Setiap hari kita menerima pelbagai maklumat. Ada maklumat yang baik dan tidak terkecuali, maklumat yang tidak baik. Kebanjiran maklumat akan membentuk cara berfikir. Keadaan ini seterusnya mempengaruhi sikap dan tingkahlaku manusia. Oleh itu, peranan maklumat jangan dipandang enteng. Maklumat boleh digunakan untuk membentuk sebuah negara yang hebat atau menjatuhkan negara sehina yang mungkin.
Bagi melihat sejauh mana maklumat mudah diperoleh kini, beberapa data ditunjukkan di sini. Sebagaimana yang diketahui, maklumat boleh sampai kepada kita dengan cara yang mudah dan cepat melalui kemudahan peralatan moden atau sering kali disebut gadget. Berdasarkan Laporan Perangkaan Maklumat dan Komunikasi Malaysia 2013, peratusan isirumah yang mempunyai komputer peribadi, komputer riba, tablet dan telefon selular adalah 21 peratus, 46 peratus, 15 peratus dan 95 peratus masing-masing.
Dalam masa yang sama, laporan tersebut menunjukkan bahawa kadar penembusan telefon selular adalah 144 bagi setiap 100 populasi. Manakala jumlah pelanggan telefon selular adalah seramai 43 juta orang dengan pelanggan prabayar (82 peratus) mengatasi pelanggan pasca bayar (18 peratus). Dalam masa yang sama, nilai langganan jalur lebar bagi tahun 2013 ialah sebanyak 6373 juta. Selain itu, sebanyak 67 peratus individu menggunakan internet di Malaysia. Jumlah ini meletakkan Malaysia pada tangga kedua selepas Singapura (73 peratus).
Selain itu, data berkaitan media sosial juga amat menarik diteliti. Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, data ini boleh diakses dipelbagai agensi penyedia data seperti eMarketer, We Are Social, Nielson dan comScore. Bagi tahun 2012, Malaysia mempunyai 34 juta pelanggan khidmat mudah alih dan 18 juta pengguna internet. Pada Julai 2013, terdapat 13 juta pengguna Facebook dengan majoritinya pengguna berusia 18 hingga 24 tahun (34 peratus). Ini diikuti pula dengan pengguna berusia 23 hingga 34 (29.5%) dan 13 hingga 17 tahun (16.3 peratus). 80 peratus pengguna internet memuat turun video setiap bulan manakala 51 peratus rakyat Malaysia adalah pemilik akaun Youtube yang aktif. Akhir sekali, rakyat Malaysia yang menggunakan internet memperuntukkan 20 jam seminggu untuk berada dalam talian dan satu per tiga daripada masa tersebut diperuntukkan untuk melayari media sosial.
Data-data yang ditunjukkan ini secara langsung atau tidak langsung menunjukkan betapa pertukaran, pemindahan dan perkongsian maklumat dapat dilakukan secara mudah, cepat dan meluas. Seperti yang ditunjukkan di atas, pemilikan alatan seperti komputer dan telefon mudah alih memudahkan akses kepada pelbagai maklumat. Manakala langganan jalur lebar memungkinkan maklumat dikongsikan. Manakala penggunaan media sosial, yang sangat digemari masa kini, pastinya menjadi wadah perkongsian pelbagai maklumat sama ada melalui butang share, like, following mahupun bila pengguna meletakkan status tertentu.
Oleh sebab kebanjiran maklumat ini, maka ketelitian menilai maklumat amat kritikal ketika ini. Dengan itu, kita seharusnya berpegang kepada peringatan al-Quran tentang kepentingan menilai sesuatu maklumat yang diterima seperti mana yang disebut di dalam surah al-Hujurat (49), ayat 6, yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Dalam konteks kemerdekaan, maklumat mempunyai kepentingan tertentu. Dari satu segi, untuk benar-benar merdeka, masyarakat memerlukan maklumat yang tepat lagi baik. Sebagai contoh, tanpa pengetahuan tentang makna sebuah negara bebas merdeka, adakah mungkin pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dahulu berjuang untuk membebaskan tanah air ini daripada 503 tahun penjajahan kuasa asing bermula dengan kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, kemudiannya Tanah Melayu dijajah Belanda pada tahun 1641 dan seterusnya penjajahan Tanah Melayu oleh British yang bermula pada tahun 1824?
Dalam masa yang sama, maklumat juga amat penting dalam usaha membangunkan serta mempertahankan kemerdekaan yang telah kita kecapi ini. Tidak mungkin Malaysia dapat membangun sampai ke tahap ini dengan angan-angan kosong semata-mata. Pastinya kejayaan Malaysia ketika ini disokong oleh usaha bersandarkan maklumat yang tepat. Dalam masa yang sama, tanpa maklumat yang benar, mungkin juga kita tidak boleh benar-benar mengenali dan seterusnya mencintai “tanah tumpahnya darah ku” ini. Oleh itu, maklumat amat penting untuk memandu tindakan dan membuka minda masyarakat dalam membuat keputusan dengan lebih baik.
Walau bagaimanapun, maklumat juga boleh membawa musibah tertentu. Ini berlaku apabila menerima maklumat yang tidak tepat, salah, menyeleweng dan sebagainya. Lebih buruk lagi apabila maklumat itu disalah erti, disalah tafsir, diseleweng mahupun dimanipulasi untuk tujuan-tujuan yang tidak baik. Oleh sebab gagal menguruskan maklumat dengan bijaksana maka kita terperangkap dan terpedaya serta “terbodoh seketika” dengan kebanjiran maklumat itu. Lebih buruk lagi apabila maklumat yang salah dikongsikan bersama orang lain. Ini menimbulkan prasangka, penipuan, persekongkolan ke arah kejahatan dan akhirnya penganiayaan dan kezaliman terhadap orang lain.
Semua tindakan di atas akhirnya boleh menggugat kemerdekaan itu sendiri. Dalam konteks Malaysia ketika ini, hal ini boleh dilihat dalam satu aliran yang hampir sama setiap masa. Selalunya masalah bermula dengan perkongsian maklumat yang kurang tepat lalu menimbulkan isu tertentu. Misalnya dalam kes menghina agama, kaum mahupun individu tertentu. Apabila maklumat itu diselewengkan dan dikongsikan dengan khalayak ramai, maka timbullah perdebatan dangkal yang sering kali disulami kata-kata kesat. Hal ini boleh menimbulkan ketegangan antara satu kaum dengan kaum yang lain atau kumpulan dengan kumpulan yang lain. Maka berlakulah protes serta demonstrasi untuk menegakkan mana yang betul. Akhirnya, keamanan negara tergugat. Bolehkah sebuah negara merdeka kekal bebas jika aliran sebegini berterusan?
Dengan itu, kebijaksanaan berhadapan dengan maklumat amat perlu masa kini. Antara sikap yang penting untuk menangani keadaan ini ialah melalui penilaian dan penelitian segala maklumat yang diterima dengan bijak, memastikan kesahihannya serta bersikap tenang terhadap maklumat yang diterima. Maklumat hanyalah “alat” dan kitalah yang menentukan bagaimana alat itu digunakan. Peribahasa Melayu ada menyebut bahawa “bermain air basah, bermain api letur, bermain pisau luka.” Ini bermakna setiap tindakan akan meninggalkan kesan tertentu. Oleh itu, pastikan tindakan kita berasaskan maklumat yang benar dan sentiasalah mencari kebenaran kerana ini merupakan tuntutan seperti mana yang disebut di dalam ayat 8, surah al-Maidah (5).