Tindakan Rasmus Palidin, pemimpin politik berhaluan kanan Sweden membakar kitab suci umat Islam, al-Quran di depan Kedutaan Turkiye di Stockholm baru-baru ini jelas merupakan tindakan biadab dan provokatif terhadap hampir 2 bilion orang umat Islam seluruh dunia. Mungkin tindakan sebegitu tidak akan mampu memberikan provokasi melampau yang diharapkan daripada sekitar tidak lebih 400,000 orang umat Islam di seluruh Sweden, iaitu hanya minoriti kecil sekitar 4% daripada sejumlah 9 juta orang penduduk Sweden, namun kemarahan umat Islam di seluruh dunia sudah pasti tidak dapat dibendung lagi. Inilah kegagalan dan double-standard masyarakat Barat dalam merealisasikan yang mereka sendiri istilahkan sebagai “kebebasan bersuara” (freedom of expression) apabila melibatkan Islam dan umat Islam. Mereka faham benar bahawa tiada kebebasan suara yang mutlak (no absolute freedom of expression), dan kebebasan itu ada had dan batasnya, namun apabila terhadap umat Islam ia seolah-olah tiada had dan batasnya dan apa sahaja yang boleh menyinggung, menyakiti, menimbulkan kemarahan umat Islam dibenarkan.
Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan sekutu mereka telah menggubal undang-undang mengharamkan dan akan menghukum mereka yang menafikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai secara terancang bangsa Yahudi sekitar 6 juta orang oleh Kerajaan Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua (Holocaust Denial), kerana ia dikatakan bersifat anti-semitik dan demi menjaga hati dan perasaan orang-orang Yahudi. Pada 1 April 2022, seorang nenek warga Jerman berusia 93 tahun, Ursula Haverbeck dihantar ke penjara kerana menafikan peristiwa yang dipanggil Holocaust itu. Mahkamah Jerman memutuskan bahawa menafikan Holocaust tidak termasuk dalam “Kebebasan Bersuara” yang dibenarkan. Begitu sekali masyarakat Barat menjaga hati dan perasaan bangsa Yahudi yang sekitar 15 juta keseluruhan, sehingga undang-undang khas terpaksa digubal untuk itu, tetapi tidak menjaga hati dan perasaan bangsa lain khususnya umat Islam. Sedangkan di negara-negara itu ada peruntukan undang-undang lain yang melarang “ucapan kebencian (hate speech)” atau “anti-diskriminasi” terhadap jantina, warna kulit, bangsa dan agama orang lain, namun semuanya tidak dikuatkuasakan dan tidak terpakai untuk umat Islam. Inilah terjadi apabila umat Islam menjadi bangsa yang lemah. Lemah dalam serba serbi: ekonomi, politik, kekuatan ketenteraan, pendidikan dan sebagainya sehingga umat lain tidak lagi menghormati umat Islam dan dengan mudah mengganyang umat Islam sepertimana anjing-anjing liar mengerumuni dan mengganyang bangkai.
Negara-negara Barat telah lama menguatkuasakan undang-undang melarang diskriminasi terhadap jantina sama ada lelaki atau perempuan; diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU); diskriminasi terhadap warna kulit, bangsa, agama yang disebut sebagai “kesaksamaan peluang” (equal opportunities), tetapi dari segi pengamalan dan realitinya ia tidak sebegitu dan diskriminasi tetap berlaku walaupun undang-undang melarang telah lama wujud. Begitu jugalah “hate speech” terhadap umat Islam terus berlaku.
Tidak pernah dalam sejarah umat Islam selama lebih 1400 tahun ini, mana-mana kerajaan umat Islam membenarkan membakar kitab suci penganut agama lain seperti mana kebenaran yang diberikan oleh kerajaan Sweden kepada Rasmus Palidin. Pembakaran al-Quran tempoh hari mendapat sokongan dan dukungan kerajaan Sweden atas nama kebebasan bersuara. Islam agama perdamaian tidak pernah mengajak permusuhan dalam beragama, “kamu agama kamu, kami agama kami”. Islam juga melarang menghina tuhan atau sembahan orang bukan Islam dan yang melarangnya ialah Allah SWT sendiri, seperti mana yang disebut dalam al-Quran, Surah al-An’am ayat 108. “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula, padahal mereka tidak memiliki ilmu.”
Kebebasan bersuara yang mutlak (absolute freedom of speech) merupakan suatu perkara yang mustahil berlaku. Ada perkataan tertentu yang dilarang diucapkan sama sekali dalam situasi tertentu seperti ketika dalam kapal terbang misalnya, dilarang menjerit “bom”, atau ketika dalam panggung wayang dilarang menjerit “api” atau “terbakar” dan sebagainya kerana ia akan menimbulkan suasana panik orang ramai.
Ada sesetengah perkataan yang walaupun tidak salah menuturkannya, tetapi ia bersifat provokasi, menyerang dan menghina bangsa lain. Di Amerika Syarikat misalnya perkataan “nigger” (kulit hitam) merupakan suatu provokasi kepada bangsa tersebut dan jika dilaungkan dalam perkampungan masyarakat itu, nescaya padahlah kepada penuturnya. Masyarakat Barat kadangkala lupa bahawa sementara mereka boleh berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara, namun kebebasan itu belum tentu dapat menyelamatkan mereka akibat daripada menuturkan perkataan itu. Ini yang dikatakan “freedom of speech protects your right to say words, but it does not however protect you from the consequences of those words”. Setiap tindakan, akan ada tindakan balas, dan umat Islam pasti tidak akan berdiam diri, namun dikhuatiri segelintir mereka yang ekstrem akan mengambil kesempatan dan membuat tindak balas melampau yang majoriti umat Islam sendiri pasti tidak merestuinya.