Pada penghujung kisah pengembaraannya, Ibn Battutah (1304-1369/70M.), menceritakan rasa kagumnya akan Sultan Abu `Inan yang sedang memerintah ketika beliau kembali ke tanah kelahirannya itu sekitar tahun 1354M., khususnya minat mendalam yang ditunjukkan baginda terhadap ilmu pengetahuan. Menurut pengembara kelahiran Tanjah itu, Sultan Abu `Inan sering mengadakan majlis-majlis ilmu pada setiap hari, iaitu selepas Solat Subuh. Baginda meminta `ulama’ fiqh dan penuntut-penuntut yang bijak bestari supaya menghadirkan diri ke masjid istananya. Tafsir al-Qur’an, Hadith dan cabang-cabang Mazhab Maliki r.a. dibaca di hadapan baginda. Baginda juga dikisahkan memiliki kefahaman yang mendalam tentang setiap ilmu tersebut dan dapat menyelesaikan semua masalah berdasarkan kefahaman yang dimiliki.
Sebelumnya, dalam kunjungannya ke Kepulauan Jawa, Ibn Battutah menceritakan pula kisah pemerintahnya, iaitu Sultan al-Malik al-Zahir, yang bermazhab Syafi`e dan mengasihi fuqaha’. Fuqaha’ menghadiri majlis baginda untuk membaca kitab dan bermuzakarah. Ibn Battutah menceritakan pertemuannya dengan pemerintah Kepulauan Jawa itu, iaitu sebelum baginda kembali menyertai muzakarah fiqh berasaskan Mazhab Imam Syafi`e. Ketika menghadap sultan, beliau dapat melihat kehadiran penuntut ilmu yang berada di kiri dan kanan baginda. Pengamatan yang dibuat oleh Ibn Battutah ini merupakan bukti terhadap ciri khusus dan keistimewaan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin Islam pada zamannya, iaitu kecintaan yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan dan golongan ilmuwan.
Jika dirujuk pula zaman kegemilangan tamadun Islam, perkara yang sama ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin agung Bani `Abbasiyyah seperti Khalifah al-Mansur (712-775M.), Khalifah Harun al-Rashid (766-809M.) dan Khalifah al-Ma’mun (813-833M.) Al-Mansur, khalifah kedua Bani `Abbasiyyah yang mengasaskan Baghdad pada tahun 762M. telah berjaya menjadikan kota yang sebelumnya bernama Madinah al-Salam itu sebagai kota ilmu dan pusat pertembungan budaya yang sebenar di timur. Langkah menuju kemajuan yang dicetuskan Khalifah al-Mansur diteruskan oleh Khalifah Harun al-Rashid. Pada zaman pemerintahannya, pembangunan dan perkembangan ilmu pengetahuan berlangsung dengan lebih pesat. Selain itu, baginda juga berjaya menjadikan Baghdad sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan pusat ilmu pengetahuan. Pada zaman baginda, kegiatan penterjemahan digiatkan lagi dan penterjemah seperti Salm al-Harrani, ditugasi menterjemahkan karya Aristotle seperti Categories, Hermeneutics dan Analytics. Tempoh pemerintahan al-Ma’mun, putera sulung Khalifah Harun al-Rashid, seterusnya disifatkan sebagai zaman keemasan Bani `Abbasiyyah, khususnya dengan kejayaan baginda merancakkan lagi kepesatan pembangunan ilmu dan tamadun Islam.
Bagindalah yang mencetuskan cadangan penubuhan Bayt al-Hikmah yang berperanan sebagai pusat kegiatan penterjemahan dan tempat mengadakan perbincangan serta wacana falsafah. Antara usaha penting lain Khalifah al-Ma’mun dalam bidang keilmuan ialah titah Baginda supaya Hunayn ibn Ishaq, penterjemah Kristian Nestorian yang menguasai bahasa Arab dan Syriac, mengetuai sekumpulan sarjana untuk menterjemah karya Hippocrates dan Galen ke dalam bahasa Arab. Pada zaman pemerintahan al-Ma’mun juga lahir tokoh agung tamadun Islam seperti al-Khawarizmi, pengasas ilmu algebra. Karya al-Jabr wa al-Muqabalah dikatakan ditulis oleh al-Khawarizmi dengan ringkas atas dorongan Khalifah al-Ma’mun agar mudah difahami oleh orang ramai untuk digunakan dalam urusan perdagangan, wasiat, penghakiman, penggalian terusan dan sebagainya. Kesimpulannya dapat dikatakan bahawa pencapaian tamadun Yunani dijadikan penanda aras untuk diatasi oleh pemimpin-pemimpin Bani `Abbasiyyah. Demikianlah pula dengan pemimpin Kerajaan Islam Andalusia yang turut menunjukkan keprihatinan yang tinggi dan kecintaan yang mendalam terhadap ilmu. Misalnya, Khalifah `Abdul Rahman III mengumpulkan buku-buku yang tidak terhitung jumlahnya dan mengurniai naungan dalam bentuk perlindungan serta bantuan kepada sarjana-sarjana perubatan dan sains kuno. Usaha murni baginda diteruskan pula oleh Khalifah al-Mustansir (al-Hakam III) yang membina universiti dan perpustakaan-perpustakaan di Cordoba.
