukan sahaja dapat memantapkan bidang ekonomi negara tetapi sekaligus dapat membentuk masyarakat yang berakhlak dan bertamadun, yang akan dapat meyakini masyarakat antarabangsa untuk menjadi model Islam sebagai contoh.
Revolusi kualiti yang diberi penumpuan dalam pengurusan Jepun pada awal tahun lima pulohan membuka mata masyarakat antarabangsa akan berjayanya corak pengurusan Jepun dijadi ikutan. Begitu juga jika umat Islam berjaya, masyarakat antarabangsa akan ingin mempelajari dari kita. Umat Islam pada hari ini tidak seharusnya hanya berbangga dengan kejayaan silam, tetapi mereka seharusnya menterjemahkan prinsip Islam dalam program penyusunan negara di peringkat individu dan masyarakat. Jika masyarakat antarabangsa menyanjungi kejayaan prestasi ekonomi Jepun, mereka juga akan turut serta mengkagumi Islam, jika pendekatannya dapat dijadi garis panduan dalam usaha kita membangunkan ekonomi negara secara berkesan dan cemerlang.