APAKAH perkara yang boleh dibayangkan apabila perkataan ‘kotor’ disebut di hadapan anda? Pasti anda membayangkan sesuatu yang jijik, memualkan, berbau busuk, penyakit, kejatuhan imej dan banyak perkara buruk lain.
Tidak ada sesiapa antara kita yang mahu digelar pengotor. Malah, jika gelaran ini dilemparkan, kita pasti marah dan geram. Namun, kenapa sikap suka mengotorkan ini masih menjadi amalan masyarakat sehingga mengundang masalah lain pula?
Tabiat pengotor ini kerap kali ditegur. Awal tahun ini, sikap pengotor rakyat Kelantan ditegur oleh Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tidak lama kemudian, Pulau Pinang pula dikritik kerana kebersihan Pulau Mutiara itu berada pada tahap menyedihkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerap menegur sikap rakyat yang mengabaikan kebersihan. Beberapa tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri turut menegur sikap penduduk kota yang membuang sampah merata-rata tempat.
Lebih menyakitkan hati, tidak lama dulu sebuah akhbar tempatan melaporkan pandangan diplomat asing terhadap tabiat buruk rakyat Malaysia.
Antaranya sikap rakyat Malaysia yang tidak menghargai kebersihan. Ini belum lagi dikira pendedahan media tempatan setiap hari mengenai tabiat pengotor rakyat Malaysia.
Semua kisah yang dipaparkan di atas membuatkan kita berasa malu. Apalah gunanya usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju jika nilai rakyat terhadap kebersihan masih terlalu rendah.
Oleh itu, sikap pengotor ini perlulah diubah. Nilai tinggi terhadap kebersihan perlu disematkan dalam diri setiap warga Malaysia.
Kita perlu diyakinkan bahawa kebersihan adalah antara faktor penentu kejayaan diri dan negara. Kebersihan adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Islam sendiri adalah agama yang bersih.
Oleh itu, pastinya penganut agama Allah ini dituntut untuk menjaga kebersihan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.” (Riwayat Al-Bazzar). Hadis ini membuktikan bahawa kebersihan boleh menjadi faktor penentu untuk mendapat perhatian dan kasih sayang Allah. Allah tidak menyukai kekotoran. Justeru, kita tidak boleh bersifat pengotor.
Kebersihan juga faktor pelengkap keimanan seseorang Muslim. Sabda Rasulullah bermaksud: “Kebersihan itu adalah separuh daripada iman.” (Riwayat Muslim). Hal ini bermakna, seseorang yang bersembahyang, berpuasa, mengerjakan haji, membaca al-Quran, berzakat dan sebagainya masih belum dikatakan lengkap keimanannya jika masih mengamalkan tabiat pengotor.
Dua hadis di atas jelas menunjukkan betapa tingginya nilai kebersihan dalam Islam. Pengabaian sikap ini sebenarnya akan membawa banyak musibah atau masalah kepada manusia keseluruhannya.
Negara kita ketika ini dikejutkan dengan ancaman demam kepialu. Peningkatan kes demam kepialu adalah petunjuk bahawa amalan kebersihan tidak diambil peduli oleh sesetengah masyarakat.
Bukan saja demam kepialu, pelbagai jenis penyakit lain boleh menyerang jika tidak mengamalkan kebersihan. Penyakit berkaitan termasuk demam denggi, cirit-birit, keracunan makanan dan penyakit kulit.
Banjir kilat yang sering melanda negara boleh dikaitkan dengan sikap pengotor masyarakat. Selain sistem perparitan yang tidak sempurna, masalah pembuangan sampah dalam sungai dan longkang turut menyumbang kepada masalah banjir kilat. Sampah itu melambatkan dan menyekat aliran air. Maka, apabila hujan lebat, limpahan air atau banjir kilat berlaku.
Selain penyakit dan banjir kilat, sikap pengotor boleh menjejaskan imej negara. Kita akan dicap sebagai negara kotor. Hal ini akan membawa kesan negatif, terutama kepada industri pelancongan negara.
Tidak lama dulu, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi melaporkan bahawa beberapa kumpulan pelancong Itali membatalkan penerbangan ke Malaysia kerana mendapat laporan bahawa tandas di sini kotor dan berbau busuk. Jika hal ini dibiarkan berterusan, tentunya akan mengugat ekonomi negara.
Itu beberapa contoh di mana budaya pengotor boleh membawa masalah kepada kita semua. Sebenarnya banyak lagi perkara tidak baik boleh berlaku jika kita mengabaikan kebersihan.
Melihatkan keadaan ini, kerjasama semua pihak amat diperlukan. Tidak guna menuding jari kepada kesalahan orang lain, jika kita sendiri tidak bersedia berganding bahu mengatasi masalah ini.
Ada yang mengaitkan sikap pengotor ini dengan budaya masyarakat. Oleh itu, sikap ini amat sukar diubah. Namun, bagaimana sukar pun, kita perlu berusaha mengubahnya. Tidak boleh ada alasan lain untuk kita menegakkan amalan budaya yang jelas songsang daripada ajaran Islam.
Kita berbangga menjadi seorang Muslim dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia. Namun, kebanggaan itu perlu dilahirkan dalam bentuk perlakuan yang sewajarnya sebagai seorang Muslim. Jangan hanya pandai berkata ‘saya seorang Islam’ tetapi hakikatnya diri tidak terurus, rumah kotor dan berbau busuk.
Ingatlah bahawa kejayaan sebagai seorang Muslim bukan hanya terletak kepada mengerjakan ibadat khusus. Menjaga kebersihan juga boleh dianggap sebagai satu ibadat. Ia boleh menentukan kejayaan seseorang Muslim di dunia mahupun akhirat.
Mungkin kini adalah masa paling sesuai untuk kita bertegas dalam memastikan kebersihan itu. Tidak perlu ada lagi kompromi dalam hal ini. Mereka yang tidak malu mengotorkan negara ini perlu dikenakan tindakan yang keras. Misalnya, mengutip sampah di khalayak ramai.
Untuk ini, mungkin kita boleh meniru negara jiran, Singapura yang begitu tegas menguatkuasakan undang-undang menjaga kebersihan. Kerajaan Singapura yakin bahawa ketegasan ini akan membantu membentuk peribadi individu pengotor kepada sukakan kebersihan. Ada yang beranggapan hal ini menyukarkan, tetapi kalau tidak bersusah, bila pula kita hendak mengecap hasilnya.