Sebagaimana yang dimaklumi, dorongan kuat daripada pemimpin inilah yang akhirnya melonjakkan Andalusia dan sarjana-sarjananya untuk berada pada tahap kecemerlangan yang mengagumkan. Kita umumnya mengetahui nama-nama besar yang lahir akibat kepesatan kegiatan keilmuan di Andalusia dengan naungan pihak pemerintah seperti Abu al-Qasim (perubatan), Ibn Bajjah (perubatan dan muzik), Ibn Rusyd (falsafah) dan Ibn Khaldun (sosiologi). Semangat yang sama dikongsi oleh pemerintah Islam di serata pelosok dunia seperti khalifah keenam Kerajaan Fatimiyyah Mesir, al-Hakim yang membina Dar al-`Ilm pada tahun 1004M. Baginda memperuntukkan 257 dinar setahun kepada institusi ilmu berkenaan dan menetapkan biaya daripada Baitul Mal istana untuk menyediakan buku-buku dalam pelbagai bidang. Selain itu, bayaran untuk sarjana yang menjadi pengajar institusi tersebut juga disediakan. Begitu juga Mehmet II yang mengadakan majlis pengajian ilmu agama dan mewujudkan tatatingkat `ulama’ bagi Kerajaan `Uthmaniyyah. Penasihat baginda ialah Molla Khosrew, seorang faqih dan `Ali Kushdji, ahli astronomi. Selain itu, pakar-pakar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama juga diambil berkhidmat dengan baginda.
Maharaja Mughal yang terakhir, Abul Zafar Muhiuddin Muhammad Aurangzib `Alamgir, seorang yang teguh pegangan agamanya dan berwibawa pula sentiasa mengadakan perbincangan dengan sarjana-sarjana agung di istana baginda selain menziarahi mereka meskipun baginda sibuk dengan urusan ketenteraan. Pada zaman kesultanan Melayu, pemerintah-pemerintah negeri seperti Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan memperlihat kecintaan yang mendalam terhadap ilmu dan penghormatan yang tinggi kepada golongan cendekiawan. Menarik sekali jika dihayati kisah Sultan Mahmud Shah, yang meskipun dikenali sebagai seorang yang lemah akhlaknya, tetapi mempunyai hubungan yang akrab dengan `ulama’. Dalam buku Sejarah Melayu diceritakan kedatangan Sultan Mahmud Shah untuk mengikuti pengajian ditolak oleh gurunya, Maulana Yusuf disebabkan baginda menunggang gajah dan diiringi orang ramai. Justeru itu, baginda berusaha mengunjungi semula gurunya, pada waktu malam dengan hanya ditemani dua orang pengiring. Malah, kitab yang hendak dipelajari juga dibawa sendiri. Apabila sampai di rumah Maulana Yusuf, baginda dengan merendah hati menggelar dirinya sebagai Fakir Mahmud dan meminta penjaga pintu memberitahu gurunya bahawa baginda telah tiba untuk mengikuti pengajian. Lantas gurunya itu pun membenarkan baginda masuk.
Semua kisah dan catatan sejarah ini menunjukkan dengan jelas bahawa pemerintah Islam zaman silam tidak sekadar melaungkan kecintaan mereka terhadap ilmu serta juga golongan ilmuwan bahkan mereka benar-benar membuktikannya dalam tindak-tanduk, usaha serta dasar pemerintahan. Maka tidak hairanlah jika mereka berjaya mengasaskan tamadun gemilang yang menjadi sebutan sehingga kini. Kejayaan mereka membina bangsa dan tamadun pada hakikatnya berteraskan iman serta makna diri dan ia pula sudah pasti bersumberkan ilmu yang benar. Kejayaan itu juga seharusnya menyedarkan kita betapa mundurnya kita jika mahu dibandingkan dengan mereka, khususnya dari aspek pembinaan peradaban dan kemanusiaan. Isyarat penting yang juga ditunjukkan daripada catatan sejarah itu menyimpulkan bahawa pemimpin mempunyai pengaruh yang amat kuat terhadap rakyat pimpinannya. Jika pemimpin mempamerkan kecintaan yang mendalam terhadap ilmu dan cendekiawan, maka amalan yang samalah akan dituruti oleh sekalian rakyat. Demikian pula sebaliknya. Seandainya budaya keilmuan dibiarkan suram serta malap dan golongan ilmuwan pula dipinggirkan dan sebaliknya, minat serta tumpuan diberikan kepada perkara-perkara lain, misalnya hiburan, pesta dan acara yang melekakan lagi tidak terarah, maka itulah juga yang akan sebati dalam kehidupan rakyat. Sebagaimana yang diingatkan oleh Ibn Khaldun, tabiat rakyat pada hakikatnya merupakan bayangan bagi tabiat atau amalan hidup yang dimiliki oleh pemimpin mereka.