Dalam salah satu ayat-Nya, Allah s.w.t. mengingatkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya sentiasa berpegang teguh pada tali-Nya, iaitu al-Qur’an serta agama Islam selain melarang mereka agar tidak sekali-kali berpecah-belah (Surah Ali `Imran 3 : 103). Larangan bersengketa dan berpecah-belah ini menunjukkan kepentingan kesatuan dan jamaah kerana tindakan berpegang pada agama Allah secara bersendirian juga tidak akan membawa sebarang manfaat. Kesatuan yang ditekankan ini sekali gus menolak sifat taksub dan kebanggaan terhadap kabilah, bangsa, kaum dan warna kulit kerana insan yang paling mulia di sisi Allah bukan dinilai pada semua ciri tersebut bahkan sebaliknya semata-mata pada ketaqwaan mereka. Ketaqwaan inilah yang akhirnya pula membentuk kesatuan yang teguh di kalangan anggota ummah.
Dalam hubungan ini, Pujangga Iqbal (1877 – 1938) pernah mengemukakan falsafah pembentukan ketaqwaan diri setiap insan yang akhirnya dapat membentuk kesatuan antara mereka. Menurut Iqbal, setiap orang mengisi peribadinya dengan ketaqwaan lalu setiap seorang daripada insan yang bertaqwa itu meleburkan dirinya dalam diri (Zat) yang Agung, iaitu Allah s.w.t. Maka dengan yang demikian, setiap diri bergabung menjadi satu kerana kesatuan kepercayaan, malah matlamat kesatuan mereka juga sama, iaitu kerana Allah s.w.t. Di dunia mereka memperoleh kemenangan, sehingga dapat melaksanakan amanah serta kewajipan yang dipikul, iaitu sebagai khalifah Allah yang memakmurkan bumi dengan sebaik-baiknya.
Dalam ayat yang sama itu juga, Allah s.w.t. menegaskan seterusnya bahawa Dia mengurniai hamba-hamba-Nya yang beriman itu, nikmat yang amat bermakna, iaitu persaudaraan dan kesatuan antara mereka. Bahawa mereka sebelumnya, iaitu pada zaman jahiliah saling bermusuhan antara satu dengan yang lain, dan dengan nikmat Islam itulah hati mereka disatukan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya kesatuan dan persaudaraan menghimpunkan segala kebaikan dan kesejahteraan, sebaliknya perpecahan, pemusuhan dan kebencian menghancurkan kebaikan yang tercipta selain menyebabkan tenaga serta jiwa disia-siakan begitu sahaja. Contoh terbaik dapat dilihat pada apa yang berlaku pada kabilah seperti `Aus dan Khazraj yang sentiasa bersengketa dan berperang sesama sendiri. Kedua-dua kabilah ini pernah terlibat dalam sebuah peperangan yang berlarutan selama 120 tahun dan sedemikian banyak nyawa yang terkorban dengan sia-sia.
Namun, apabila datangnya Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w., segala bentuk persengketaan, kebencian, pemusuhan dan perbalahan berjaya dipadamkan begitu sahaja. Ini kerana, mereka diajar oleh Nabi s.a.w. tentang persaudaraan yang melewati batasan kaum, kabilah serta keluarga. Demikian juga mereka dididik supaya saling kasih-mengasihi, bantu-membantu, kuat-menguatkan, mudah memaafkan dan melupakan kesalahan yang dilakukan, sentiasa rela berkorban dan mengutamakan kepentingan saudara-saudara mereka melebihi diri mereka sendiri. Persaudaraan atas dasar keimanan yang menjadi ikatan antara mereka itulah yang membolehkan mereka lahir sebagai masyarakat teladan sepanjang zaman. Mereka juga melakar kejayaan amat penting dan membantu usaha Nabi s.a.w. dalam membina sebuah masyarakat serta negara yang utuh lagi ampuh seperti Madinah dari segenap sudut; kemasyarakatan, siasah, pertahanan dan ketenteraan, ekonomi dan sebagainya.
