Fenomena kita pada hari ini ialah satu fenomena baru iaitu kebergantungan kita kepada kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) yang terdapat di dalam komputer atau gajet atau apa-apa mesin dalam membuat operasi atau sesuatu keputusan. Hidup ini sebenarnya kita lah yang membuat keputusan tetapi keputusan yang sepatutnya dibuat oleh manusia kini telah diserahkan kepada mesin atau lebih tepat lagi diserahkan kepada AI
Persoalan yang mungkin timbul di sini. Apakah semakin canggih dunia ini manusia itu akan semakin kurang manusiawinya? Di manakah limit kehidupan kita ini apabila semua peranan manusia telah kita serahkan kepada AI. Di manakah peranan agama di tengah-tengah ledakan teknologi ini. Apakah peranan agama ini juga akan diambil alih oleh AI ?
Sebagai contoh, cuba kita bandingkan Al-Quran biasa yang kita gunakan dengan Al-Quran digital. Al-Quran biasa yang kita gunakan hanya mampu dibaca. Bagi yang tidak memahami maknanya sudah pasti kita hanya mampu membaca tanpa memahami makna walau sepatah pun. Apakah ertinya sekiranya kita membaca Al-Quran dari usia muda sehingga usia warga emas tetapi kita tidak memahami apa pun yang kita baca. Mungkin dari satu sudut kita mendapat pahala membaca tetapi apa lebih penting ialah kita sepatutnya mengambil pengajaran daripada setiap ayat-ayat yang kita baca itu.
Kini, di era digital, kesemua permasalahan yang dinyatakan di atas tadi telah dapat diatasi dengan AI. Al-Quran digital diperkenalkan. Al Quran digital ini merupakan pendigitalan kesemua ayat-ayat suci Al-Quran serta diproses menggunakan AI yang terdapat dalam peranti tersebut untuk mendapatkan output. Al Quran digital ini mampu untuk memperdengarkankan bacaan dari Qari-qari terkenal seperti Sheikh Saad Al-Ghamidy, Sheikh Misyari Rashid, Sheikh Abdul Rahman As Sudais, Sheikh Abdul Al-Matrud dan banyak lagi.
Al Quran digital ini juga mampu untuk menterjemahkan setiap ayat dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan berbagai bahasa yang terdapat di dunia ini. Dengan menggunakan Al-Quran digital ini juga kita mampu mencari Surah-Surah dan ayat-ayat yang dikehendaki dalam masa beberapa saat sahaja menggunakan “search engine” yang disediakan. Ayat-ayat suci Al-Quran tersebut juga dapat dikaitkan link dengan Hadith-hadith yang berkaitan.
Apa yang saya cuba ketengahkan di sini untuk difikirkan ialah apakah peranan tahfiz (orang yang menghafal Al-Quran) dan peranan Al-Quran digital ini?. Secara am, kesemua peranan tahfiz tersebut telah diambil alih oleh AI. sekiranya kita berpandangan bahawa peranan tahfiz itu hanya untuk menghafal ayat-ayat suci Al-Quran sahaja maka kita boleh lihat bahawa peranan tersebut telah diambil alih oleh Al-Quran digital. Hanya, apa yang tidak mampu dilakukan oleh Al-Quran digital ialah mengambil pengajaran daripada setiap ayat-ayat suci Al Quran itu. Maka, peranan inilah yang sepatutnya dipergiatkan lagi agar sifat-sifat manusiawi itu tidak ditelan revolusi digital.
Program AI pada dasarnya lebih baik daripada manusia dalam meramal sesuatu seperti meramal harga saham, dan ia boleh mencipta kejayaan jangka panjang dalam rancangan perniagaan. Program AI digunakan dalam perdagangan elektronik untuk mengesan kemungkinan penipuan, menggunakan algoritma yang kompleks, dan digunakan untuk transaksi kewangan bernilai jutaan setiap hari. Program AI juga dapat meniru perilaku manusia yang kreatif. Sebagai contoh, muzik yang dihasilkan oleh program AI sukar dibezakan dengan komposisi oleh komposer terkenal.
Itulah antara gambaran betapa hebatnya kemampuan AI yang dicipta oleh manusia pada masa kini. Tetapi jika dilihat dari sudut yang lain, apakah dunia ini sedang menuju kehancuran?
Menurut, Profesor Stephen Hawking bahawa kecerdasan buatan artificial intelligence yang dicipta pada masa kini telah terbukti sangat bermanfaat, namun beliau bimbang bahawa teknologi ini yang pada akhirnya dapat melampaui kemampuan otak manusia.
Menurut Hawking lagi manusia dibatasi oleh evolusi biologi yang lambat dan tidak akan mampu bersaing dengan kecerdasan buatan dan akhirnya akan tertinggal (BBC, LiveScience, Rabu (3/12/2014).
Teknologi yang dicipta kini adalah dalam bentuk rangkaian atau sarang labah-labah atau dikenali juga sebagai www (world wide web). Kesemua aplikasi perlu satukan atas talian atau di online kan untuk kemaskini, muatnaik, muat turun dan berbagai-bagai lagi aktiviti. Semua manusia di dunia ini bergantung kepada jaringan ini untuk urusan kehidupan mereka. Kita tidak dapat bayangkan kalau jaringan www di off kan di seluruh dunia. Semua sistem perbankan, sistem keselamatan, kawalan ruang udara akan lumpuh dan begitu juga sistem-sistem yang lain
Bila menyebut tentang kebergantungan kita pada jaringan labah-labah ini, saya ingin memetik surah al Ankabut ayat 41 “Misal perbandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); pada hal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.