Jelaslah bahawa asas yang paling utuh dan bermakna bagi perpaduan serta kesatuan yang mahu dibentuk hanyalah keimanan. Perpaduan atas dasar tauhid ini akan kekal bertahan selama-lamanya kerana ia dihubungkan secara langsung kepada Yang Maha Berkuasa. Dengan yang demikianlah juga kita dapat melihat bagaimana masyarakat dalam sesebuah negara yang cuba disatukan atas asas yang lain selain keimanan, misalnya asabiyyah, akhirnya akan mengalami bibit-bibit perpecahan dan akhirnya runtuh sama sekali. Dalam hubungan ini, barangkali kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa yang menimpa Bani Umayyah pada zaman-zaman kelemahan dan keruntuhannya, iaitu pada zaman pemerintahan al-Walid II bin Yazid (125H./743M.) hingga zaman Marwan II bin Muhammad (127-132H./744-50M.).
Selain memiliki keperibadian, akhlak dan kecenderungan yang buruk serta tidak menjalankan tugas pemerintahan dengan penuh tanggungjawab, al-Walid II bin Yazid, khalifah Bani Umayyah ke-11 misalnya juga mengamalkan dasar-dasar yang memihak kepada orang Arab lalu menimbulkan permusuhan serta perpecahan di kalangan rakyat. Pada hakikatnya, Khalifah `Umar bin `Abdul `Aziz yang terkenal dengan kegemilangan dasar pemerintahannya telah cuba mewujudkan keamanan dan kestabilan serta menghapuskan dasar perkauman yang telah diamalkan sebelum baginda, iaitu antaranya dengan menggalakkan perkahwinan antara orang Arab dengan bukan Arab. Namun, keadaan kembali sebagaimana sebelumnya, apabila beliau meninggal dunia.
Demikian juga dengan Khalifah Yazid III bin al-Walid yang memperlihat kecenderungan terhadap suku tertentu seperti Yaman dan khalifah-khalifah sebelumnya pula menunjukkan kecenderungan untuk berpihak kepada suku Qais (suku Yaman dan Qais merupakan orang Arab yang berasal dari Syria). Pada zaman pemerintahan Marwan II bin Muhammad, beliau kembali mengamalkan dasar yang memihak kepada suku Qais dan keadaan tersebut menimbulkan permusuhan yang lebih sengit antara suku Qais dengan suku Yaman. Selain itu, Kerajaan Bani Umayyah pada zaman kejatuhannya juga terpaksa menghadapi siri pemberontakan, ancaman dan penentangan oleh pelbagai wilayah, iaitu Syam, Jazirah, Iraq, Mesir, Yaman dan Khurasan. Penduduk Khurasan misalnya membuat beberapa tuntutan kepada Kerajaan Bani Umayyah, antaranya termasuklah kerajaan perlu mengamalkan ajaran Islam tanpa wujud diskriminasi antara Arab dengan bukan Arab dan kerajaan tidak wajar sama sekali menghalang pemaduan antara orang Arab dengan bukan Arab di Khurasan.
Di samping semua kelemahan dan dasar yang merugikan ini, Kerajaan Bani Umayyah juga bertindak mewujudkan dasar yang membeza-bezakan golongan mawali (bukan Arab) dengan orang Arab, khususnya dalam bidang ketenteraan. Tiada satu pun jawatan tinggi atau rendah yang diberikan kepada golongan mawali. Malah semua tentera Arab didaftar dan dibayar gaji manakala golongan mawali hanya berkhidmat sebagai tentera infanteri dan tidak didaftar di dalam diwan (Jabatan Tentera) dan tidak dibayar gaji.
Pada hari ini, kita masih lagi dapat melihat bagaimana sifat asabiyyah terhadap bangsa dan kaum menyelubungi umat Islam, khususnya di dunia Arab dan disebabkan sifat asabiyyah itulah persoalan kesatuan serta perpaduan kelihatan seolah-olah hanya tinggal sebagai impian kosong. Amat menyedihkan juga kerana sifat asabiyyah itulah juga yang mendorong berlakunya pertelagahan dan perbalahan yang tidak sewajarnya, termasuk dalam keadaan yang genting seperti dalam soal untuk menghentikan penindasan dan kekejaman terhadap umat Islam, misalnya di Palestin. Bagi Malaysia sendiri, pengalaman yang dilalui oleh masyarakat silam dan zaman kini, harus dijadikan panduan. Sememangnya kesatuan dan perpaduan begitu penting untuk dicapai bagi menjamin keamanan serta kestabilan. Namun harus disedari bahawa akar yang mengasaskan kesatuan itulah yang akan menentukan hala tuju serta kesudahannya, iaitu sama ada ia akan kekal berdiri dengan utuhnya atau hanya berupaya bertahan untuk tempoh waktu yang tertentu cuma.